fbpx

YEP@Vale bukti komitmen Vale untuk masa depan Manjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKITANGAN Vale bersama petugas PDK Asy Syamsu, Beruas selepas menyerahkan sumbangan untuk kegunaan pelatih di PDK tersebut, baru-baru ini.

LUMUT – Sejak hadir di Manjung pada tahun 2011, Vale di Malaysia (Vale) tidak pernah lupa untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling di mana Vale beroperasi sejajar dengan strategi global syarikat tersebut.

Baru-baru, syarikat itu melancarkan Program Memperkasakan Belia atau Youth Empowerment Program Vale (YEP@Vale) dengan matlamat untuk menyediakan peluang dan sokongan pendidikan secara inklusif untuk golongan belia dan remaja di daerah Manjung terutamanya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti neurodiverse.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva, YEP@Vale berkonsepkan usaha merapatkan jurang pendidikan secara mampan untuk belia dan remaja di daerah itu selepas berakhir pandemik Covid-19.

Leonardo

“Vale menyediakan peruntukan dalam anggaran RM5 juta sebagai pelaburan sosial bagi menjayakan program tersebut sehingga 2025,” jelas beliau.

Jelasnya lagi, program tersebut yang bermula tahun ini termasuk menyediakan kelas tuisyen percuma kepada anak golongan B40 bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang diadakan di Pusat Ekologi Vale (VEC) di Teluk Batik.

Seramai 20 pelajar terlibat bagi setiap mata pelajaran dengan pemilihan pelajar dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung manakala prestasi pelajar dipantau dari masa ke semasa.

Kelas tuisyen percuma anjuran Vale untuk anak-anak daripada golongan B40 yang diadakan di Pusat Ekologi Vale, Teluk Batik.

Pada masa yang sama, seminar teknik menjawab soalan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik dan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh guru-guru yang berpengalaman  turut diadakan pada bulan ini.

Seminar selama dua hari melibatkan 200 pelajar itu diadakan dengan kerjasama PPD Manjung sebagai usaha memastikan pelajar dapat mempelajari teknik-teknik menjawab soalan empat mata pelajaran itu dengan betul dalam peperiksaan SPM yang bermula pada Februari depan.

Terangnya lagi, Vale turut menganjurkan pertandingan pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris bagi merebut Piala Vale yang diadakan pada 29 November lalu.

Seramai 17 orang pelajar mengambil bahagian di dalam dua kategori peringkat sekolah rendah bagi usia 10 hingga 12 tahun serta sekolah menengah bagi usia 13 hingga 15 tahun, sebagai usaha menggilap bakat berpidato di kalangan remaja dan belia.

Peserta berhujah isu berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang juga antara komitmen Vale khususnya di Manjung, menerusi tajuk ‘Respecting the Planet, Together’, dengan pemenang menerima Air Pods jenama Apple dan peranti tablet jenama Samsung.

Jelas beliau lagi, keprihatinan Vale turut meliputi usaha membantu pembelajaran golongan kanak-kanak berkeperluan khas terutama yang menjadi pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Ia termasuk mengadakan bengkel dan seminar bertajuk ‘Intervensi Awal untuk Kanak-Kanak Berkeperluan Khas’ kepada guru-guru PDK sekitar daerah Manjung pada 14 hingga 16 Oktober lalu.

Penganjuran seminar teknik menjawab soalan SPM dengan kerjasama PPD Manjung merupakan salah satu cara Vale menyumbang kepada pembangunan komuniti.

“Seramai 22 guru dari lima PDK dari Sitiawan, Beruas, Pulau Pangkor, Pantai Remis dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil bahagian dalam bengkel yang dikendalikan oleh Pengasas dan Perunding Kesihatan Mental Persatuan MINDS Pulau Pinang, Dr. R. Rajesvari.

“Bengkel ini bertujuan untuk memahirkan lagi guru-guru tersebut dalam melatih dan mengendalikan kanak-kanak istimewa ini,” ujar beliau.

Leonardo memaklumkan, Vale turut menyumbangkan peralatan termasuk kelengkapan pembelajaran kepada PDK Asy Syamsu, Beruas, berupa alat bantuan oksigen, set kelengkapan komputer peribadi, dakwat mesin pencetak serta kertas A4 bernilai kira-kira RM8,000 tahun ini.

Tahun lalu, Vale menyumbangkan peralatan kemudahan permainan, peralatan ko kurikulum serta alat-alat pembelajaran kepada PDK Nur Hidayah, Sitiawan, bernilai lebih RM13,000.

“Vale percaya terhadap pendekatan pelbagai hala dalam pendidikan adalah penting, justeru YEP@Vale turut meliputi kanak-kanak kurang keupayaan dan mereka yang berlatar belakang sosio ekonominya tidak menentu.

“Program ini dilaksanakan menerusi kolaborasi dengan institusi kerajaan dan kumpulan komuniti setempat bagi mencapai kesan optimum,” ujar beliau.

Sehingga kini, Vale telah membelanjakan hampir RM60 juta dalam pelaburan sosial di daerah Manjung, termasuk perbelanjaan RM2 juta dalam program ‘Vale Bersama Manjung’ iaitu membantu golongan terkesan pandemik Covid-19 seperti ibu tunggal, peniaga kecil di Teluk Batik dan kanak-kanak kurang upaya.

