PETALING JAYA – Pengguna jalan raya selain penunggang motosikal memberitahu mereka perlu amat berhati-hati ketika memandu dalam kesesakan lalu lintas bagi mengelak terlanggar motosikal tersebut yang muncul tiba-tiba tanpa disedari.
Mohd. Fauzan Ismail, 43, berkata, dia cukup risau apabila berdepan dengan jalan sesak ketika memandu kerana bimbangkan motosikal yang suka mencelah-celah dan muncul di depan secara tiba-tiba.
“Jika jalan sesak, kita risau motosikal sebab dari mana-mana mereka boleh muncul dan kalau gagal kawal kenderaan, kita mungkin akan terlanggar mereka.
“Mereka tidak mahu berhenti sekejap, seolah-olah ia satu kesalahan. Ada yang jenis panas baran, perasan motosikal sangat laju atau terlalu yakin mencelah-celah seolah-olah tiada risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi.
Bagi Muhammad Hijjas Abdul Wahab, 43, pula, dia melalui banyak pengalaman nyaris berlanggar dengan motosikal semasa memandu kereta.
Menurutnya, antara punca penunggang motosikal tidak beri signal, menyelit serta menggunakan laluan bertentangan terutama di jalan luar bandar.
“Begitu juga penghantar makanan menyelit sesuka hati sehingga beg di belakangnya sudah senget macam hendak jatuh.
“Menunggang secara melulu, main masuk saja dan kita terpaksa sentiasa berwaspada akan kelibat mereka,” katanya.
Tambahnya, dia sering mengambil pendekatan memberi keutamaan kepada motosikal untuk menggunakan laluan demi menjamin keselamatan mereka.
“Beri motosikal jalan dulu tidak mahu bersaing sebab bahaya dan pandu kereta ada dinding. Mereka mana ada apa-apa,” katanya.
















