fbpx
BAHRIN (dua kanan) menunjukan barang-barang rampas selepas berjaya menahan tiga orang lelaki pada 31 Januari lalu ketika mengadakan sidang akhbar di IPD Kluang hari ini.

Geng Sekolah Rongak aktif pecah masuk sekolah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Tiga lelaki yang dikenali sebagai Geng Sekolah Rongak yang aktif melakukan jenayah pecah masuk sekolah melibatkan kerugian kira-kira RM49,794.14 akhirnya tumpas apabila mereka dicekup dalam tiga serbuan, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua suspek yang diberkas itu berusia 21 hingga 34 tahun.

“Tangkapan pertama suspek berusia 34 tahun dilakukan di sebuah pusat hiburan di bandar Kluang kira-kira pukul 11 malam, manakala suspek kedua dan ketiga berusia 21 tahun ditahan di kediaman masing-masing pada pukul 2 pagi serta 3 petang hari yang sama.

“Hasil siasatan ke atas semua suspek mendapati mereka mengaku terlibat dengan kira-kira 10 kes pecah sekolah di Daerah Mersing, Batu Pahat dan Kluang sejak bulan Disember 2022 lepas,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Bahrin berkata, hasil semakan mendapati tangkapan berusia 34 tahun mempunyai 19 rekod jenayah lampau selain pernah dikenakan hukuman buang daerah (POCA) di Pahang.

Selain itu, katanya, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira, enam komputer riba dan dua tablet serta pelbagai barangan yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan sekolah-sekolah yang difikirkan boleh dipecah masuk selepas mendapati pengawal keselamatan berada di pondok kawalan di hadapan sekolah,” katanya.

Tambahnya lagi, semua tahanan dikenakan tahanan reman selama empat hari sehingga 3 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN