fbpx
EN-NESYIRI meledak gol tunggal perlawanan untuk membantu Maghribi menewaskan Portugal dan menjadi pasukan dari benua Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia. – AFP

Piala Dunia: Maghribi terus cetus sensasi hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DOHA – Maghribi terus mencipta sensasi pada saingan Piala Dunia 2022 apabila melayakkan diri ke pusingan separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah selepas menewaskan Portugal malam kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Thumama itu, skuad The Atlas Lions memastikan tempat ke separuh akhir menerusi gol kemenangan yang dijaringkan Youssef En-Nesyri pada minit ke-42.

Portugal menjadi mangsa terbaharu Maghribi selepas Sepa­nyol dan Belgium turut berdepan situasi sama sebelum ini dengan kedua-dua pasukan tersebut juga sudah tersingkir daripada sai­ngan.

Ketua Jurulatih Maghribi, Walid Regragui percaya pasukan itu masih boleh terus melakar sejarah dengan melangkah ke perlawanan akhir, lebih-lebih lagi mereka kini sudah mula dilabel sebagai pasukan pilihan yang mampu menjulang kejuaraan pada edisi kali ini.

“Apa yang penting sekarang adalah kami tunjukkan kepada generasi baharu bahawa tidak mustahil untuk pasukan Afrika melangkah ke separuh akhir Piala Dunia, mungkin juga ke perlawanan akhir.

“Sebelum ini saya ditanya sama ada bolehkah kami memenangi Piala Dunia? Saya beritahu mengapa tidak, itu adalah impian semua pemain. Tanpa impian, kami tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Bekas pengendali Wydad AC itu menggesa barisan pemainnya supaya mengekalkan aksi konsisten dan tidak takut dengan pasukan lawan menjelang perlawanan separuh akhir menentang Perancis Khamis ini.

“Pasukan Eropah sudah biasa memenangi Piala Dunia, jadi kali ini kami mahu mencuba nasib. Saya harap semua pemain sentiasa dapat bermain dengan penuh yakin dan berikan segala-galanya apabila masuk ke dalam padang.

“Kami sangat gembira untuk datang ke Piala Dunia dan bermain baik seperti ini. Kami memiliki pemain-pemain elit yang ada kemampuan untuk menjulang trofi Piala Dunia, jadi kami akan berikan segala-galanya nanti,” ujar Regragui.

Sementara itu, penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou berharap mereka boleh terus mencipta magis pada kejohanan tersebut bagi membuktikan Maghribi juga mampu untuk bersaing merebut Piala Dunia.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN