WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memuji ‘hari yang baik buat demokrasi’ kelmarin selepas parti pemerintah, Parti Demokrat mencatat prestasi mengejutkan dan memberangsangkan dalam pilihan raya separuh penggal, ketika Parti Republikan semakin hampir memenangi majoriti tipis dan merampas satu dewan Kongres.
Biden berkata, ‘majoriti besar’ rakyat Amerika menyokong agenda ekonominya dan membayangkan bahawa beliau berhasrat bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya Presiden 2024, namun keputusan mengenainya hanya akan diumumkan awal tahun depan.
Parti Republikan mengharapkan kemenangan besar selepas mengecam Biden kerana kadar inflasi yang melambung tinggi di AS, manakala ramai juga pemimpin dan rakyat menyokong dakwaan yang mempertikaikan kesahihan keputusan pilihan raya dua tahun lalu, menyaksikan beliau menewaskan Donald Trump.
“Ini adalah hari yang baik buat demokrasi. Ia juga adalah hari yang baik buat Amerika.
“Walaupun akhbar dan pakar politik meramalkan gelombang merah (Parti Republikan) akan melanda, ia tidak berlaku,” kata Biden pada sidang akhbar di White House.
Kelmarin juga merupakan hari mengecewakan untuk Donald Trump yang mengharapkan kemenangan besar Parti Republikan bagi meningkatkan peluang beliau menawan semula White House.
“Walaupun daripada beberapa sudut, keputusan pilihan raya (kelmarin) agak mengecewakan, saya menyatakan bahawa ia kemenangan yang sangat besar dengan 219 kemenangan berbanding 16 kalah,” kata Trump, merujuk kepada calon-calon yang mendapat sokongan beliau secara peribadi.
Selain melihat beberapa calon berprofil tingginya tewas, Trump juga menyaksikan saingan utama beliau dalam merebut pencalonan Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden 2024, Ron DeSantis meraih kemenangan besar sekali gus kekal sebagai gabenor negeri Florida.
Parti Republikan juga berada di landasan untuk merampas Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 kerusi buat kali pertama sejak 2018 tetapi dengan kelebihan beberapa kerusi sahaja.
“Adalah jelas bahawa kami akan mengambil semula Dewan Perwakilan,” kata wakil rakyat Republikan, Kevin McCarthy yang berharap untuk menjadi Speaker dewan berkenaan. – AFP