Leonardo menjelaskan, Manjung berada sangat dekat dalam hati Vale dan mahu kekal berada di daerah itu serta memberi impak positif kepada masyarakat dan komuniti setempat, dan dalam masa sama memastikan Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) milik Vale terus berada dalam keadaan persekitaran alam sekitar mampan dan bertanggungjawab.

“Kami komited terhadap masa depan Manjung, dan YEP@Vale menjadi bukti terhadap hasrat ini,” tegas Leonardo.

Pemenang pertandingan pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris yang dianjurkan Vale bulan lalu sebagai usaha menggilap bakat berpidato dalam kalangan remaja.

Sementara itu, seorang  penyelia di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Nur Hidayah Desa berkata, pihaknya mudah berurusan dengan Vale kerana bagi permohonan yang dibuat akan mendapat jawapan dan seterusnya bantuan dihulur kepada pihak yang memerlukan.

Menurut beliau, selepas 10 tahun beroperasi, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan daripada Vale terutama dalam menyumbang peralatan diperlukan bagi kegunaan 44 pelatih untuk membantu golongan kanak-kanak berkeperluan khas di PDK tersebut.

Jelasnya, tahun lalu sahaja, PDK itu menerima sumbangan beberapa peralatan dan kelengkapan seperti alat permainan, peralatan ko kurikulum serta alat-alat pembelajaran bernilai lebih RM13,000.

Maklumnya, PDK tersebut termasuk pelajarnya juga sering dijemput menghadiri pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh Vale.

Bagi Penyelia PDK Asy Syamsu di Beruas, Salawati Mohd. Yasir@Mohd. Nasir, pihaknya bersyukur selepas menerima beberapa kelengkapan dan peralatan bernilai lebih RM8,000 yang disumbangkan Vale tahun ini.

Jelasnya, seramai tiga guru dan 16 pelatih di PDK tersebut teruja dan berterima kasih terhadap sumbangan itu khususnya alat bantuan oksigen untuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditempatkan di situ.

Beliau memaklumkan guru di PDK itu berterima kasih terhadap Vale yang menganjurkan bengkel melatih mereka mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas  baru-baru ini dan berharap kursus seumpama itu diteruskan pada masa depan bagi memahirkan lagi mereka dengan ilmu melibatkan kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, Leonardo Paiva turut berkongsi bahawa melabur dalam komuniti tempatan di Manjung adalah sejajar dengan hala tuju dan agenda global Vale sekitar transformasi.

Pada tahun 2021 sahaja, Vale telah melabur AS$473 juta secara global dalam pelaburan sosial yang telah memberi manfaat kepada lebih masyarakat sekeliling di mana Vale beroperasi.

Vale diwujudkan untuk memperbaiki kehidupan dan mengubah masa depan bersama-sama. Merupakan antara syarikat perlombongan terbesar di dunia, Vale ialah pengeluar bijih besi dan nikel terkemuka di dunia.

Penghuni PDK Asy Syamsu menerima sumbangan kelengkapan dan peralatan bernilai RM8,000 daripada Vale tahun ini.

Ibu pejabatnya terletak di Rio de Janeiro dan kini beroperasi di lima benua. Pengoperasiannya terdiri daripada sistem logistik bersepadu, termasuk kira-kira 2,000 kilometer landasan kereta api, terminal maritim dan 10 pelabuhan di Brazil, Indonesia, Malaysia dan Oman.

Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) Vale mula beroperasi pada 2014. Bernilai AS$1.4 bilion, pelabuhan ini kekal sebagai Pelaburan Langsung Asing (FDI) tunggal terbesar di Perak.

Vale mendukung piawaian tertinggi tadbir urus dan berusaha untuk diiktiraf sebagai salah satu syarikat perlombongan paling selamat di dunia.

Syarikat ini juga melabur untuk memperluaskan  penglibatannya dengan pemegang saham dan pemegang taruh lain.

Selain itu, syarikat ini melabur untuk mengurangkan kesan aktiviti perlombongannya. Matlamat syarikat ini adalah untuk mengambil pendekatan yang telus terhadap pengurusan dan dalam masa yang sama menyumbang secara aktif kepada inisiatif alam sekitar, biodiversiti serta pembangunan yang mampan.

Vale mensasarkan untuk menjadi syarikat sifar bersih karbon menjelang 2050.

“YEP menandakan transformasi berterusan kami ke arah meningkatkan fokus penyampaian impak sosio ekonomi syarikat kepada masyarakat Manjung.

“Sejak bermulanya operasi Vale di sini, syarikat telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan sasar, namun untuk benar-benar membangunkan komuniti yang madani di sini secara jangkamasa panjang, tumpuan juga harus diberikan dalam aspek pembangunan modal insan di sini.

“Pelan YEP bertunjangkan aspirasi belia tempatan yang memerlukan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan inklusif bagi memenuhi impian dan cita-cita mereka di dalam dan luar Perak.

“Harapan kami, pelaburan Vale melalui YEP ini mampu menjana impak positif yang berterusan kepada belia di Manjung, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan,” jelas  Ketua Pegawai Pentadbiran dan Kelestarian Vale di Malaysia, Afzal Mohsin. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI