MELAKA – Sikap para peniaga yang menggantung pelbagai barangan niaga pada struktur siling didakwa menjadi antara punca siling Bazar Kraftangan di pusat beli-belah di Dataran Pahlawan dekat sini runtuh, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bazar Kraftangan yang diuruskan badan pengurusan bersama (JMB) sebelum ini telah mengeluarkan notis larangan berhubung perkara itu, namun tidak diendahkan.

Menurutnya, selain meletakkan bebanan pada siling, siasatan awal juga mendapati terdapat kebocoran kecil berpunca dari lantai bahagian atas Dataran Pahlawan.
“Kes ini melibatkan siling kapur yang strukturnya tidak terlalu kuat. Selain kebocoran kecil, sikap peniaga yang menggantung barang turut menyebabkan siling runtuh.
“Jangan gantung-gantung barang, memang nampak cantik apabila orang lihat, tetapi struktur tidak mampu menahan bebanan berat,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambahnya, bazar itu adalah di bawah kelolaan JMB meskipun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ada membuat bayaran lebih RM26,000 sebulan untuk penyelenggaraan.
“Jadi secara tidak langsung apabila berlakunya runtuhan, kos pembaikan di bawah JMB,” katanya.
Hari ini Kosmo! melaporkan, kira-kira 70 peniaga dan pengunjung Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di pusat beli-belah Dataran Pahlawan di sini nyaris dihempap siling bangunan itu yang tiba-tiba runtuh pada pukul 10.08 malam tadi.
Ujar Rahmad, hanya lima kedai di sekitar lokasi runtuhan ditutup atas faktor keselamatan, manakala kawasan lain masih lagi dibuka kerana tidak mahu pendapatan peniaga terjejas.
“Buat masa ini kita tidak isytiharkan kawasan ini sebagai bencana kerana ada 133 unit kedai dan penutupan hanya melibatkan beberapa kedai yang terjejas sahaja.
“Saya akan minta pembaikan dilakukan segera bagi membolehkan peniaga kembali berniaga, anggaran kos masih belum diketahui kerana kejadian ini masih dalam siasatan Jabatan Kejuruteraan MBMB,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














