MERCEDES Benz Malaysia telah memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) EQA 250 awal tahun lalu.
Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman itu masih menggunakkan platform kenderaan utiliti sukan (SUV), GLA dengan kod H247.
Walaupun EV ini berkongsi platform dengan model GLA, ia telah diberikan kejuruteraan semula untuk menyesuaikannya dengan sistem janaan elektrik.
Sebagai contoh, baterinya terdiri daripada lima modul yang terletak di bawah ruang penumpang di tengah kenderaan. Ini secara tidak langsung menjadikan lantai pada ruang penumpang belakangnya lebih tinggi berbanding GLA.
Sementara itu, kapasiti but juga 100 liter lebih kecil menjadikannya 340 liter sahaja. Kedudukan motor elektrik juga terletak di posisi enjin biasa GLA, maksudnya tiada ruang kosong di bahagian bawah hud depan.
EQA 250 menggunakan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan melalui kotak gear satu kelajuan.
Janaan kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sehingga 190PS, manakala tork tertinggi ialah 375Nm.
Model ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 8.9 saat walaupun EV ini seberat 2,040 kilogram.
Model ini menggunakan motor elektrik yang dikuasakan bateri lithium-ion 420 volt sejukan cecair dengan kapasiti 66.5kWh.
Dengan menggunakan pengecas 11kW AC (sambungan Type 2) ia boleh dicas penuh dalam masa 5 jam 45 minit.

Namun, sekiranya menggunakan pengecas pantas DC yang mampu mengecas hingga 100kW bersama sambungan CCS2, pengecasannya hanya mengambil masa 32 minit untuk mencapai hingga 80 peratus.
Sekiranya bateri penuh, EV ini mampu bergerak sejauh 429 kilometer (km) mengikut kitaran WLTP.
Perbezaan utama bahagian luaran EQA dan GLA ialah EQA mempunyai lampu utama lebih tirus dan jeriji gril tertutup. Lampu utama standard LED High Performance juga datang dengan perincian biru yang menunjukkannya sebagai model EQ, selain DRL bersepadu dihubungkan dengan jalur tunggal di atas grilnya.
Model EQA di Malaysia ditawarkan dengan pakej AMG Line termasuk bampar depan yang lebih sporty dengan apron bawah yang lebih lebar berbukaan udara di bucu.
Bampar belakang pula menerima perincian yang sama seperti bampar depan, dengan sirip diffuser lebih menonjol.
Masuk ke ruang kabin, tidak banyak perbezaan berbanding GLA. Ini termasuklah sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan berkembar bagi instrumen dan infotainment 10.25 inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta servis Mercedes Me Connect dan telematik.
Selain itu, ciri-ciri dalaman termasuklah kerusi sport dengan bahagian depan larasan kuasa dan fungsi memori, kawalan pendingin dwizon Thermotronic (dengan corong belakang), sistem lampu suasana, head-up display, stereng balutan kulit Nappa, pengecas tanpa wayar dan lain-lain.
Namun, pada pandangan penulis, kemasan ruang dalaman EQA 250 lebih kemas dan menarik berbanding GLA.
Ciri keselamatannya juga menarik. Tidak hanya mempunyai sistem keselamatan aktif yang ada pada GLA, EQA turut hadir dengan Driving Assistance Package, Active Distance Assist Distronic iaitu kawalan melayar aktif dengan ikutan kelajuan rendah dan penghidup semula), Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Active Blind Spot Assist, Parking Assist Parktronic dan Urban Guard.
Bagi keselamatan orang di luar kenderaan, terdapat janaan bunyi Acoustic Ambient Protection yang aktif hingga kelajuan 20km/j agar kehadiran kereta ini disedari untuk makluman pejalan kaki dan pengayuh basikal.














