fbpx
JHEAINS mengesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran yang dijual dalam operasi di sebuah premis di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini semalam. FOTO NOR SHAFAWATI YUP.

JHEAINS kesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran yang dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesan kesalahan pada perhiasan khat ayat al-Quran yang dijual secara meluas oleh peniaga di sekitar Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata, pemeriksaan mengejut telah dijalankan di beberapa premis dalam operasi bersepadu bermula sekitar 5 petang semalam dengan kerjasama pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Kita dapati terlalu ketara penjualan perhiasan mengandungi ayat al-Quran yang tidak sempurna.

“Terdapat kesalahan penulisan pada teks ayat al-Quran tersebut merangkumi kesilapan tajwid, huruf dan ayat yang boleh membawa pengajaran atau makna berbeza,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini semalam.

Jelas Nik Azlan, siasatan mendapati peniaga tidak peka dan mengambil jalan mudah menjual perhiasan ayat al-Quran yang salah serta melanggar Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.

“Konsep al-Quran adalah sifar kecacatan tidak boleh langsung ada kesilapan, walaupun kecil ia boleh membawa makna yang besar.

“Sepatutnya, sebelum dijual perhiasan mengandungi ayat suci al-Quran perlu mendapat kelulusan percetakan daripada KDN,” katanya lagi.

Nik Azlan memberitahu, pihaknya telah menjalankan risikan sejak 27 Disember lalu susulan penemuan longgokkan perhiasan ayat al-Quran oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dibuang di tepi jalan di kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN