fbpx
Bung Moktar dan Zizie Izette.

Mahkamah: 9 Disember keputusan bantahan pendakwaan kes rasuah Bung, Zizie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Disember ini bagi keputusan bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung bela diri pertuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak selain perlu meneliti intipati hujahan sebelum sebarang keputusan ditentukan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.

Bagaimanapun Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon tidak hadir dan pasangan itu diwakili peguam-peguam, M. Athimulan dan Datuk K. Kumaraendran.

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri.

Kedua-dua pemohon berkata hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 2 September lalu, Hakim Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN