fbpx
Mohd. Fami ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. - FOTO/ AFIQ RAZALI

Pengurus besar didakwa ubah wang haram lebih RM600,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pengurus besar syarikat eksport dan import didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM600,000 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fami Sharin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Herlina Sulaiman.

Lelaki itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM669,975.22 dari akaun semasa milik syarikatnya bekerja ke dalam akaun syarikat lain dan rakan lelakinya yang merupakan hasil aktiviti haram.

Perbuatan itu dilakukan di dua buah bank pada 18 Mac dan 19 September 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama perenggan 87(1)(b) akta sama dan dihukum di bawah subseksyen 4(1).

Sabit kesalahan lelaki itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi menawarkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan. Mohd. Fami yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah kerana tiada pendapatan tetap.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN