fbpx
AZRI terus memecut laju motosikalnya selepas melihat kelibat lembaga putih menyerupai seorang wanita di tepi tasik. – ILUSTRASI HASAN SHAH

Diganggu puaka selepas tonton filem seram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENONTON filem merupakan salah satu akti­viti yang kerap kali dilakukan oleh kebanyakan daripada kita sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan.

Menonton filem bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dan menghilangkan tekanan, tetapi mampu merapatkan hubungan sosial.

Atas dasar itulah, Azri (bukan nama sebenar) kerap menghabiskan malam hujung minggunya untuk menonton filem di panggung wayang atau rumah.

Jelas Azri, hobinya itu bermula sejak dia masih menuntut di universiti dan masih berterusan sehingga detik ini walaupun sudah berkeluarga.

Apabila bercerita tentang aktiviti kegemarannya itu, Azri memberitahu, terdapat satu kejadian seram yang berlaku sehingga dia tidak mampu melupakannya sehingga kini.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu ketika dia masih menuntut di sebuah universiti di utara Semenanjung.

“Ketika itu, saya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk menonton sebuah filem seram di rumah sewa bersama rakan-rakan. Ini kerana ketika itu tiada filem menarik untuk ditonton di panggung wayang.

“Saya dan lima rakan yang lain memilih untuk menonton sebuah filem seram dari negara jiran kita.

“Kami memang gemar menonton filem-filem seram dan ia sudah menjadi aktiviti mingguan ketika masa lapang,” katanya.

Menurutnya lagi, memandangkan dia masih tinggal di asrama kampus, Azri terpaksa menunggang motosikal seorang diri ke rumah sewa rakannya yang terletak kira-kira 15 kilometer dari universiti.

Katanya, kebiasaannya mereka mula menonton filem seram kira-kira pukul 12 tengah malam selepas makan di sebuah gerai terletak bersebelahan blok pangsapuri rumah sewa rakannya itu.

“Seperti biasa, kami akan menutup lampu di ruang tamu dan hanya membiarkan lampu di bahagian dapur menyala bagi membangkitkan suasana seram.

“Kebetulan pada malam itu, cuaca agak tidak baik dengan hujan turun disertai tiupan angin yang agak kencang.

“Disebabkan rumah sewa rakan saya itu terletak di tingkat lima, tiupan angin dari luar masuk ke ruang tamu agak kuat sehingga menyebabkan langsir berterbangan ke atas dan ke bawah,” katanya.

Cerita Azri lagi, selepas kira-kira sejam setengah menonton filem seram tersebut, tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

Ujarnya, ia menyebabkan suasana di dalam rumah dan di kawasan sekeliling pangsapuri tersebut menjadi gelap-gelita.

Katanya lagi, disebabkan teruja untuk menghabiskan filem tersebut, dia dan rakan-rakannya terus menunggu dengan harapan bekalan elektrik akan kembali pulih.

Bagaimanapun, selepas sejam menunggu, tiada tanda-tanda bekalan elektrik akan pulih. Justeru, dia mengambil keputusan untuk pulang ke asrama memandangkan hujan ketika itu sudah berhenti.

Disebabkan hanya dia seorang sahaja yang tinggal di asrama, Azri menunggang motosikal bersendirian tanpa ditemani rakannya untuk pulang.

Jelasnya lagi, sebaik tiba di pintu masuk asrama pelajar, dia mendapati keseluruhan bangunan asrama penginapan juga kegelapan disebabkan tiada bekalan elektrik.

“Tanpa berfikir apa-apa, saya terus menunggang motosikal melalui kawasan tasik yang terletak bersebelahan asrama. Ketika itu, angin masih bertiup kencang walaupun hujan sudah berhenti.

“Tiba-tiba dari kejauhan, saya dapat melihat kelibat ‘seseorang’ dengan pakaian serba putih sedang berdiri di tepi jalan berhampiran dengan tasik.

“Saya yang mula ketakutan kemudian memberhentikan motosikal. Ini kerana fikiran sudah memikirkan pelbagai perkara termasuk jelmaan lembaga yang kerap ditonton dalam filem-filem seram.

“Tiada sebarang kenderaan melalui kawasan tersebut dan saya masih dapat melihat dengan jelas kelibat makhluk menyerupai wanita itu terus berdiri di situ tanpa bergerak.

“Saya yang ketakutan mula memusingkan motosikal untuk pulang semula ke rumah sewa rakan,” katanya.

Kata Azri lagi, sebaik motosikalnya bergerak kira-kira 50 meter, tiba-tiba kelibat lembaga putih tersebut dilihat berada di atas kepalanya dalam keadaan terbang dengan rambut mengurai panjang.

Dia yang ketakutan terus memecut laju motosikalnya sambil membaca beberapa surah yang terdapat di dalam al-Quran sebagai pendinding diri.

“Dalam tempoh tidak sampai 15 saat, lembaga itu terus terbang tinggi di sebalik sebatang pokok paku lima bersaiz besar yang terletak di tepi jalan sambil mengilai.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus memecut motosikal. Sebaik tiba di rumah sewa rakan, saya terus masuk ke dalam bilik tanpa bercakap apa-apa.

“Keesokan harinya, saya menceritakan kejadian seram itu kepada rakan-rakan dan mereka turut tergamam dengan apa yang saya alami,” katanya.

Jelas Azri lagi, selepas peristiwa itu, dia tidak lagi menonton filem-filem seram kerana bimbang kejadian sama berulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN