fbpx

Hakisan ‘ranapkan’ restoran popular di Pantai Penarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN struktur pondok makan dan jeti runtuh akibat hakisan dalam kejadian di Setiu minggu lalu.

SETIU – Keterujaan 200 pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah restoran ikan celup tepung terkenal di Pantai Penarik di sini, bertukar kelam kabut apabila sebahagian struktur pondok makan dan jeti premis itu runtuh akibat hakisan dalam kejadian minggu lalu.

Kejadian pada pukul 5 petang itu turut memusnahkan benteng konkrit penghadang ombak sepanjang lebih 50 meter yang dibina pengusaha Restoran NL Celup Tepung Bira Pata sejak tahun 2016.

Pengurus restoran berkenaan, Muhammad Aiman Sauti berkata, sewaktu kejadian, operasi premis sangat sibuk dengan 20 pekerjanya sedang bertugas melayan pelanggan.

“Kami semua terkejut kerana ini kejadian hakisan pantai pertama yang menjejaskan premis makanan sejak mula beroperasi tujuh tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya bersyu­kur apabila tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan menimpa pelanggan dan pekerja kami,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Muhammad Aiman berkata, hakisan pantai yang memusnahkan struktur pondok makan, jeti dan benteng konkrit penghadang ombak itu menyebabkan pengurusan restorannya mengalami kerugian hampir RM100,000.

Beliau berkata, selain restorannya, lebih 15 premis makanan lain yang bertemakan ikan celup tepung di pesisir Pantai Penarik di sini turut berisiko me­ngalami ancaman hakisan ekoran monsun Timur Laut.

“Kejadian ini menyedarkan kami tentang ancaman hakisan pantai yang sudah merebak hingga ke lokasi perniagaan di Pantai Penarik.

“Namun, kejadian ini tidak membuatkan kami serik untuk terus menghidupkan perniagaan ikan celup tepung di kawasan ini yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Muhammad Aiman berkata, pihaknya bercadang untuk membina semula benteng kon­krit penghadang ombak selepas musim tengkujuh berakhir pada bulan Mac nanti.

Dalam masa sama, beliau juga berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai sebelum keadaan menjadi lebih buruk. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI