SHAH ALAM – Kebakaran gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 yang berlaku sejak pagi tadi mencetuskan kebimbangan pemilik kedai berhampiran.
Menerusi beberapa rakaman video yang dikongsikan di media sosial hari ini, kelihatan sebahagian peniaga bertindak mengeluarkan produk jualan dari kedai masing-masing ketika pasukan bomba dalam proses mengawal dan memadamkan api sepenuhnya.
Ketika ini, usaha memadamkan kebakaran Wisma Jakel Shah Alam masih giat dilakukan selepas hampir empat jam gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar bermula 7.08 pagi tadi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus. – KOSMO! ONLINE














