Menikmati keindahan alam semula jadi di pesisiran pantai sambil mendengar pukulan ombak mampu memberi ketenangan buat terapi diri.
Pemandangan landskap hijau yang tumbuh meliar di kawasan tersebut juga antara terapi yang sangat bermanfaat, sekali gus menghasilkan detonasi semangat di dalam diri.
Desiran pohon kecil seperti pokok jeruju yang dibadai angin laut merupakan antara terapi yang mampu menjadi ‘tonik’ luar biasa tatkata diri dihimpit tekanan.
Untuk makluman, pokok jeruju atau Acanthus ilicifolius adalah sejenis pokok renek yang dianggap semak samun dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Hakikatnya, ia adalah sejenis tumbuhan bermanfaat kepada manusia yang hidup di alam cakerawala ini.
Manfaat itu digunakan sebaiknya oleh Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pulau Tanjung Surat yang menjadikan daun pokok jeruju sebagai teh herba serta jus.
Pengerusinya, Badariah Ayob berkata, pokok jeruju banyak terdapat di persisiran pantai atau sungai yang tumbuh meliar terutamanya pada pohon bakau.
Ujarnya, tumbuhan tersebut memiliki sifat dan ciri-ciri unik seperti berbatang basah, tumbuh tegak atau berbaring pada pangkalnya.
Jelasnya lagi, ia memiliki ketinggian antara 0.5 hingga dua meter serta mengeluarkan mahkota bunga berwarna kebiruan dan ungu.
“Pokok jeruju sering dianggap sebagai tumbuhan semak samun kerana tidak ramai yang mengetahui bahawa pohon ini mempunyai banyak manfaat kepada kehidupan manusia.
“Pokok ini ada tiga jenis iaitu jeruju putih, jeruju hitam dan jeruju berduri. Kami menggunakan ekstrak daunnya untuk dijadikan teh dalam bentuk uncang seperti yang terdapat di dalam pasaran ketika ini,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Proses menghasilkan serbuk teh herba membabitkan ketiga-tiga jenis daun jeruju yang dipetik di hutan paya bakau sekitar Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor.

Biasanya, daun jeruju berduri bersifat tirus atau runcing pada hujung bahagian dan sedikit tajam seperti duri. Sementara itu, daun jeruju hitam dan putih tidak memiliki ciri-ciri berkenaan.
Ujar Badariah, duri pada daun jeruju berduri akan dibuang terlebih sebelum dipotong kecil menggunakan gunting dan dicampurkan dengan daun jeruju jenis lain.
“Daun-daun yang sudah dipotong akan diletakkan di bawah cahaya matahari terik sehingga betul-betul kering.
“Tempoh masa pengeringan pula mengambil masa antara dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca pada hari proses pengeringan dilakukan,” katanya.
Jelasnya, usai daun dikeringkan, pihaknya akan melakukan operasi mengisar daun menggunakan peralatan khas bagi memanifestasikan patera (daun) kepada serbuk teh.
Rampung menghasilkan serbuk, partikel berkenaan akan dibungkus dalam bentuk uncang teh.
Menariknya, persatuan berkenaan turut menghasilkan produk teh jeruju siap diminum serta jus di dalam botol sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Kalau dahulu kami buat pembungkusan teh dalam bentuk kuantiti berat. Namun sekarang, kami buat dalam bentuk uncang yang lebih kecil dan senang untuk disediakan sebagai minuman herba.
Jelasnya lagi, selain dijadikan serbuk teh, ekstrak daun jeruju juga boleh dijadikan bahan dalam penyediaan doh membuat keropok rangup.
Menariknya, rasa minuman teh jeruju tidak jauh beza dengan rasa teh daun mulberi.
Dari sudut farmakologi, daun jeruju sering digunakan bagi merawat masalah asma serta reumatisme (radang otot dan sendi) kerana ia mengandungi sejenis fitokimia yang disebut sebagai lignin-glukosida.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pulau Tanjung Surat, Noraini Mohamed berkata, menerusi produk daun jeruju keluaran persatuan itu, ia sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan penduduk sekitar.
Jelas suri rumah yang kini menginjak usia 37 tahun itu, sehingga kini pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut memiliki seramai 23 ahli aktif.
Ujarnya, kesemua ahli terlibat secara aktif dalam menghasilkan produk teh daun jeruju serta penanaman pokok bakau di sekitar Pulau Tanjung Surat.
Di samping itu, Noraini berkata, pertubuhan tersebut turut bergiat aktif sebagai NGO yang bertindak dalam memulihara dan memelihara hutan paya bakau di sekitar pulau terbabit.
“Kami melakukan proses menanam benih bakau di atas tanah yang tidak digunakan. Misalnya, kawasan kolam-kolam ikan atau udang yang sudah tidak digunakan oleh pihak tertentu.
“Selain kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan berkenaan, ahli pertubuhan yang terdiri daripada penduduk tempatan turut membuat kraf tangan serta pelbagai lagi produk untuk dijual kepada pelancong luar.
“Menerusi usaha ini, pertubuhan dapat membantu menambah pendapatan ahli kami yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal serta warga emas,” katanya.
Sebotol teh jeruju dipasarkan dengan harga RM4, manakala sebotol jus jeruju (RM21) dan 10 teh uncang (RM7).
















