PETALING JAYA – Mereka yang menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan diri sendiri dihukumkan sebagai orang yang telah melakukan dosa besar dan perlu meminta maaf kepada pihak dianiaya atau dikhianati.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ia bagi menghapuskan dosa yang dilakukan.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak membelanjakan dana awam dengan telus termasuk dalam hukum itu. Setiap pergerakan duit perlu ditunjukkan supaya semua pihak berpuas hati.
“Jika dia khianat ia sudah dikira tidak amanah. Wang yang bukan hak kita tidak boleh digunakan sesuka hati.
“NGO tidak boleh sembunyikan perbelanjaan dana awam lebih-lebih lagi menggunakan nama agama. Ia boleh membuatkan Islam akan dipandang serong,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Wan Salim, pengkhianat dihukumkan sebagai munafik di dalam al-Quran dan hadis di mana salah satu ciri mereka ialah apabila diberi amanah dia khianat.
Sehubungan itu, Wan Salim menasihatkan segelintir mereka yang sudah berpaling daripada tujuan asal pertubuhan agar segera bertaubat.
“Kita harap bila diamanahkan untuk sesuatu tugas, kita kena tunaikannya. Orang awam juga perlu berhati-hati daripada menjadi mangsa dieksploitasi,” katanya.














