LEBIH dua jam menikmati untaian 20 seleksi popular sepanjang Konsert Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur hujung minggu lalu seakan meninggalkan impak pada perasaan yang sukar diungkapkan.
Rasa rindu, teruja dan sebak bersilih ganti hingga persembahan mega penyanyi kesayangan ramai itu mengakhiri momen bersejarah tersebut tepat pukul 11 malam.
Rindu selepas lama tidak mendengar alunan lagu popularnya secara langsung, teruja apabila dia sudah di depan mata, manakala perasaan sebak pula terasa pada saat persembahannya menutup tirai.
Dua dekad
Bagai diperkatakan si pemilik nama Marcell Siahaan itu, Malaysia terpahat dalam diari perjalanan kerjayanya selaku rumah kedua yang kerap dikunjungi selepas lebih setahun menyertai arus perdana.

“Pada 18 tahun lalu, saya masih ingat menginap di sebuah hotel di Bukit Bintang sempena kunjungan perdana di Kuala Lumpur. Ketika itu jugalah menjadi penyertaan pertama dalam Anugerah Planet Muzik.
“Sudah pasti Malaysia adalah antara yang mengambil ‘jatah’ paling besar dalam karier nyanyian saya selain sahabat yang tidak pernah berhenti memberikan dukungan.
“Selepas lima tahun, hari ini (Jumaat minggu lalu) saya kembali meraikan momen bermakna iaitu ulang tahun ke-20 sebagai penyanyi bersama anda semua,” luah penghibur kesayangan ramai itu disambut sorakan.
Himpun pelbagai generasi
Seakan enggan berganjak, kehadiran lelaki asal Bandung itu nyata menghimpunkan peminat daripada pelbagai generasi bermula yang membesar dengan dendangannya selain penggemar baharu dalam kalangan anak muda belasan tahun.
Masing-masing seakan tidak sabar menyaksikan sendiri persembahan mega tersebut hingga sanggup ‘berkampung’ di Zepp Kuala Lumpur seawal pukul 5 petang.
Tiada istilah jemu atau penat pada setiap wajah yang berada di lokasi konsert meskipun panggung persembahan bermula beberapa jam sebelum mereka mula tiba di Zepp KL.
Bagai dijangka, sebaik melangkah ke pentas, sorakan terus bergema disusuli jeritan memanggil namanya dari setiap penjuru ruang konsert.
‘Mood’ romantis
Memulakan persembahan dengan vokal emas miliknya, Marcell mengunci hati setiap peminat yang hadir dengan persembahan cukup sempurna.
‘Mood’ romantis melatari suasana sebaik lagu Jangan Pernah Berubah, Peri Cintaku, Sudahlah, Ku Bisa Kau Bisa dan Ketika Kau Menyapa menjadi mukadimah persembahan.

Lebih bermakna apabila segmen kedua seakan sesi ‘tribute’ kepada penyanyi lain apabila Marcell memilih membawakan semula enam dendangan termasuk Bahasa Kalbu nyanyian asal Titi DJ.
Repertoir lain seperti Putri Remaja, Berhenti Berharap, Kini dan Akhir Cinta disampaikan dengan susunan muzik baharu yang terus membuai emosi khalayak.
Paling menusuk jiwa sudah tentu seleksi pilihan isteri tercinta, Rima Melati Adams yang juga pelakon dan penyanyi apabila meminta suaminya itu mendendangkan lagu ikonik nyanyian asal Search, Rozana.
Tidak pernah terbayang bahawa lagu daripada album Langit dan Bumi terbitan 1986 kumpulan legenda rock itu mampu menyuntik perasaan paling halus sebaik mengikuti bait melodi yang digubah dalam versi balada.
Apa yang boleh dikatakan, ketika beberapa lagu dendangan semula sebelum itu disambut penonton yang mengiringi nyanyiannya, persembahan Rozana pula mengubah suasana kerana khalayak seperti terpukau dengan alunan merdu suara lunak Marcell.
Momentum persembahan dihangatkan pula dengan lagu rancak Candu Asmara dan Hanya Memuji yang mendorong penonton di tempat duduk enggan melepaskan peluang menari mengikut rentak.
Bagai mengerti kemahuan ramai, Marcell yang menggayakan tiga persalinan sepanjang konsert berlangsung meninggalkan pentas dengan tiga buah lagu iaitu Firasat, Semusim serta Mendendam.
Biarpun begitu, masih ada penonton yang menjerit memintanya meneruskan persembahan kerana belum puas ‘didodoikan’ dengan vokal gemersik Marcell.
Lagu buat Adibah Noor
Terdahulu, selain segmen ‘tribute’ kepada teman seperjuangan, penyanyi berusia 45 tahun itu tidak ketinggalan mendedikasikan lagu Takkan Terganti khas buat penyanyi dan pelakon tempatan, Allahyarham Adibah Noor.
Luahan dari lubuk hati terpaling dalam dizahirkan kepada penghibur idolanya itu yang dikatakan antara individu menyuntik inspirasi untuk kerjaya muziknya.

Pada masa sama, Marcell turut mengundang seorang peminat bertuah naik ke pentas bagi berkongsi detik bersejarah yang pastinya sebagai penghargaan tulus kepada penyokong setia.
Apa pun, setiap ayat dizahirkan sepanjang konsert sentiasa melekat nama isteri tercinta di bibir Marcell.
Tindakan tersebut sekali gus membuktikan sisi romantis lelaki itu yang juga sarat dengan jenaka bersahaja sepanjang menghiburkan seramai 2,000 peminat setianya yang membanjiri Zepp KL.
Mahu berkarya 20 tahun lagi
Seperti penggemar tegar yang mengharapkan pemilik nama lengkap Marcellius Kirana Hamonangan itu kembali ke sini pada masa depan, besar lagi harapannya apabila dapat terus berkarya untuk 20 tahun lagi.
Celotehnya juga bersahaja, namun sarat penghargaan buat insan yang setia bersamanya sejak dua dekad melayari perjalanan dalam arena muzik hingga membawanya ke negara ini.
Maka tidak hairanlah andai bakat, vokal, personaliti, kredibiliti serta keperibadiannya melengkapkan pakej yang membuatkan Marcell terus disayangi ramai.
Semua lagu nyanyiannya sarat keindahan melodi serta seni kata membuatkan setiap bait melekat dalam sanubari khalayak.
Bahkan lantunan vokalnya cukup istimewa dan keunikan itu membezakan Marcell dengan penghibur lain.
Seperti dibisikkan penonton di sebelah, sepanjang dua jam dibuai ritma dan vokal romantis membuatkannya seperti jatuh cinta berulang kali. Sememangnya Marcell Siahan ‘Takkan Terganti’.














