Oleh MOHD FARIQ
LEGENDA bola sepak negara, Nasir Yusoff telah diberikan kepercayaan apabila dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC berkuat kuasa hari ini.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyifatkan kehadiran Nasir yang pernah mendakap dua kali Piala Malaysia (1985 dan 1991) ketika menyarung jersi Johor dari 1981 hingga 1994 bagaikan jauhari mengenal manikam.
Jelas Norizam, beliau turut membawa Nasir bersama pasukan Kelantan FC menjalani persiapan awal sebelum bermula saingan Piala Malaysia di The Taaras Beach & Spa Resorts Pulau Redang, Terengganu.
Katanya, pelantikan Nasir sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC dilihat mampu melonjakkan motivasi dan keyakinan pasukannya. pada masa akan datang.
“Saya percaya kehadiran legenda yang dikenali The Professor ini secara tidak langsung memberikan suntikan moral kepada pasukan Kelantan FC.
“Nama Nasir bukan asing dalam dunia bola sepak tempatan dan sudah pasti kami mengalu-alukan kedatangan Nasir dalam keluarga Kelantan FC.
“Saya yakin dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki Nasir akan memberikan satu input kepada pasukan Kelantan FC untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
“Saya memilih The Taaras Beach & Spa Resorts bukan semata-mata sebagai salah satu pulau tercantik di dunia tetapi lebih kepada untuk menaikkan kembali semangat barisan pemain Kelantan.
“Musim ini boleh dikatakan tahun sukar buat kami, tetapi syukur alhamdulillah, Kelantan masih berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas menduduki tangga keempat Liga Premier.
“Ini juga merupakan satu motivasi kepada pemain-pemain selepas apa yang terjadi berkenaan isu lama yang terpalit kepada pasukan Kelantan sebelum ini.
“Jadi, saya fikir pemain-pemain berhak untuk santai dan menikmati kejayaan mereka selepas bekerja keras tetapi pada masa sama, saya mahu pemain sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” katanya.
Sementara itu, Nasir memberitahu, beliau berasa bangga kerana diberikan penghormatan selepas dilantik menjadi Penasihat Teknikal Kelantan FC.
Menurutnya, beliau akan berusaha keras untuk mencapai misi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan yang sebelum ini diangkat menjadi pasukan gergasi negara dan Pantai Timur.
“Saya bersyukur dan berbangga kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi Penasihat Teknikal Kelantan FC.
“Sudah pasti kami sebagai satu pasukan akan memberikan yang terbaik dalam misi mengembalikan maruah Kelantan FC. Tetapi perjalanan itu tidak mudah di mana kita perlu fokus satu demi satu visi dan misi Kelantan FC,” katanya.
Sementara itu, pemilik The Taaras Beach & Spa Resorts, Tan Sri Vincent Tan melahirkan rasa penghargaan kepada Kelantan FC yang memilih resort itu sebagai lokasi persiapan pasukan.
“Kami di The Taaras Beach & Spa Resorts berasa teruja kerana diberikan penghormatan apabila pasukan Kelantan FC memilih lokasi ini sebagai persiapan awal mereka menjelang Piala Malaysia 2020.
“Saya juga ingin mengalu-alukan mana-mana pasukan yang berminat untuk membuat persiapan ini boleh datang ke The Taaras Beach & Spa Resorts yang akan dibuka pada musim monsun sehingga Disember depan,” ujarnya.
• Mohd. Fariq adalah penulis bebas