fbpx
Tarian singa kini turut dipersembahkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Cina, Melayu, India bersatu dalam tarian singa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUKULAN gendang gadis berketurunan Melayu yang membuka tirai persembahan tarian singa dianggotai kumpulan remaja pelbagai kaum memecah keheningan malam.

Persembahan yang dilengkapi dengan paluan gong serta lagaan simbal itu mengiringi gerakan akrobatik tarian singa yang melambangkan simbol tuah dan keberkatan bagi masyarakat Cina.

Berpangkalan di kawasan perindustrian di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, keterlibatan empat remaja Melayu, seorang remaja India dan sembilan ahli kaum Cina dalam persembahan kumpulan Yong Jun Dragon and Lion Dance dilihat mampu menyuntik nafas baharu kepada tradisi yang berasal dari China itu.

Mengikut tradisi, persembahan tarian singa bukan sahaja dipersembahkan pada Tahun Baharu Cina, malah turut diadakan pada pembukaan perniagaan baharu, perkahwinan dan menyambut tetamu khas.

Menurut pengasas Persatuan Yong Jun Dragon and Lion Dance, Kobe Chan Yong Zhen, 32, persembahan tarian singa tidak memiliki unsur keagamaan biarpun sering dimulakan dengan ritual ‘penyucian’ iaitu Awakening of New Lion.

Tambahnya, upacara ‘penyucian’ tersebut merupakan sebahagian daripada elemen kebudayaan yang diamalkan secara turun-temurun dan menjadi satu simbolik dalam persembahan tarian singa.

Justeru, tidak menjadi masalah buat kaum lain, terutama kepada mereka yang beragama Islam untuk terlibat dalam seni persembahan tarian singa.

“Perkara paling penting dalam ritual ‘penyucian’ ialah masa dan tarikh yang tepat. Pada hari tersebut, seekor singa akan meniarap di hadapan penaja atau ahli kehormat.

“Kemudian, paluan gendang, gong dan simbal dimainkan secara mendatar. Penaja atau ahli kehormat akan melakukan upacara merenjis dengan menggunakan berus kaligrafi tradisional Cina pada bulatan seakan cermin di hadapan dahi singa, diikuti dengan mata, telinga, mulut, hidung, tanduk, tulang belakang sehingga hujung ekor serta keempat-empat kakinya.

“Singa tersebut akan bangkit dan memulakan persembahan dengan menawarkan sayur hijau dan buah mandarin, sebelum membuat formasi Di Qing kepada individu yang membangkitkannya itu,” katanya yang turut menjelaskan bahawa rentak muzik akan menjadi semakin rancak sebaik sahaja singa dibangunkan.

Bagi empat remaja Melayu iaitu Khairunnisa Adawiyah Khairil Johari, 14, dan adiknya Khairunnisa Afifah, 12, serta Adzwin Puteri Faizal Salehudin, 17, dan adiknya, Adzwi Shah, 13, bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tangga membuka jalan kepada mereka untuk mengenali tarian singa.

Semuanya bermula pada 2018 apabila kumpulan tarian Singa dari Persatuan Yong Jun Dragon and Lion Dance hadir membuat persembahan di sekolah terbabit bersempena Tahun Baharu Cina.

Keunikan persembahan yang menggabungkan elemen muzik dan sukan tersebut itu memukau Adawiyah yang pada ketika itu baru berusia 9 tahun, manakala Puteri berusia 12 tahun.

Menurut Adawiyah, ibu bapanya memberi restu kepada dia dan adiknya, Afifah untuk mempelajari kesenian budaya Cina tersebut sebagai salah satu aktiviti luar kokurikulum sekolah.

“Sebelum kami diletakkan pada posisi tertentu, kami perlu mempelajari semua instrumen dan pergerakan dalam persembahan tarian singa ini. Kemudian dari situ, jurulatih akan pilih siapa sesuai di posisi mana.

“Bukan mudah untuk mempelajari sesuatu yang bukan budaya kita, tetapi disebabkan minat, saya berusaha menguasai setiap instrumen yang ada dan bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi pemukul gendang,” katanya kepada Panorama.

Bukan hanya kaum Cina, kumpulan Yong Jun Dragon and Lion Dance turut dianggotai kaum Melayu dan India.

Berdiri tersipu di sebelah Adawiyah, Puteri yang fasih berbahasa mandarin menjelaskan kelebihan itu memudahkan mereka untuk menyerap segala ilmu yang diturunkan oleh jurulatih mereka.

Puteri turut ‘menyeret’ adiknya, Shah untuk sama-sama menambahkan lagi kepelbagaian dalam kumpulan tarian singa yang selama ini dipelopori etnik Cina itu.

“Kami berlatih tiga kali seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad malam. Kalau ada pertandingan, kami akan ada latihan tambahan,” jelasnya.

Berbeza dengan rakan-rakan Melayunya, Sharvin Rao, 17, bukan pelajar sekolah Cina dan tidak boleh berbahasa mandarin.

Namun, kekurangan tersebut tidak menjadi penghalang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bukit Beruntung untuk mencuba sesuatu di luar zon selesanya pada tahun 2017.

Bahkan, kesungguhannya itu membuatkan pihak Yong Jun Dragon and Lion Dance terbuka hati untuk mengajarnya meskipun memerlukan mereka untuk berkomunikasi dalam tiga bahasa iaitu

Inggeris, Cina dan Melayu.

Berkongsi berkenaan bagaimana mula berputiknya minat terhadap tarian singa pada usia 11 tahun, cerita Sharvin, ia salin tak tumpah seperti kisah cinta pandang pertama.

“Saya tinggal berdekatan. Jadi, saya akan lalu kawasan ini setiap kali mahu keluar bersama ibu bapa untuk beli barangan dapur. Saya selalu nampak mereka berlatih dan itu membuatkan hati saya terpaut.

“Justeru, saya memberanikan diri untuk memohon agar saya boleh sertai kumpulan ini tanpa memikirkan tentang masalah komunikasi atau kekurangan pengetahuan tentang tarian singa,” katanya yang kini merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa.

Usaha Sharvin membawa pulangan apabila dia diberi kepercayaan untuk memegang dua peranan iaitu pemukul simbal dan menjadi ekor singa.

Bagi Sharvin, menjadi ekor singa memerlukannya menjalani latihan intensif bagi meningkatkan lagi kekuatan pada otot kaki dan tangan agar mampu mengangkat rakan di hadapan dengan sempurna.

“Secara peribadi, saya rasa lebih mudah untuk jadi ekor singa walaupun rutinnya memerlukan lebih tenaga, berbanding bermain instrumen,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN