KOTA BHARU – Gelap mata untuk mendapat duit banyak menjadi faktor kepada sesetengah individu di negeri ini memilih menjual kereta lama kepada warga asing terutama etnik Rohingya kerana ia lebih untung berbanding jualan di premis kenderaan terpakai.
Lebih mengejutkan apabila mereka sanggup tidak menukar nama hak milik dan membuat perjanjian dengan warga asing itu supaya mengaku kereta tersebut milik majikan sekiranya ditahan pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Keuntungan yang diperoleh mencecah sehingga 40 peratus daripada harga yang ditawarkan oleh premis jualan kereta terpakai atau di media sosial.
Contohnya, kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dikeluarkan pada tahun 2005 sepatutnya dijual pada harga RM4,700 hingga RM5,000 mengikut pasaran semasa tetapi ia boleh mencecah sehingga RM7,800 jika ‘ditolak’ kepada warga asing.
Seorang pemilik kereta lama yang dikenali sebagai Azrul, 44, berkata, dia menjual Proton Iswara pada Oktober tahun lalu kepada dua lelaki Rohingya pada harga RM7,000.
Katanya, perbincangan dilakukan di sebuah premis di Telipot di sini dan bayaran dibuat secara tunai.
“Mereka amat memerlukan kereta untuk mengangkut barangan lusuh dan besi buruk. Mereka yang tawarkan harga itu dan saya tiada masalah kerana lebih untung.
“Cuma saya buat perjanjian secara lisan yang mereka perlu mengaku kereta tersebut milik majikan sekiranya ditahan polis atau JPJ,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut mekanik itu, sepanjang empat bulan dia menjual kereta itu, dia telah menerima dua notis sita daripada JPJ selepas lelaki Rohingya itu ditahan dalam satu sekatan jalan.
Tambahnya, dia kemudian membayar notis itu menggunakan wang Rohingya tersebut untuk membolehkan kereta itu dikeluarkan semula daripada arahan sitaan.
“Memang dapat untung lebih bila jual kereta kepada warga asing tetapi saya perlu bertanggungjawab sekiranya mereka ditahan JPJ kerana sudah berjanji selain tak dapat tukar hak milik kepada warga asing,” katanya.
Ujar Azrul, keadaan keretanya ketika itu sudah ‘lunyai’ kerana digunakan untuk mengangkut barang berat
dan besi buruk yang dikutip dari tong sampah dan kawasan pelupusan setiap hari.

Bagi Yahya, 50, setakat ini dia sudah menjual 20 kenderaan terpakai termasuk kereta dan motosikal kepada warga asing.
Katanya, dia bertindak sedemikian kerana harganya yang lebih mahal berbanding harga pasaran meskipun mengalami kesukaran daripada aspek dokumentasi.
“Walaupun kenderaan yang dijual tidak boleh ditukar hak milik, saya sanggup menjualnya kepada warga asing kerana boleh untung sampai 40 peratus untuk sebuah kereta lama.
“Warga asing terutama Rohingya tak cerewet memilih kereta. Mereka tak mahu kereta import dan lebih suka jenama tempatan seperti Proton dan Perodua,” katanya.
Yahya memberitahu, sebelum membeli kenderaan, warga asing terbabit diminta untuk membawa penjamin dalam kalangan penduduk tempatan, isteri warga tempatan atau tekong darat yang membawa mereka ke negara ini.
Menurutnya, selain bayaran tunai, kebanyakan warga asing membeli kereta dan motosikal secara ansuran dengan membayar RM200 hingga RM500 sebulan.
“Sebagai contoh, motosikal jenis Honda EX5 dijual pada harga RM5,000 kepada warga asing berbanding RM3,800 mengikut harga pasaran ketika ini dan ia diubah suai menjadi kenderaan roda tiga untung mengangkut barang,” katanya.
Menurut Yahya, mereka tiada masalah untuk membayar ansuran bulanan kerana rata-rata memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM300 sehari dengan menjual besi buruk.
Dalam pada itu, seorang lagi penjual kenderaan terpakai, Fikri, 51, berkata, kebanyakan etnik Rohingya lebih berminat untuk membeli motosikal berbanding kereta kerana mereka menggunakan pengangkutan itu semasa bekerja di sekitar kawasan kampung sahaja.
Menurutnya, mereka juga bimbang sekiranya ditahan polis atau JPJ sekiranya membawa kenderaan di atas jalan raya.
“Bagaimanapun, ramai juga yang membeli kereta kerana mampu membawa lebih banyak barangan dalam satu-satu masa. Jika kenderaan mereka disita JPJ, mereka akan membayar notis kompaun dengan segera untuk mengambil semula kereta dan motosikal.
“Sebagai peniaga, sebelum menyerahkan kenderaan kepada pembeli, saya akan menyediakan surat perjanjian jual beli bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.














