fbpx
Nursulhi Rahim, 45, bersama anaknya, Muhammad Aidil, 17, mengembara ke 23 buah negara dengan menggunakan Perodua Kelisa lama berusia 17 tahun sebaya dengan anaknya.

Kembara bapa, anak dengan Kelisa tawan 23 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP orang mempunyai impian untuk mengembara ke luar negara.

Hakikatnya, ramai yang tidak dapat berbuat demikian disebabkan pelbagai kekangan dan salah satunya adalah kewangan.

Hal ini kerana untuk bercuti ke luar negara, seseorang itu perlu berhabis untuk membeli pakej atau mendapatkan khidmat pemandu pelancong supaya percutian berjalan lancar.

Berbeza pula kisahnya dengan seorang kontraktor yang mengembara ke negara asing tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Nursulhi Rahim, 45, atau mesra disapa Along bersama anaknya, Muhammad Aidil, 17, memberanikan diri mengembara ke luar negara dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Mereka menggunakan kereta jenis Perodua Kelisa yang diberi nama Wheely. Menariknya, kereta tersebut bukan sahaja digunakan sebagai alat pengangkutan, malah kenderaan itu turut menjadi tempat tinggal Along dan anaknya sepanjang pengembaraan mereka.

Along memulakan pengembaraannya dari Malaysia pada 4 November 2019 dengan menggunakan jalan darat sebagai laluan utamanya untuk merentasi beberapa buah negara.

“Saya memulakan perjalanan di negara ini sebelum menuju ke Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Croatia, Jerman, Denmark, Sweden dan Norway.

“Usai sahaja ke negara-negara berkenaan, saya berpatah balik ke Sweden, Denmark, Belanda, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan akhir sekali perjalanan kami terhenti di Turkiye,” katanya.

Menurut Along, dia terpaksa meninggalkan Wheely di rumah sahabatnya di Turkiye disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Katanya, disebabkan pandemik, pengembaraannya bersama Wheely tergendala selama tiga tahun.

Along kembali semula ke Turkiye pada September lalu untuk menyambung pengembaraannya.

Itali merupakan salah sebuah negara yang berjaya ‘ditawan’ oleh Along dengan menggunakan Perodua Kelisa.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Along apabila keretanya mempunyai masalah kotak gear.

“Saya ke Turkiye pada 15 September lalu untuk mengambil kereta, tetapi ia mempunyai masalah pula.

“Disebabkan itu, saya bermalam di sana selama beberapa hari sambil tunggu kotak gear dari Malaysia sampai.

“Ini kerana, mekanik di sana tidak biasa dengan teknologi elektronik Malaysia, tambah-tambah kereta Kelisa,” ujarnya lagi.

Rentetan itu, Along terpaksa membaiki keretanya sendiri menerusi panggilan video bersama seorang mekanik di tanah air.

“Sejurus selesai urusan di Turkiye, saya memulakan perjalanan bersama anak ke Iran sebelum berhenti di Pakistan untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15.

“Saya telah meletakkan kereta di sempadan Pakistan buat seketika sebelum meneruskan sesi penjelajahan selepas ini,” katanya lagi.

Along memaklumkan, dia tidak boleh meletakkan keretanya sesuka hati di sempadan Pakistan, sebaliknya perlu membuat visa parkir di sana.

Menerusi visa itu, dia dibenarkan parkir kereta di sana selama 90 hari.

“Saya sudah berada di Malaysia selama 30 hari. Jadi, saya ada lebih kurang 60 hari lagi untuk mengambil kereta di sana.

“Buat masa ini, belum ada tarikh tetap untuk saya meneruskan pengembaraan. Setakat ini, saya sudah menawan 23 buah negara,” ujarnya.

Tambah menarik, Along akan membawa balik keretanya ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat sepenuhnya.

Along berjaya menjejakkan kaki
di Menara Eiffel, Perancis bersama Wheely.

Untuk makluman, usia Wheely sebaya dengan umur Muhammad Aidil iaitu 17 tahun. Disebabkan itu, ramai yang bertanyakan mengenai kemampuan kenderaan tersebut melakukan perjalanan jauh.

Kata Along, bagi memastikan keretanya berada dalam keadaan baik, dia memandu mengikut had laju bersesuaian dengan keadaan Wheely.

“Ramai orang fikir saya bawa Wheely ke luar negara dengan menaiki kapal laut dan sebagainya. Padahal saya hanya menggunakan jalan darat,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran yang dilalui sepanjang pengembaraan itu, Along berkata, tidak mudah untuk menerokai dunia dengan kereta.

Jelasnya, kemudahan internet membantu memudahkannya merujuk peta perjalanan serta menjadi alat perhubungan dengan penduduk setempat.

Dia turut mengakui bahawa bukan mudah untuk mengembara dengan membawa kenderaan sendiri dari Malaysia.

“Ramai yang ingin mengembara dengan kereta sendiri, namun tidak tahu caranya. Ada yang berani, tetapi tidak tahu proses-proses yang perlu dilakukan.

“Sebenarnya untuk ke luar negara, bukan sekadar ‘cop-cop’ dokumen. Kalau senang macam itu, semua orang boleh mengembara.

“Jika membawa kenderaan sendiri, kita memerlukan pasport untuk kenderaan. Bukan senang untuk dapat dan prosesnya sangat rumit,” ulasnya.

Pasport kenderaan yang kenali sebagai carnet itu sangat penting kepada pengembara yang ingin mengembara dengan kereta sendiri.

“Carnet juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya mengembara menggunakan Kelisa.

“Ini kerana harga carnet bersamaan 70 peratus nilai kereta. Jadi, carnet Kelisa ini tidak terlalu mahal,” katanya.

Cerita Along, faktor utama dia mengembara adalah untuk mendedahkan dan membuka minda anaknya dengan dunia luar.

“Tambahan pula, Muhammad Aidil merupakan pelajar homeschooling. Jadi, dia tidak terikat dengan jadual persekolahan,” katanya.

Sepanjang pengembaraan, Along tidak putus-putus membuat siaran langsung menerusi Facebook miliknya.

“Tujuan saya buat siaran langsung adalah untuk memberitahu orang ramai mengenai proses dan perjalanan kami.

“Mereka boleh jadikannya sebagai panduan apabila ingin mengembara ke negara asing,” katanya.

Pengalaman sebagai pengembara membuatkan Along bersyukur tinggal di Malaysia kerana dapat hidup dalam keadaan aman.

Dia juga pernah berdepan detik-detik cemas seperti cuaca sejuk melampau, terbabas di kawasan bersalji, berdepan ribut salji serta terselamat daripada zon perang.

Along bersyukur dia dan anaknya terselamat daripada detik-detik sukar itu serta percaya ia hasil daripada pertolongan Allah SWT.

Dalam pada itu, antara kenangan manis yang terpahat di hati Along sepanjang pengembaraannya adalah melihat Aurora di Sweden.

“Saya juga mendapat ramai kenalan baharu di setiap negara yang dilawati.

“Walaupun kami berkomunikasi seperti ayam dan itik, namun mereka tetap ingin membantu ketika saya berada dalam kesusahan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN