fbpx
AFIFAH NASIR

Sorok calon suami? Kekasih saya pemalu – Afifah Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA yang tidak mahu melangkah ke alam perkahwinan dan membina keluarga sendiri jika sudah mempunyai perhubungan serius.

Sama juga seperti pelakon jelita, Afifah Nasir yang dalam perancangan bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

Hasrat tersebut bagaimanapun harus ditangguhkan terlebih dahulu atas beberapa faktor.

Selain jadual, Afifah lebih memilih untuk memberi laluan kepada kakaknya iaitu Mia Nasir yang juga seorang pelakon untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

Perasaan ingin mendirikan rumah tangga semakin berbunga-bunga apabila melihat kebahagiaan hidup berpasangan seperti yang ditonjolkan adik-beradiknya termasuk Anzalna Nasir bersama pasangan masing-masing.

Dari sudut yang sedikit peribadi, pemilik nama lengkap Nur Afifah Mohd. Nasir lebih memilih untuk menstabilkan kewangan kendiri sebelum berkongsi hidup bersama lelaki pilihan.

“Melihat hubungan kakak-kakak yang sudah berkahwin bersama suami mereka memang sangat seronok.

“Dapat pula bercuti bersama-sama dengan suami yang memang saya impikan sejak dari dulu.

“Cuma masa tidak mengizinkan lagi untuk melangkah ke alam seterusnya memandangkan kami ingin menstabilkan kewangan terlebih dahulu,” katanya kepada HibGlam.

AFIFAH tidak terburu-buru untuk menamatkan zaman bujang dan memilih untuk menstabilkan kewangan kendiri. – AFIQ RAZALI

Bakal suami

Menceritakan lebih lanjut mengenai calon suami pilihan, Afifah lebih selesa merahsiakan identiti si kekasih hati bagi menjaga privasi diri pasangan.

“Bakal suami saya bukan orang yang daripada industri hiburan dan dia merupakan seorang yang sangat pemalu.

“Dia juga sangat privasi sehingga saya rasa tidak perlu untuk mendedahkan identitinya buat masa ini.

“Disebabkan sikap pemalunya, saya jadi risau dia berasa tidak selesa jika sudah dikenali ramai,” ujar pelakon berusia 30 tahun itu.

Ditebak mengenai persediaan bakal suami berdepan tempias populariti, pelakon Pengantinku Jatuh Dari Langit itu memaklumkan bahawa pasangannya reda dengan perkara tersebut yang tidak dapat dielak memandangkan menjalin hubungan dengan seorang artis.

“Meskipun dia tidak aktif dalam media sosial tetapi dia sedar tentang tempias populariti.

“Tiada apa yang boleh dilakukan dan dia hanya perlu hadapi sahaja arus populariti ini dengan tenang,” ujarnya yang sudah mempunyai perancangan hari bahagianya kelak.

AFIFAH mahu berdikari menguruskan majlis perkahwinannya yang dirancangkan selewat-lewatnya tahun depan.

Perancangan majlis

Dengan latar belakang keluarga yang terlibat secara langsung dalam industri seni dan nama sedang meningkat naik, Afifah juga memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup bersama keluarga terdekat.

Namun, ibu bapa kepada pelakon drama Sentuhan Najwa itu tetap mahu mengadakan majlis secara besar-besaran buat anak perempuannya itu.

“Kalau ikutkan memang mahu jalankan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat.

“Apa yang paling penting adalah menjalankan majlis sudah cukup baik.

“Namun ibu bapa saya mahu menjemput kawan-kawan untuk memeriahkan majlis. Tengoklah kemudian sebab lokasi belum ditentukan lagi,” jelasnya.

BERBEZA dengan kakaknya, Afifah lebih selesa untuk mengadakan upacara pernikahan secara tertutup

Soal tarikh juga belum diputuskan memandangkan agenda terdekat, pernikahan kakaknya, Mia Nasir terlebih dahulu menjadi fokus Afifah dan keluarga.

“Tarikh sahaja yang belum ditetapkan tetapi segala perancangan sudah dicatat.

“Kalau boleh saya mahu tahun ini juga, insya-Allah. Paling lama pun tahun depanlah,” tuturnya.

Meskipun tiada sebarang tarikh yang ditetapkan akibat sibuk dengan jadual harian, anak keempat daripada lima beradik itu sudah mempunyai senarai asas yang perlu diselesaikan sebelum melangsungkan majlis bahagianya.

“Rekaan pelamin juga sudah berada dalam fikiran dan tinggal untuk bersedia melangkah ke alam perkahwinan sahaja.

“Jika sudah ada tarikh tetap, saya akan memberitahu kepada umum kelak kerana orang sudah menunggu.

“Buat masa sekarang, saya hanya tunggu masa sesuai dan tinggal untuk menjayakan hari bahagia saya sahaja,” katanya.

AFIFAH sebenarnya selesa apabila bakal suami terlalu aktif dalam media sosial.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN