MALAM Pertunjukan Tutur Batin Live Concert di Zepp, Kuala Lumpur menjadi saksi penyanyi seberang, Yura Yunita mencurahkan segala emosi menerusi 17 buah lagu yang dipersembahkan kepada peminat.
Tepat pukul 8.30 malam, Yura tampil ke atas pentas menggayakan busana klasik rona merah bermotif batik, sarat nilai tradisional dari tanah kelahirannya, Bandung, Indonesia.
Tidak membuang masa peminat yang memenuhkan Zepp KL, Yura memulakan aksi pembukaan dengan persembahan lagu rancak seperti Mulai Langkahmu, Merakit dan Berawal Dari Tatap.
Keasyikan persembahan Yura tidak dapat dinafikan lagi dengan lontaran suara yang memukau berserta lenggok tarian klasik dalam beberapa lagu yang dibawa.
Sarat sentuhan tradisional, Yura mempersembahkan lagu berjudul Bandung dalam bahasa Sunda untuk mengetengahkan budaya tempat kelahirannya.
Selain membuai emosi mempersembahkan lagu Intuisi daripada album Merakit, Yura turut menyita penonton dengan lantunan nada tinggi sehingga meresap ‘mood’ kesedihan yang mendalam.

Sebelum meneruskan persembahan dengan lagu terbaharunya yang berjudul Jalan Pulang, Yura menceritakan detik awal bagaimana dia mendapat idea pembikinan karya tersebut.
“Semasa dalam perjalanan tawaf mengelilingi Kaabah ketika umrah, saya sering teringat kalimat ‘jalan jauh jangan lupa pulang’.
“Apabila difikirkan kembali, saya tertampar kerana kalimat tersebut merupakan maksud pulang sesungguhnya kepada Pencipta,” kata Yura sebelum menghadiahkan Jalan Pulang buat penonton yang sedia menanti.
Seiring Jalan Pulang, Yura turut berkongsi perancangan untuk mengakhiri perjalanan konsert jelajahnya di tanah kelahiran sendiri.
“Saya ada lagu baharu berjudul Jalan Pulang dan antara liriknya berbunyi ‘jalannya jauh jangan lupa pulang’. Bagi saya, sebagaimana jauh kita berjalan, akhirnya akan kembali ke tempat asal.
“Konsert sulung yang bermula di Malaysia ini akan diakhiri dengan tempat asal saya sendiri di Bandung, Indonesia,” tutur pelantun lagu Tutur Batin itu.
Tribute P. Ramlee
Meneruskan aksi dengan stamina yang sama, Yura tidak lupa mempersembahkan sebuah ‘tribute’ kepada seniman legenda Nusantara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan lagu Engkau Laksana Bulan.
“Sebenarnya Engkau Laksana Bulan merupakan lagu bersejarah sehingga bikin hati saya sakit tetapi saya sangat menyukainya.
“Saya dedikasikan lagu ini khas buat seniman legenda P. Ramleee untuk mengenang jasanya dalam industri muzik,” ujarnya.

Selain mempersembahkan lagu ‘cover’ dari pemuzik legenda, Yura turut membawakan Risalah Hati nyanyian asal kumpulan Dewa 19 untuk melengkapkan durasi dua jam konsert sulungnya berserta Buka Hati, Hobi Ghosting, Duhai Sayang dan Tenang.
Istimewanya, Yura turut meraikan apresiasi buat peminat dengan sebuah montaj menghimpunkan klip video peminat yang membuat ‘cover’ lagu Tutur Batin sebagai selingan dalam konsertnya.
Tangisan
Muncul serba putih dalam segmen kedua, tiba masa penyanyi berusia 32 tahun itu melagukan anthem popularnya, Tutur Batin yang mengangkat semangat wanita terutamanya individu kurang keyakinan terhadap diri sendiri.
Malah, Yura yang mengakhiri persembahan dengan lagu Dunia Tipu-Tipu sambil menitiskan air mata begitu mengesankan penonton.
“Kita selalu berjanji tidak akan ke mana-mana tetapi kita tidak mengetahui sampai bila umur kita.
“Sementara orang yang kita sayang masih ada, ucapkan terima kasih atas kebaikan mereka,” luahnya sebak.
Dengan semangat luar biasa, penyanyi bertubuh genit itu terus membuat emosi peminat dengan menyampaikan lagu Cinta dan Rahasia.
Dua buah naskhah berkenaan begitu menyentuh jiwa sementelah pernah dinyanyikan secara berduet bersama penyanyi Glenn Fredly yang meninggal dunia pada tahun 2020.

Tidak hanya Yura, emosi serupa turut membaluti seluruh isi dewan dengan nostalgia mengenangkan Glenn yang telah bertemu Pencipta.
Lebih manis, Yura menyifatkan Glenn sebagai pahlawan yang telah mengajarnya banyak perkara mengenai muzik.
“Glen ialah mentor dan juga pahlawan dalam hidup saya kerana dia merupakan insan yang menghasilkan album pertama saya.
“Selama menghasilkan album pertama dan kedua, saya banyak belajar dengannya dan berkarya mengikut hati bukan trend semata-mata,” tuturnya.
Enggan berlama-lama tenggelam memeluk runtun duka, penyanyi itu menghilangkan kesedihan penonton dengan membawakan dua buah lagu rancak berjudul Hoolala dan Harus Bahagia sebagai penutup malam gilang gemilangnya.














