SERAMAI 65 peserta termasuk 25 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah Kembara NGO Seni Budaya 2022 (Kembara NGO) baru-baru ini.
Menggabungkan permotoran dan kebudayaan, jelajah itu membawa peserta menjejaki sejarah warisan seni dan budaya di empat negeri iaitu Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Lebih ikonik, program julung kali dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Majlis Teater Selangor (MTS) itu memulakan jelajah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Selari dengan objektif program, pengembaraan sejauh lebih 1,000 kilometer itu bertujuan untuk mengangkat semula warisan seni dan tokoh-tokoh hidup yang masih bergiat di setiap negeri.
Penolong pengarah Pengukuhan Seni Budaya JKKN merangkap Pengarah Projek Kembara NGO, Mohd. Zuhairi Ibrahim berkata, selain menjadikan peminat motosikal sebagai daya penarik program, penyertaan mereka merupakan sebahagian daripada objektif mengangkat semula warisan seni di empat buah negeri dilawati.
“Sebelum ini, kita ada buat pelbagai program, namun tidak nampak keberhasilannya.
“Jadi kali ini, kami bawa orang yang berada di luar bidang budaya bagi memberikan nafas baharu.
“Ini kerana budaya bukan sahaja melibatkan tarian dan nyanyian, bahkan ia meliputi makanan serta permainan tradisional yang membentuk sebuah masyarakat,” katanya.

Destinasi pertama Kembara NGO selepas mengharungi perjalanan selama tiga jam adalah Sungai Lembing di Pahang. Kawasan itu pernah menjadi lokasi petempatan yang pesat dengan kegiatan melombong bijih timah.
Tibanya di situ, peserta memulakan program dengan beramah mesra bersama orang kelainan upaya (OKU) di Pusat Pembangunan Orang Cacat.
Kembara diteruskan dengan melawat muzium dan terowong bijih timah Sungai Lembing serta beberapa tempat pelancongan di Kuantan khususnya tempat kraf tangan dan batik.
Acara paling dinantikan adalah malam kebudayaan yang diadakan di sebuah kampung budaya iaitu Kelab Serindit Mati Tersepit.
Mengulas acara tersebut, Mohd. Zuhairi berkata, para peserta bukan sahaja disajikan makanan tempatan seperti sambal hitam dan patin tempoyak, malah dihiburkan dengan persembahan seni.
Jelasnya, ia bukanlah suatu perkara mudah untuk mengumpulkan para penggiat seni dan pelapis muda mendendangkan lagu-lagu rakyat yang sinonim dengan masyarakat Malaysia.
“Pada malam itu, beberapa persembahan ditonjolkan oleh Anak Kayan iaitu sebuah komuniti yang mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti seni tradisional.
“Di sini, kita dapat lihat bahawa ramai anak muda dan pelapis untuk generasi akan datang.
“Selain itu, saya rasa sangat bersyukur apabila mengetahui ada penampilan khas daripada tokoh lagu rakyat, Roslan Madun yang popular dengan lagu Lemak Manis.
“Lantunan suara Roslan sememangnya mengembalikan nostalgia buat para peserta,” katanya.
Pada hari kedua, Jelajah Kembara NGO Seni Budaya meneruskan perjalanan ke Johor sebelum membuat persinggahan pertama di Felda Ayer Hitam, Kluang.

Biarpun cuaca panas dan laluan yang jauh, ketibaan para peserta konvoi di Dewan Serbaguna Kg. Felda Ayer Hitam disambut meriah oleh penduduk tempatan.
Pelbagai acara disediakan seperti permainan tradisional diiringi persembahan tarian zapin dan makanan asli Johor untuk santapan tengah hari.
Difahamkan, pemilihan Felda Ayer Hitam sebagai lokasi kedua jelajah Kembara NGO sangat bertepatan.
Ini kerana kawasan tersebut memiliki lebih 15 persatuan yang terdiri daripada pelbagai bidang meliputi permainan, muzik dan tarian tradisional.
Menurut Mohd. Zuhairi, para peserta kemudian meluangkan masa selama lebih satu jam bersama penduduk untuk melakukan aktiviti gotong-royong.
“Jelajah hari kedua berakhir di UK Farm iaitu sebuah destinasi agro pelancongan.
