fbpx
PELANCONG Malaysia diminta berhati-hati pilih makanan kerana banyak bercampur kanabis di Thailand. - GAMBAR HIASAN

Tomyam ganja Thailand lebih lazat, enak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis mendedahkan terdapat makanan seperti tomyam dan sup di Thailand telah dicampur daun ganja sebagai penambah rasa yang boleh menyebabkan pelancong ‘ketagih’ untuk menikmati semula hidangan itu.

Hasil risikan pihak berkuasa, dadah jenis ganja di negara jiran itu juga dijual dalam bermacam produk sama ada dalam bentuk cecair minuman seperti kopi ganja dan minuman tenaga selain dalam bentuk minyak iaitu minyak hashish (minyak kanabis).

Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad berkata, rakyat Malaysia yang gemar melancong ke Thailand diminta supaya lebih berhati-hati ketika membeli makanan kerana terdapat pelbagai jenis hidangan yang dimasukkan kanabis.

“Ada yang memasukkan daun ganja ke dalam masakan sup dan tomyam sebagai penambah rasa dan ada juga ganja dijadikan biskut. Pelancong asing yang tidak tahu mungkin akan termakan hidangan ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Difahamkan, tomyam yang dicampur ganja akan menjadikan hidangan tersebut lebih enak dan lazat berbanding biasa.

Beliau memberitahu, ganja juga dijual dalam bentuk kering yang mana ia kebanyakan digunakan sebagai campuran bersama tembakau rokok.

Campuran itu akan membuatkan perokok berasa kesan sampingannya seperti khayal.

“Jadi, kita meminta rakyat Malaysia yang pergi ke sana untuk melancong termasuk secara berkonvoi agar lebih berhati-hati dengan produk yang mereka beli,” ujarnya.

POKOK ganja dijual secara terbuka di Thailand selepas negara itu membenarkan penanamannya bagi tujuan perubatan.

Bagaimanapun, menurutnya, tidak semua produk berasaskan ganja boleh menyebabkan ujian saringan urin seseorang itu positif dadah tersebut.

“Berdasarkan maklumat dan risikan yang kita peroleh, tidak semua produk berasaskan ganja boleh menyebabkan seseorang itu positif ganja.

“Contohnya, air minuman berasaskan ganja seperti ‘cannabis water’ yang dijual di kedai serbaneka di Thailand yang sukar dikesan kandungan dadah dalam tubuh seseorang,” ujarnya.

Namun begitu, beliau menasihatkan agar rakyat tahu dan lebih peka dalam membeli apa sahaja produk yang dijual di negara jiran itu kerana dikhuatiri mempunyai kandungan ganja yang tinggi.

Ini kerana kata Khairul Anwar, terdapat kes empat pelancong dari Pulau Pinang dan Selangor termasuk sepasang suami isteri yang baru pulang dari Thailand didapati positif ganja selepas melakukan ujian saringan awal urin.

“Mereka mengaku mengambil ganja kecuali seorang wanita yang mana dia mendakwa hanya duduk bersama tiga lelaki lain yang hisap ganja di dalam bilik bertutup dengan pendingin hawa, tetapi dikesan positif dadah,” katanya.

Sejak Jun tahun lalu, kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja dan menanam pokok tersebut di rumah bagi tujuan perubatan, namun perlu meminta kebenaran pihak berkuasa.

Thailand juga adalah negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis.

Sebelum ini pada pada 2017, Thailand membenarkan penggunaannya untuk penyelidikan perubatan, namun hanya kerajaan dibenarkan menanam tanaman itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN