fbpx
GEORGE TOWN menjadi salah satu lokasi wajib bagi pengunjung di Pulau Pinang untuk mencuba pelbagai menu makanan setiap kali tibanya musim cuti persekolahan. – GAMBAR HIASAN

Pelancong ramai tapi pekerja hotel pula kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegembiraan pengusaha hotel di Pulau Pinang dan Terengganu untuk menerima kebanjiran pengunjung dan pelancong sempena musim cuti persekolahan bermula minggu ini terencat berikutan sektor itu kekurangan pekerja sehingga 30 peratus.

Di George Town, golongan muda yang lebih berminat untuk terlibat dalam ekonomi gig menjadi punca utama industri perhotelannya berdepan masalah kekurangan pekerja.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, minat golo­ngan muda terhadap industri perhotelan semakin menurun selepas pandemik Covid-19 setelah mereka dikatakan boleh mendapatkan wang dengan bekerja sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing.

“Sekarang golongan muda kurang berminat untuk bekerja dalam sektor perhotelan kerana mereka banyak bekerja dalam sektor ekonomi gig.

“Orang muda berasa selesa untuk terus berada dalam sektor ekonomi gig disebabkan beberapa faktor. Antaranya mampu jana pendapatan baik, tidak terikat kepada arahan dan bekerja secara fleksibel,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Tony, pada masa ini, setiap hotel di Pulau Pinang berdepan kekurangan pekerja sekitar 30 peratus namun operasi hotel tetap diteruskan dengan pekerja sedia ada.

“Kekurangan pekerja tempatan pada masa ini berlaku di bahagian ‘front office’ dan pekerja sedia ada bergilir-gilir melakukan tugas masing-masing bagi menampung kekurangan pekerja.

“Pihak industri amat mementingkan kualiti dan servis terbaik kepada pelanggan walaupun berdepan dengan masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Tambahnya, pihak hotel juga telah menawarkan gaji dan insentif menarik kepada golongan muda yang mahu terlibat dengan industri perhotelan.

“Gaji yang ditawarkan melebihi gaji minimum dan mereka juga boleh mendapatkan wang lebih sekiranya bekerja lebih masa, namun ia masih gagal menarik perhatian pekerja tempatan untuk terlibat dengan industri ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan minat golongan muda beralih untuk kembali be­kerja dalam bidang perhotelan, pihak industri telah memanggil pelajar-pelajar di universiti dan kolej untuk menjalani latihan praktikal di hotel.

Di Kuala Terengganu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, pe­ngusaha hotel dan Resort Terengganu mengambil pendekatan mengambil pekerja sambilan bagi menampung kepadatan pengunjung pada musim persekolahan ini.

“Setakat ini, kita tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerja sambilan dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Lagi pun sebahagian besar hotel dan resort di negeri ini tidak ambil pendekatan membuang pekerja sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Pada waktu itu ramai pekerja bertahan apabila pengurusan hotel dan resort negeri ini mempelbagaikan perniagaan seperti menjual makanan di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Suaibah berkata, majoriti hotel dan resort cepat pulih sebaik negara memasuki fasa pemulihan endemik.

“Kami juga rata-rata cukup pekerja pada waktu puncak termasuk cuti persekolahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN