LUMUT – Perak dijangka kehilangan satu-satunya kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari, tidak lama lagi jika tindakan menceroboh kawasan itu terus dibiarkan berleluasa.
Terbaharu, tinjauan mendapati salah satu kawasan pantai di situ sudah diceroboh dan dilakukan kerja-kerja pengorekan pasir selain terdapat cerucuk kayu yang ditanam di situ.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, beliau diberitahu bahawa kerja-kerja pengorekan pasir itu bertujuan bagi membina jeti atau pontoon untuk membawa keluar pasir milik sebuah syarikat berhampiran.
“Jika jeti itu dibina, maka saya percaya penyu tidak akan mendarat lagi di Pantai Pasir Panjang yang juga satu-satunya lokasi pendaratan penyu untuk bertelur di negeri ini, kerana haiwan itu tidak akan mendarat di pantai yang dilakukan pembangunan atau ramai manusia.
“Jika tiada usaha segera dilakukan bagi menghalang pembinaan itu dan tiada juga usaha untuk menjaga pantai itu daripada diceroboh, maka pendaratan penyu di Perak hanya akan tinggal kenangan sahaja (untuk diceritakan kepada generasi akan datang),” katanya ketika membawa pemberita meninjau kawasan tersebut hari ini.
Sehubungan itu, Meor Razak meminta pihak berkuasa segera bertindak menghalang pembinaan jeti tersebut serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat kerana menceroboh kawasan yang dianggap sensitif alam sekitar itu.
Beliau mengulangi desakan kepada kerajaan negeri agar mewartakan pantai sepanjang lima kilometer itu sebagai kawasan perlindungan khusus untuk pendaratan penyu dan penyu bertelur, sekali gus dapat dilakukan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan pantai tersebut. – KOSMO! ONLINE














