fbpx
Gambar hiasan

Gadai barang kemas ibu gara-gara diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang gadis berusia 24 tahun bertindak menggadaikan barang kemas milik ibunya bernilai RM33,850 bagi mendapatkan wang selepas diperdaya sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Mangsa yang merupakan lulusan diploma dan tidak bekerja itu juga menggunakan wang milik ibu bapanya sebanyak RM8,150 untuk dipindahkan ke beberapa akaun yang digunakan sindiket penipuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa pada pukul 7.29 malam semalam.

Katanya, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon daripada suspek yang mengaku sebagai wakil syarikat kurier dan mendakwa terdapat kiriman barang terlarang ke Sarawak atas namanya.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kononnya kepada seorang pegawai polis bernama Sarjan Nur Amira untuk membuat laporan sebelum disambung pula kepada pegawai Bank Negara.

“Mangsa seterusnya diarahkan mengeluarkan wang simpanan dari semua akaun banknya ke akaun bank diberikan suspek yang didakwa lebih selamat,” katanya dalam kenyatan di sini, hari ini.

Menurut Yusharifuddin, mangsa yang percaya kata-kata suspek bertindak memindahkan sejumlah RM8,150 wang milik ibu bapanya ke dalam empat akaun bank berbeza.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa turut menggadaikan barang kemas milik ibunya berjumlah RM33,850 sebelum wang hasil gadaian itu dimasukkan ke dalam akaun suspek.

“Kejadian tersebut berlaku antara 28 November hingga 8 Disember baru-baru ini, dan siasatan awal mendapati akaun digunakan suspek mempunyai dua laporan bersangkut kontinjen lain,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Yusharifuddin pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya serta panik dengan panggilan sedemikian dan perlu membuat semakan sebelum mengikut arahan diberikan sindiket.

“Orang ramai boleh merujuk dan membuat semakan berkaitan jenayah komersial melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau aplikasi WhatsApp CCID Info Line di talian 013-211 1222,” katanya.

Selain itu, orang ramai boleh menyemak akaun atau nombor telefon disyaki digunakan ‘scammer’ menerusi aplikasi Mule Account yang boleh dimuat turun dari Google Playstore. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN