PETANG itu, pasangan kekasih yang hanya mahu dikenali sebagai Iris dan Kenneth tiba agak awal di sebuah bengkel membuat cincin yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur.
Selepas mengambil tempat duduk di satu sudut dalam premis tersebut, Iris, 24, kelihatan tekun mendengar penjelasan daripada pengurus bengkel tersebut tentang proses menghasilkan sebentuk cincin perak.
“Saya dan pasangan, Kenneth akan menghasilkan dua bentuk cincin iaitu untuk lelaki dan wanita. Ia juga akan menjadi cincin promise ring kami.
“Sejujurnya, saya teruja apabila Kenneth mengajak saya untuk menyertai bengkel membuat cincin sendiri ini.
“Ia bukan saja menyeronokkan, malah aktiviti ini juga merupakan satu bentuk ‘bonding’ yang cukup romantis antara saya dan pasangan,” ujarnya kepada K2 baru-baru ini.
Bagi Kenneth pula, dia terjumpa bengkel membuat cincin sendiri di ibu kota melalui carian secara online.
Dia kemudian terus mengajak Iris mendaftarkan diri kerana mahu mencuba aktiviti baharu bersama pasangannya itu.
“Sebaik sahaja mengetahui bahawa terdapat sebuah bengkel menghasilkan cincin sendiri di ibu kota, saya terus mendaftarkan diri.
“Sejujurnya, saya sangat teruja dapat melakukan aktiviti ini.
“Ia memberi lebih peluang kepada saya untuk menghabiskan masa dengan pasangan serta mengenali antara satu sama lain melalui cara lebih istimewa,” tuturnya lagi.
Cawangan pertama bengkel membuat cincin sendiri yang dikenali sebagai Zo Craft itu mula dibuka di Johor Bahru, Johor pada 2016.

Pada tahun lalu, Zo Craft membuka sebuah lagi cawangan di Sentul dan mendapat sambutan hebat daripada orang ramai, khususnya pasangan suami isteri dan kekasih.
Pengurus Zo Craft Kuala Lumpur yang juga merupakan pereka barangan kemas, Siah Jin Ling, 23, berkata, pihaknya menawarkan pengalaman membuat cincin sendiri di dalam sebuah bengkel.
Jelasnya, ia merupakan satu aktiviti menyeronokkan yang boleh dicuba oleh orang ramai.
Katanya, orang ramai boleh memilih beberapa rekaan cincin sedia ada, sebelum duduk dan menyiapkan sendiri barang perhiasan berkenaan dalam bengkel disediakan.
“Di Zo Craft, kami bukan sekadar menjual produk, malah kami memberikan pasangan kekasih atau suami isteri satu pengalaman berbeza apabila menghasilkan sendiri sebentuk cincin,” katanya.
Tambah Jin Ling, bagi pasangan kekasih, cincin dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa kerana ia merupakan simbol percintaan dan komitmen.
Jelasnya, apabila seseorang itu dapat menghasilkan sendiri sebentuk cincin sama ada buat diri atau pasangan, ia akan dianggap lebih istimewa serta bersifat peribadi.
“Pada pendapat saya, jika mahukan sebentuk cincin bersifat peribadi, anda boleh menempahnya dengan rekaan dan ukiran tersendiri di mana-mana kedai menjual barangan kemas.
“Sebaliknya, jika anda sendiri yang duduk dan mengikuti proses membuat cincin ini, ia pastinya memberikan satu pengalaman lebih bermakna dan unik kepada setiap pasangan.
“Hal ini kerana tidak banyak kedai di Malaysia yang memberikan anda pengalaman sebegini.
“Saya pasti ramai pasangan yang tertarik dengan idea yang bersifat do itu yourself atau DIY seperti ini. Ia pastinya akan menambahkan lagi nilai sentimental pada cincin berkenaan,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Jin Ling berkata, sebelum mula membuat cincin, pelanggan perlu memilih corak rekaan cincin yang dimahukan terlebih dahulu.
“Kami menawarkan lapan jenis rekaan yang boleh dipilih pelanggan. Kebanyakannya adalah rekaan yang ringkas dan minimalis.
“Setiap rekaan mempunyai maknanya yang tersendiri. Buat masa ini, rekaan paling popular adalah mobius dan infinity.
“Kedua-dua rekaan ini mengetengahkan ciri-ciri rekaan berbentuk twist yang minimalis, namun kelihatan cukup elegan,” ujarnya.
Selepas memilih rekaan, pelanggan akan dibawa ke bengkel yang menempatkan semua peralatan diperlukan untuk menghasilkan sebentuk cincin seperti alat mencairkan besi serta tukul.
“Sebagai pereka barang kemas, saya akan menemani pelanggan sepanjang proses tersebut dan membantu mereka sekiranya diperlukan.
“Justeru, pelanggan tidak perlu gusar sekiranya mereka tidak faham tentang cara menggunakan peralatan tertentu di dalam bengkel. Satu sesi membuat cincin mengambil masa selama dua jam,” ulasnya lagi.
Zo Craft menawarkan tiga jenis cincin iaitu perak, emas putih dan emas.
Pelanggan juga boleh membuat permintaan sekiranya mereka berhasrat menambah berlian pada cincin dihasilkan.
Harga bagi membuat sepasang cincin sendiri di Zo Craft bermula dari RM580 sehingga RM6,030 bergantung kepada saiz dan bahan.
Jelas Jin Ling, kebanyakan pelanggannya memberi maklum balas bahawa membuat ukiran pada cincin adalah antara proses paling sukar.
Maklumnya, ia dianggap sukar kerana ukiran yang diinginkan pelanggan tidak menjadi seperti apa diharapkan.
“Kebanyakan pelanggan berkata bahawa proses mengukir motif, abjad atau tarikh tertentu pada permukaan cincin adalah paling sukar.
“Ini memandangkan kebarangkalian untuk menghasilkan ukiran yang tidak kemas sangat tinggi. Ada ketikanya, ukiran yang terhasil tidak seperti dimahukan.
“Biarpun begitu, proses berkenaan yang menjadikan pengalaman membuat cincin sendiri ini lebih unik dan bersifat peribadi,” ujarnya.