“Pada malam kebudayaan hari kedua, JKKN Johor menampilkan warisan muzik dan seni tarinya iaitu kuda kepang, ghazal serta zapin termasuk persembahan angklung.
“Kalau kita lihat, memang riuh malam itu dengan persembahan tari asli Johor, sekali gus memberi sedikit sebanyak pendedahan mengenai warisan seni di negeri ini.
“Alhamdulillah, maklum balas peserta adalah memberangsangkan dan ramai juga yang pertama kali melihat tempat sejarah dan seni budaya yang kita tonjolkan di setiap negeri,” ujarnya.
Salah seorang peserta konvoi, Rosdi, 61, yang mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, Kembara NGO bertepatan dengan mesej yang ingin dibawa kerana masyarakat kini lebih terikat dengan dunia digital.
“Kami (peserta) semua datang dari seluruh negara.
“Masing-masing bekerja dalam pelbagai bidang dan latar belakang.
“Jadi, banyak perkara yang kita dapat saksikan sendiri secara langsung.
“Bagi saya, trip kali ini adalah satu pengalaman yang mengujakan kerana bukan sahaja dapat ‘ride’, tetapi dapat belajar sesuatu di setiap destinasi.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
“Lebih baik kalau ia jadi acara tahunan dan mungkin selepas ini boleh diadakan di negeri-negeri lain seperti di bahagian utara dan Pantai Timur,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ravi, 52, dan isterinya, Siti Khadijah Abdullah, 48, merupakan satu-satunya pasangan suami isteri yang menyertai Kembara NGO.
Muhammad Ravi berkata, dia sangat bersyukur kerana dapat menyertai jelajah berkenaan.
“Kami sangat hargai usaha JKKN menganjurkan program seumpama ini. Banyak yang kami tidak tahu sebelum ini, misalnya seperti makanan dan warisan budaya negeri.
“Program ini harus diteruskan sebagai acara tahunan supaya budaya di Malaysia dapat dikembangkan kepada generasi akan datang,” katanya.
Memasuki hari ketiga, peserta memulakan perjalanan kira-kira pukul 9.30 pagi ke Arang cafe di Kampung Hulu Melaka, Melaka sebagai destinasi ketiga.
Turut hadir ke destinasi itu ialah Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop.
Di sini, JKKN Melaka menyediakan sajian istimewa asam pedas dan cendol dengan panorama Sungai Melaka yang ikonik.
Sambil menjamu juadah, para peserta dihiburkan dengan lagu Dondang Sayang yang dinyanyikan oleh Datuk Baharin dan Ain Briged Seni Melaka.
Seusai itu, para peserta kemudian bergerak ke Masjid Cina untuk aktiviti kemasyarakatan termasuk menyerahkan sumbangan Rebana Keras dan barangan keperluan kepada anak yatim Sultan Salahuddin Abd. Azizi Shah Al Haj.
Kembara NGO diteruskan ke Negeri Sembilan pada pukul 5 petang sebelum membuat perhentian di Port Dickson.
Mohd. Zuhairi berkata, Negeri Sembilan sememangnya antara lokasi yang dinantikan oleh peserta.
Katanya, ini kerana negeri tersebut sarat dengan pengamatan seni dan budaya yang tinggi.
“Malam kebudayaan di sini, JKKN Negeri Sembilan menampilkan persembahan unik iaitu Perarakan Dikir Rebana, Teromba dan Bongai termasuk persembahan tarian dari Kumpulan Sanggar Sri Saujana,” katanya.
Setelah empat hari, Kembara NGO diakhiri dengan aktiviti bersama anak-anak istimewa PDK Cahaya Murni, sebelum berangkat ke Pusat Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur.
Kata Mohd. Zuhairi, program Kembara NGO berakhir dengan jayanya apabila semua peserta membawa pulang sesuatu menerusi pengisian seni budaya yang ditampilkan.
“Memang kami ingin perkenalkan semula budaya dan seni warisan yang kita sudah terlupa.
‘Kadang-kadang bukan kita tidak tahu, hanya terleka dan terlupa disebabkan kesibukan serta kepantasan arus pemodenan.
“Jadi, hasrat kami adalah untuk mengembangkan aspek budaya supaya masyarakat kembali mengenali elemen-elemen ini,” jelasnya.
















