fbpx

Ronaldo ledak empat gol, kumpul 503 jaringan di kelab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO semakin mempamerkan belangnya di Arab Saudi apabila meledak empat gol ketika menentang Al Wehda awal pagi semalam. – AFP

RIYADH – Cristiano Ronaldo meledak empat gol ketika pasukan­nya, Al Nassr menewaskan Al Wehda 4-0 pada aksi Liga Arab Saudi awal pagi semalam sekali gus melepasi pencapaian 500 gol dalam kariernya bersama kelab.

Pemain berusia 38 tahun itu ketika ini berjaya mengumpul keseluruhan 503 gol bersama lima pasukan berbeza dan juga di lima liga berlainan sepanjang kariernya.

Dia menghasilkan tiga gol bersama Sporting Lisbon, 103 di Manchester United, manakala 311 gol bersama Real Madrid serta 81 bersama gergasi Serie A, Juventus.

Ketika ini Ronaldo sudah berjaya meledak lima gol bersama Al Nassr selepas menyertai pasukan itu apabila kontraknya ditamatkan serta-merta oleh United berikutan pendedahan kontroversi dalam satu temu bual.

Pada aksi awal pagi semalam itu, dia meledak gol ke-500 selepas 21 minit aksi berlangsung apabila melepaskan rembatan menggunakan kaki kiri dan menambah gol kedua kira-kira lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Ronaldo mencipta hatrik pertama di Arab Saudi dan ke-61 dalam kariernya apabila me­nyempurnakan sepakan pe­nalti kira-kira lapan minit selepas babak kedua bermula sebelum menghasilkan gol keempat lapan minit kemudiannya.

Sebelum ini, kapten Portugal itu membuka akaun gol bersama Al Nassr ketika menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika mereka ter­ikat 2-2 menentang Al Fateh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI