fbpx
AZIRA SHAFINAZ

Azira Shafinaz tak nak cepat naik pelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMILANG! Barangkali frasa tersebut cukup memberi gambaran terhadap bintang kerjaya Azira Shafinaz sepanjang 2022.

Sejak awal tahun, projek lakonannya tanpa henti ditayangkan, tidak kiralah di layar perak mahupun slot-slot drama popular dalam televisyen.

Wajahnya ada di mana-mana. Tidak keterlaluan juga sekiranya ramai berpendapat 2022 adalah miliknya.

Tahun ini saja, Azira muncul dalam tiga buah filem iaitu Talbis Iblis, Bunga dan Kayu serta Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Manakala untuk drama pula, wanita berusia 31 tahun itu cemerlang dengan menjayakan watak utama dalam One Cent Thief dan Ijab Kabut.

Sedar perihal tersebut, pemilik wajah yang dikatakan mirip model terkemuka Gigi Hadid itu bersyukur namanya tidak pernah tenggelam, malah kekal diberikan kepercayaan untuk pelbagai genre karya.

“Sejujurnya tahun 2021 merupakan antara fasa yang saya rasa agak mencabar kerana banyak hal negatif terjadi.

BIARPUN dikatakan terlalu kerap muncul dalam beberapa naskhah filem dan drama rantaian pada tahun ini, Azira lega kerana tidak menerima kritikan negatif daripada penonton.

“Sehinggakan pernah berbisik pada diri sendiri bahawa tahun 2022 bakal menjadi milik saya. Alhamdulillah Allah kabulkan doa saya,” kata anggota kumpulan De Fam itu kepad HibGlam.

Rasa sebak turut menghurung jiwanya tatkala ramai mula melemparkan pujian dan ucapan tahniah tentang kejayaan kariernya pada tahun ini.

“Semua ini buat saya rasa sebak. Bukan kerana ramai orang cakap ‘wajah Azira di mana-mana’ tetapi disebabkan saya berjaya buktikan kemampuan sendiri sebagai pelakon.

“Hal itu kerana saya pernah melalui episod kualiti lakonan dipertikaikan pada awal pembabitan sebagai pelakon.

“Namun, itu bukan alasan untuk saya menoktahkan kerjaya yang memang diimpikan sejak dahulu. Senang cakap, saya bukan seorang yang mudah mengalah kerana kritikan orang,” ujarnya.

BARU sahaja muncul dengan single baharu bersama De Fam berjudul Berubah, sekali gus menyangkal dakwaan ramai bahawa karier nyanyiannya sudah terkubur.

Dalam masa sama, Azira juga enggan hanyut dengan semua pujian dan kejayaan yang diraih pada tahun ini.

“Saya tak mahu rasa terlalu selesa dengan apa yang dimiliki hari ini sebab kita tak akan tahu apa yang bakal terjadi pada hari esok.

“Terus memacu kerjaya dengan memberikan sehabis baik dalam setiap tugas yang dipertanggungjawabkan. Itu yang saya pegang sehingga hari ini,” tuturnya.

Biarpun wajahnya dikatakan ‘bersepah’ (ada di mana sahaja), Azira berusaha untuk memberikan hasil berbeza dalam setiap karya lakonan.

“Memang seronok orang cakap rezeki dalam bidang lakonan banyak tetapi cabarannya sangat besar iaitu untuk memberikan kelainan dalam setiap naskhah.

“Saya memang berusaha keras untuk memastikan lakonan saya untuk setiap drama dan filem nampak berbeza serta meninggalkan impak supaya tidak membuatkan penonton bosan.

“Namun, semua itu bukan mudah dan syukur saya diberi peluang berlakon bersama ramai pelakon hebat tanah air dan bawah arahan beberapa pengarah terkemuka. Ini peluang untuk saya menimba ilmu,” jelasnya.

LAKONAN Azira dalam filem Talbis Iblis meraih pujian ramai sehingga ada mendoakannya berjaya merangkul trofi pelakon terbaik dalam mana-mana acara anugerah kelak.

Cinta, kahwin

Tolak tepi hal kerjaya, Azira boleh dikatakan antara selebriti wanita tanah air yang tidak pernah terlepas daripada dilemparkan persoalan tentang cinta.

Sering dihambat gosip percintaaan tidak berkesudahan dan tiada kepastian, jauh di sudut hatinya, Azira juga memiliki impian untuk mempunyai keluarga bahagia satu hari nanti.

“Saya tak rimas cuma sudah lali. Bagi saya semua itu normal terutama apabila usia semakin meningkat, pastilah ramai akan ajukan soalan tentang kahwin.

“Jujurnya, saya juga macam wanita lain yang punya impian untuk berkahwin dan ada keluarga cuma belum tiba masanya lagi.

“Untuk tamatkan zaman bujang buat masa sekarang rasanya belum lagi, mungkin jodoh saya belum tiba,” katanya lagi.

Tidak tertekan dengan pertanyaan yang kadang-kadang seperti desakan untuk segera naik pelamin, dia menganggap hal tersebut sebagai doa.

“Setakat ini, saya okay sahaja tidak terdesak atau terburu-buru untuk tamatkan zaman bujang.

AZIRA SHAFINAZ bersama Fadlan Hazim Iedil Dzuhrie Alaudin bergandingan dalam siri romantik komedi, Ijab Kabut siaran Viu yang ditayangkan bermula Oktober lalu. – AFIQ RAZALI

“Tuhan telah aturkan semuanya dengan indah, bila sampai masanya, jodoh itu akan hadir dengan sendiri.

“Lagi pula sekarang ini saya sangat-sangat sibuk dengan jadual kerja yang padat ketika ini. Rezeki kerja bertali arus,” katanya yang pernah popular menerusi drama Seribu Rindu bersama Zul Ariffin.

Dalam masa sama, dia mengakui mempunyai impian perkahwinan sendiri iaitu bertemakan taman.

“Sama seperti orang lain, saya ada impian perkahwinan sendiri.

“Saya teringin sekiranya pada hari pernikahan saya nanti, semua tetamu yang hadir memakai pakaian berwarna hitam, manakala hanya saya yang berbaju putih tetapi ramai larang sebab sangat pelik.

“Bukan itu sahaja, saya juga ada folder (fail) istimewa iaitu saya kumpul dan simpan foto serta idea perkahwinan impian.

“Jika diberi peluang, saya mahukan perkahwinan bertemakan taman, di puncak bukit yang punya latar pemandangan yang cantik,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN