fbpx

Agihan pendapatan ASB 4.6 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB), dana utama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit dan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama dana utamanya.

Jumlah agihan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak RM8.9 bilion itu akan memanfaatkan sebanyak 10.6 juta pemegang unit yang memiliki 186.4 bilion unit dalam ASB.

Tahun lalu, agihan pendapatan pendapatan adalah 4.25 sen dan bonus sebanyak 0.75 sen.

Pengerusi Kumpulan, Tun Arifin Zakaria berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang
sukar, PNB telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB,
termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

“Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar
Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

Menurutnya, jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.

“Tahun ini, syarikat-syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

“ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh
pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan
pegangan tunainya,” jelasnya.

Sehingga bulan November lalu, Jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat kepad RM343.1 bilion berbanding RM336.7 bilion manakala unit dalam edaran meningkat daripada 276.2 bilion unit kepada 283.2 bilion unit.

Jumlah pemegang akaun bagi kesemua 17 dana bertambah kepada 15.2 juta daripada 14.8 juta pada tahun 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI