PENAMPILAN penyanyi Raisa dalam konsert Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sebagai juri jemputan baru-baru ini barangkali satu imej asing bagi segelintir peminat marhaen.
Bagi sekelompok khalayak yang lain pula, susuk Raisa atau nama lengkapnya Raisa Andriana sudah cukup dikenali, barangkali sangat ditunggu-tunggu menjelang persembahannya di Zepp KL pada 20 November nanti
Secara kebetulannya kedatangan Raisa ke Kuala Lumpur senada dengan gelombang ketibaan ramai artis Indonesia lain.
Raisa tidak terkecuali menyertai lambakan yang tercetus usai negara memasuki fasa pasca pandemik.
Bahkan selama 15 tahun berada dalam industri muzik, Raisa sebenarnya agak bimbang dan gementar untuk beraksi di negara lain.
Namun, demi hasrat mengembangkan sayap nyanyiannya di Asia Tenggara, peluang beraksi di KL enggan dilepaskan.

“Saya sudah buat perkara ini dalam tempoh yang agak lama, namun saya harus menyuntik rasa gementar.
“Perasaan gementar itu dapat membantu saya mengekalkan tenaga dan berasa teruja memandangkan ini kali pertama mengadakan konsert di Malaysia.
“Sebagai penyanyi, kita bukan hanya beraksi di Indonesia malah di serata Asia Tenggara.
“Perkara ini akan membuatkan buah fikiran menjadi lebih luas dan berkemungkinan dapat mengembangkan sayap di Malaysia,” ujar penyanyi berusia 32 tahun itu.
Berkongsi rasa gembira, Raisa teruja melihat sokongan padu yang diberikan peminat di Malaysia dan sudah menyediakan segala persiapan dengan teratur untuk berhibur bersama penonton.
“Saya sangat teruja untuk berjumpa peminat di Malaysia kerana kami jarang berjumpa dan berinteraksi secara langsung.
“Kebetulan pula, tempoh hari saya ada pertunjukan di Jakarta dan berjumpa dengan beberapa orang peminat dari Malaysia.
“Saya pula tidak pernah melakukan persembahan di Malaysia dan merasakan aura penonton di sini (Malaysia).

“Itu yang membuatkan saya teruja untuk beraksi 21 buah lagu khas buat peminat,” katanya.
Demi promosi konsert di Malaysia, Raisa juga terpaksa meninggalkan permata hatinya yang berusia tiga tahun bersama suami.
“Anak saya, ayahnya yang jaga kerana yang ‘hasilkannya’ kan berdua (tertawa).
“Menurut saya, suami itu bukan pengasuh dan tanggungjawab harus dibahagi sama rata,” seloroh Raisa mendirikan rumah tangga bersama suami, Hamish Daud Wyllie sejak September 2017.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Zalina Raine Wyllie, kini berusia tiga tahun.

Batasan bahasa
Melencongkan perbualan, isu tular kononnya diejek Nabil gara-gara penggunaan bahasa Inggeris dalam GV6 baru-baru terbutir dari bibirnya.
Kata Raisa, dia langsung tidak terkesan dan menganggap semua itu sekadar gurauan daripada Nabil.
Disebabkan perkara tersebut, dia lebih berhati-hati dengan penggunaan bahasa sewaktu mengadakan konsert kelak supaya penonton dapat memahami segala penyampaiannya.
“Perkara yang lebih membimbangkan sekarang adalah bahasa berbanding soal nyanyian.
“Takut cakap dalam bahasa Indonesia jadi tidak kelakar apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Saya pula jenis yang suka melawak semasa di pentas.
“Sebelum ke sini, saya sempat bertanyakan kawan-kawan seperti Rossa dan dia menggalakkan untuk bercakap dalam bahasa Indonesia,” kongsinya.
Pada minggu kelapan konsert GV9, Raisa dijemput sebagai juri jemputan dan menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi semasa program hiburan tersebut berlangsung.
Perkara tersebut menjadi bahan jenaka Nabil sehingga pengacara itu dikecam hebat netizen dalam media sosial.

Inspirasi lagu
Berceritakan soal lagu pula, Raisa terbuka untuk menghasilkan karya dari pelbagai latar belakang.
Begitu pun, dia gemar menghasilkan karya peribadi yang lebih senang dan dekat dengan diri supaya peminat lebih memahami perasaannya dalam bentuk lagu.
“Setiap album yang dihasilkan datang dari pelbagai inspirasi. Sewaktu remaja dahulu, kebanyakan album dicipta berkisarkan cinta monyet dan isinya lebih ringan.
“Karya paling meninggalkan kesan mendalam adalah menerusi album pandemik kerana waktu itu semua orang berada di rumah dan hanya fikir soal kehidupan.
“Jadi, saya masukkan semua perkara penting di dalam album tersebut,” ujar pelantun lagu Kali Kedua itu.

















