fbpx
BEBERAPA pengunjung sedang menikmati hidangan sambil ditemani beberapa ekor kucing di Poopy Kat.

Makan sambil belai, main dengan kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja pintu kafe Poppy Kat dibuka, penulis disambut oleh seekor kucing berwarna putih dan kelabu yang lengkap memakai cheongsam.

Matanya merenung ke arah penulis sebelum berlari ke bahagian belakang kafe bermain-main bersama beberapa ekor kucing lain.

Mengetengahkan konsep makan sambil bermain-main dengan kucing, kafe terletak di Cheras, Kuala Lumpur itu semakin popular dan menjadi lokasi wajib dikunjungi terutamanya kepada mereka yang sukakan haiwan tersebut.

Salah seorang pengunjung, Nursafrina Hani, 19, berkata, kecintaannya terhadap kucing membuatkan dia cukup teruja mengunjungi Poppy Kat.

Katanya, dia sudah tahu bahawa kafe tersebut menawarkan pengalaman makan sambil ditemani kucing.

“Ini merupakan kunjungan pertama saya ke sini. Saya sebenarnya amat sukakan kucing.

“Namun begitu, ibu bapa melarang saya membela haiwan comel ini disebabkan beberapa faktor. Rentetan itu, saya memilih untuk datang ke kafe kucing ini.

“Di sini, saya boleh bermain dengan kucing-kucing comel sambil makan dan bersantai,” ujarnya yang merupakan seorang pelajar universiti.

Dari sudut kesihatan, haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing sememangnya terbukti mampu menghilangkan tekanan dan rasa sunyi dalam diri seseorang.

Malah, menurut buku bertajuk Cat ownership and the Risk of Fatal Cardiovascular Diseases yang dikeluarkan oleh Journal of Vascular and Interventional Neurology, tabiat memelihara kucing terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular atau sakit jantung.

Sementara itu, pemilik kafe Poppy Kat, Peggy Chow berkata, dia cukup menyayangi kucing-kucing yang ada di kafenya dan mahu berkongsi si comel itu dengan pelanggan yang datang.

“Sewaktu membuka kafe ini, saya sama sekali tidak merancang untuk menjadikan ia sebagai sebuah kafe kucing.

“Sebelum ini, saya merupakan seorang barista yang bekerja di Australia. Sekembalinya ke Malaysia, saya mahu membuka kafe yang menyajikan sajian seperti kopi dan pencuci mulut,” ujarnya kepada K2.

Bagaimanapun, pada satu hari, Peggy terjumpa seekor anak kucing di kawasan kediamannya.

Dia yang kasihankan dengan anak kucing tersebut telah mengambil haiwan berbulu berkenaan untuk dijaga, sementara menunggu ibu kucing mencari anaknya yang hilang itu.

“Namun, ibu kucing tidak juga muncul-muncul juga sehingga menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjaganya,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, Peggy terjumpa seekor lagi kucing lain yang ketika itu sedang bunting.

MEMBELAI kucing dikatakan boleh membantu seseorang itu menjadi lebih tenang.

Dia memutuskan untuk menjaga kucing tersebut sehingga melahirkan anak. Selepas haiwan itu beranak, jumlah kucing yang ada di kafenya semakin bertambah.

“Kucing-kucing ini akhirnya menjadi penghuni tetap di sini. Disebabkan itu, saya mula menjadikan Poppy Kat sebagai kafe kucing,” jelasnya.

Tambah anak kelahiran Cheras itu lagi, kesemua lapan ekor kucing di kafenya itu pernah hidup terbiar dan bukannya spesies yang diambil daripada pembiak.

Menurut Peggy, dia sama sekali tidak berhasrat untuk mendapatkan keuntungan daripada kucing-kucing yang ada di kafe tersebut.

“Ketika membuka kafe ini, niat saya adalah untuk menyajikan makanan dan minuman.

“Namun, tidak sangka ia telah menjadi sebuah kafe kucing yang mendapat sambutan cukup menggalakkan dalam kalangan penggemar haiwan ini.

“Justeru, saya tidak berniat untuk menambah bilangan kucing pelbagai baka dengan tujuan mendapatkan wang. Malah, kami tidak mengenakan caj kepada pengunjung yang datang.

“Mereka boleh menjamu selera sepanjang hari di sini sambil ditemani kucing-kucing ini. Selain itu, pengunjung boleh membawa kucing mereka sendiri,” ujarnya.

Peggy menambah, kucing-kucing yang dibawa perlulah diletakkan dalam sangkar bagi mengelakkan kemungkinan bergaduh dengan si comel di situ.

Tambahnya, sehingga kini, kucing-kucing di kafenya cukup mesra dan tidak pernah sesekali mengganggu pelanggan-pelanggannya yang sedang menjamu selera.

“Ramai yang bertanya sebab kucing-kucing di sini tidak mengganggu pelanggan seperti melompat ke atas meja atau menumpahkan air.

“Sebenarnya, saya telah melatih kucing-kucing yang ada supaya tidak mengganggu dan syukur ia mendengar kata,” ujarnya.

Peggy menambah, dia suka memakaikan kucing-kucingnya dengan pakaian menarik ketika musim perayaan kerana cukup menyukai pakaian haiwan itu yang cukup comel.

Selain Poppy Kat, hasil pencarian menerusi internet mendapati terdapat beberapa kafe di Lembah Klang yang menawarkan konsep seumpamanya.

Antaranya adalah Monster A Garden Cafe, maoCATfe, Victoria Dessert Cat Cafe dan Puchi Marry Cat Cafe (Puchi Marry).

Kafe kucing milik usahawan dari Jepun yang terletak di pusat beli-belah Lalaport Bukit Bintang iaitu Puchi Marry turut menawarkan peluang buat pengunjung menghabiskan masa bersama kucing.

Salah seorang pekerja kafe yang hanya mahu dikenali sebagai Shera, konsep kafe tersebut sedikit berbeza kerana selain bermain dengan kucing, pengunjung juga boleh membeli haiwan itu.

“Di sini, kami menawarkan pelbagai baka kucing seperti British Short Hair, Manx dan Munchkin.

“Sekiranya pelanggan berkenan dengan kucing-kucing yang ada, maka mereka boleh bertanyakan tentang haiwan ini, sebelum membelinya daripada kami,” ujarnya.

Tambah gadis itu lagi, kafe tersebut tidak menyajikan makanan, tetapi sekiranya pelanggan mahu minum sambil membelai kucing-kucing yang ada, mereka boleh membeli minuman yang dijual di bahagian luar.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan di Puchi Marry, Hayato Ariyama, 16, berkata, dia cukup teruja selepas tahu terdapat sebuah kafe kucing di dalam pusat beli-belah Lalaport.

Katanya, kewujudan kafe itu membolehkannya menghabiskan masa seharian bersama kucing di situ.

“Saya amat menyukai kucing. Memandangkan masih cuti sekolah, maka saya mengambil keputusan untuk mengunjungi kafe ini dan menghabiskan masa seharian bersama kucing-kucing di sini.

“Saya membayar pas sehari bernilai RM70 bagi membolehkan saya menghabiskan masa bersama kucing sehingga premis ini ditutup,” ujarnya.

Justeru, peminat kucing boleh mengunjungi kafe-kafe kucing yang berhampiran sebagai salah satu bentuk terapi jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN