SEKITAR 20 tahun lalu, pasangan Muhammad Al-Muftah dan Eman Ahmad berdepan keputusan yang begitu sukar dalam hidup mereka sebagai suami isteri.
Manakan tidak, nyawa yang menumpang dalam rahim Eman disahkan menghidap penyakit Caudal Regression Syndrome (CDS) atau gangguan perkembangan pada bahagian bawah badan.
Hati ibu mana yang tidak hancur saat mendengar butir kata yang dilontarkan doktor mengenai salah satu janin kembar di dalam perutnya.
Bagai disiat-siat pedihnya apabila doktor turut memberikan kata dua sama ada ingin meneruskan kandungan kembarnya atau menggugurkan janin tidak berdosa itu.
Kata dua terpaksa dibuat kerana kandungan tersebut bukan sahaja membahayakan dan merisikokan anak yang dikandung, tetapi juga nyawa ibu.
Berserah bulat-bulat kepada Yang Maha Esa, pasangan tersebut nekad untuk meneruskan kandungan sekali gus memberikan ‘peluang’ bagi bayi yang bakal lahir untuk melihat dunia.
Tepat 5 Mei 2002, lahirlah seorang putera yang diberi nama Ghanim Muhammad Al-Muftah bersama saudara kembarnya, Ahmad.
Sekali lagi, hati kedua-dua pasangan tersebut yang baru saja tersenyum melihat sepasang bayi di depan mata hancur lebur tatkala doktor meramalkan salah satu anak itu, Ghanim hanya mampu hidup selama 15 tahun.
Ahmad bagaimanapun hidup sebagai individu normal.


Sepanjang melalui zaman kanak-kanak, Ghanim mendapat jolokan ‘budak ajaib Qatar’ kerana dilihat begitu aktif sehingga mengatasi keupayaan orang normal.
Menyelam skuba, bermain bola sepak, berenang, bersenam di gimnasium, memanah, memanjat gunung dan memandu kenderaan semuanya pernah dilakukan Ghanim.
20 November lalu tepat pukul 10.30 malam waktu Malaysia, kehadiran istimewa Ghanim pada pembukaan temasya sukan berprestij, Piala Dunia 2022 di Qatar betul-betul mengejutkan seisi dunia.
Segak dan teguh berjalan menggunakan dua tapak tangan tanpa dikurniakan sepasang kaki seperti orang lain, Ghanim manis tersenyum kepada seluruh penonton di Stadium Al Bayt saat sosok tubuh kecil moleknya menjadi perhatian.
Ghanim yang dilantik sebagai Duta Piala Dunia 2022 memukau semua apabila tampil membuat persembahan bersama aktor terkenal Amerika Syarikat, Morgan Freeman.
Menerusi persembahan tersebut, pemuda istimewa berusia 20 tahun itu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran bermula daripada Surah Al-Hujurat, ayat 13.
Morgan dan Ghanim saling menyampaikan mesej mengenai kedamaian, ketenangan, perpaduan, penyatuan dan keindahan mengikut perspektif kemanusiaan.
Persembahan pembukaan tersebut tidak semena-mena tular dan menjadi trending dalam pelbagai platform media sosial di seluruh dunia.
Populariti ‘budak ajaib Qatar’ yang tidak dikenali dunia sebelum ini mencanak naik dan diperkatakan hari demi hari sehingga ke detik ini.
Terdahulu, kisah kemampuan luar biasa Ghanim juga pernah terpahat sekitar lima tahun lalu ketika berusia 15 tahun apabila dia selamat menyempurnakan ibadah haji di Mekah, Arab Saudi.
Paling sayu dan menyentap emosi ramai, anak istimewa itu memilih dan nekad untuk ‘berjalan’ menggunakan kedua-dua belah tangannya mengelilingi Kaabah, sekali gus menolak menggunakan kerusi roda.
Tindakannya itu memeranjatkan banyak pihak, namun tidak pernah didedahkan dalam laman media sosial sekali gus tidak diketahui ramai.
Dua tahun kemudian, Ghanim sekali lagi membuat ‘kerja gila’ dengan menawan puncak Gunung Jebel yang terletak di Shams, Oman.
Gunung berketinggian hampir 9,872 kaki atau 3,009 meter itu merupakan salah satu gunung tertinggi di Semenanjung Tanah Arab.
“Alhamdulillah, saya diberikan banyak kelebihan seperti dikurniakan kedua-dua tangan yang kuat.
“Saya rasa sangat bertuah kerana Allah merahmati diri ini. Saya suka dan seronok menjalani kehidupan yang indah ini,” katanya.

Benar kata orang, kekurangan bukanlah satu penghalang. Itulah yang berjaya dibuktikan Ghanim sekali gus membuka mata ramai.
Tidak sekadar aktif dalam aktiviti fizikal dan ibadah, Ghanim yang juga merupakan seorang YouTuber dan penceramah motivasi turut menerajui badan amalnya sendiri.
Bertujuan membantu kanak-kanak kelainan upaya, Ghanim menubuhkan sebuah badan dikenali Persatuan Kerusi Roda Ghanim Al-Muftah sekitar tujuh tahun lalu.
Uniknya, badan amal tersebut beroperasi dari rumahnya sendiri dan merasakan dia perlu berbuat demikian dalam usaha membantu lebih ramai golongan memerlukan.
“Saya ambil berat tentang orang lain. Bagi saya, ini adalah tanggungjawab manusiawi yang perlu saya lakukan,” ujarnya ringkas ketika berucap pada majlis Kejohanan Olahraga Dunia Paralimpik 2015 di Doha, Qatar.
Tidak setakat itu, setahun sebelum menubuhkan badan amal miliknya, pemuda berjiwa besar dan kental ini pernah dinobatkan sebagai Duta Keamanan oleh Emir Kuwait ketika itu, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al Sabah.
Pun begitu, segala penghargaan, jawatan mahupun pangkat yang dinobatkan Ghanim langsung tidak pernah membuatnya lupa diri apatah lagi mendongak ke langit.
Ghanim yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang politik di Universiti Loughborough, Leicestershire, United Kingdom turut memasang impian menjadi seorang diplomat kelak.
“Hari ini, berbilion wanita dan lelaki kelainan upaya di dunia masih berjuang mengatasi halangan yang selama ini menyekat hak asasi manusia dalam masyarakat.
“Berjuta-juta orang kelainan upaya masih terpinggir, tiada akses kepada kerja, layanan dan perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan serta pendidikan.
“Saya berjanji akan sentiasa menyokong usaha bagi meningkatkan kesedaran sekali gus memperkasa golongan kelainan upaya dalam perbincangan politik satu hari nanti,” tuturnya optimis.














