SHAH ALAM – Kebakaran bangunan tiga tingkat milik Jakel di Seksyen 7 di sini mengakibatkan syarikat tekstil tersebut kerugian awal dianggarkan hampir RM100juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan terbabit antara pukul 7 hingga 7.15 pagi.
Katanya, syarikat memperoleh keuntungan kira-kira RM300juta setahun menerusi hasil jualan di cawangan berkenaan.
“Bangunan ini nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat.
“Api dipercayai bermula daripada bahagian pakaian lelaki di tingkat satu, bagaimanapun punca sebenar masih belum diketahui,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian.
Beliau bagaimanapun reda dengan insiden tersebut dan yakin ada hikmah di sebaliknya kejadian itu.
“Saya yakin ada hikmah serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik dan sebagai orang Islam kita kena percaya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE