fbpx
CHEBOI pernah menaiki pesawat dengan mengangkut 44 buah komputer terbuang ke dalam pesawat dan dia perlu membayar untuk muatan jauh lebih tinggi daripada tiket penerbangan itu sendiri.

Kumpul komputer terbuang dari AS, buka makmal komputer di Kenya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJA gila. Itu mungkin ungkapan yang tepat menggambarkan usaha mengagumkan yang dilakukan wanita kelahiran Mogotio, Kenya bernama Nelly Cheboi ini demi kecintaannya untuk mendidik anak bangsa.

Daripada seorang yang asalnya buta teknologi maklumat (IT) atau komputer, Cheboi, 29, yang tidak mahu kanak-kanak di Kenya mengalami nasib serupa sepertinya telah melakukan hal yang bukan biasa-biasa.

Hanya mengenali komputer setelah berusia 18 tahun sewaktu berhijrah dan menuntut di Amerika Syarikat (AS), dia kemudian telah ‘mengangkut’ komputer-komputer terbuang di AS ke Kenya. Cheboi menghimpunkan komputer-komputer itu di sebuah tempat di kampungnya lalu dijadikan sebuah sekolah atau makmal komputer.

Setelah menamatkan pengajian, dia telah bekerja sebagai jurutera perisian di salah sebuah syarikat ternama, Logitech MX yang berpangkalan di AS, namun dia sanggup berhenti kerja bagi mengembangkan usahanya membantu sekolah-sekolah di Kenya.

Ramai yang kagum dengan kesungguhannya. Maka, tidak hairanlah wanita itu baru-baru ini dipilih dan dinobatkan sebagai Hero of the Year 2022 oleh CNN.

CHEBOI menyebarkan pengetahuan asas komputer kepada kanak-kanak di Kenya.

Dibesarkan dalam keluarga penuh kedaifan dan miskin di sebuah perkampungan kecil, itu membuatkan dirinya nekad untuk keluar dari sisi gelap sekali gus mengubah nasib keluarganya.

“Saya dibesarkan di Mogotio, sebuah kampung di pedalaman dengan jarak empat jam perjalanan dari Nairobi, Kenya.

“Saya dibesarkan dalam kemiskinan, pergi ke sekolah berkaki ayam dan tidur dalam keadaan kelaparan. Yuran sekolah di Kenya sangat mahal. Saya melihat ibu saya, sebagai ibu tunggal bekerja keras untuk membiayai pendidikan saya dan kakak,” katanya.

Jelas Cheboi, pelbagai pekerjaan pernah dilakukan ibunya termasuklah berniaga walaupun beberapa kali gagal dan jatuh tersungkur.

“Semangat luar biasa ibu itu menjadi suntikan motivasi buat saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan keluar dari kepompong kesusahan,” katanya.

Usai tamat persekolahan dengan keputusan peperiksaan yang begitu baik, Cheboi ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama di AS. Peluang tersebut dijadikan batu loncatan buatnya untuk merubah nasib keluarga.

“Saya dilahirkan di kampung yang jauh dengan akses teknologi apatah lagi kemajuan internet. Teknologi ibarat langsung tiada dalam kamus hidup saya.

“Cita-cita saya masa kecil adalah untuk bergelar juruterbang. Keinginan itu berpunca daripada imaginasi untuk melarikan diri daripada kemiskinan. Bagaimanapun, penerbangan pertama saya ke AS merubah segalanya dan sedar bahawa saya tidak sesuai menjadi juruterbang,” katanya.

Di AS, dia pada awalnya mengikuti pengajian dalam bidang kimia.

Pun begitu, dia nekad menukar jurusan daripada kimia kepada sains komputer ketika tahun ketiga pengajian.

“Semasa tahun ketiga di kolej, saya terpaksa mengambil kursus pengantar Java (komputer) sebagai keperluan utama matematik dan ternyata saya mula jatuh cinta dengannya.

“Saya nekad meninggalkan jurusan kimia dan bertukar ke jurusan sains komputer. Saya akhirnya mendapat ijazah sains komputer hanya dalam satu tahun pengajian,” ujarnya berbangga.

Meneruskan cerita, Cheboi memberitahu, ketika pengajian di kampus, dia turut bekerja separuh masa sebagai janitor pembersihan dan dibayar gaji setiap bulan.

CHEBOI (tengah) yang hadir bersama ibunya menerima gelaran Hero of the Year 2022 oleh CNN di New York, baru-baru ini.

Ujarnya, wang hasil titik peluh bekerja sambil belajar itu dikirim kepada keluarganya di kampung selain membaiki rumah yang kian usang dan menunggu masa menyembah bumi.

“Cuma ada satu masa, terdetik di hati jika saya berterusan menghantar wang ke kampung setiap bulan, saya tidak akan dapat memberi kembali kepada komuniti saya. Jadi, saya memutuskan untuk membina sekolah yang dinamakan Zawadi.

“Sekolah yang saya asaskan itu lebih kepada mengajar dan memberi pendedahan kepada anak-anak kecil pengetahuan mengenai komputer.

“Setiap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Zawadi hanya dicaj AS$10 (RM40) sebulan dan itu cukup bagi membayar gaji guru dan menampung keperluan lain di sana,” katanya.

Menariknya, semua komputer yang digunakan di sekolah tersebut dibawa baliknya sendiri dari AS ke Kenya menggunakan pesawat komersial.

Cerita Cheboi, selepas dia tamat pengajian, dia memulakan kerjaya sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat teknologi terkemuka dan dari situ ‘idea gila’ untuk ‘mengimport’ semua komputer yang tidak digunakan ke sekolah miliknya itu.

“Ada kanak-kanak di Kenya termasuk saya suatu ketika dahulu yang tidak tahu apa itu komputer.

“Ketika bekerja, saya perhatikan banyak komputer dibazirkan dan dibuang begitu saja. Setiap tiga tahun, komputer yang digunakan kakitangan akan dilupuskan kerana sudah tidak lagi lancar dan efisien.

“Sebahagian daripadanya boleh dikitar atau guna semula, tetapi tidak banyak. Jadi saya mula mengumpul komputer dan membawanya ke sekolah menerusi penerbangan.

“Saya membawa 44 buah komputer yang mana saya perlu membayar untuk muatan lebih banyak daripada nilai tiket penerbangan sendiri. Komputer-komputer tersebut saya perlu pikul dan angkut melepasi pemeriksaaan imigresen di lapangan terbang,” kongsinya.

Bermula dari sebuah sekolah yang didirikan, Cheboi berbangga kerana kini memiliki sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TechLit Africa yang kini bertanggungjawab menghimpunkan komputer-komputer derma, terbuang sebelum membaikinya dan mengajar asas komputer kepada lebih 4,000 pelajar di seluruh Kenya.

Usaha berterusan Cheboi itu telah membawa lebih ramai rakyat di Kenya menerokai dunia teknologi digital serta tidak lagi ketinggalan.

Komitmen Cheboi itu telah melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Hero of the Year 2022 oleh CNN baru-baru ini.

Dalam satu majlis yang dihoskan oleh Anderson Cooper dan Kelly Ripa yang disiarkan secara langsung dari New York City, Cheboi telah dianugerahkan gelaran tersebut sekali gus memenangi wang tunai AS$100,000 (RM426,000) untuk mengembangkan lagi usaha murninya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN