KELIBAT Vanidah Imran di layar perak mahu pun televisyen tetap ditunggu-tunggu ramai biarpun aktres generasi baharu bersilih ganti.
Dalam kalangan penggiat seni pula namanya berdiri sebaris dengan bintang besar lain yang mempunyai reputasi tinggi.
Cuma sejak akhir-akhir ini kemunculan Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu boleh dikira dengan jari.
Begitupun, figura jelita yang selesa disapa Vee itu mengakui bukannya merajuk membawa diri, sebaliknya mempunyai komitmen terhadap kerjaya baharunya selaku pensyarah.
Sebagai anak seni yang secara langsung memasuki dunia akademik, kerinduan Vee untuk kembali berkubang di lokasi penggambaran, masih kuat.
“Sudah agak lama juga saya menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan generasi muda yang mempunyai bakat serta iltizam tinggi menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

“Sebenarnya kita juga dapat mengaut pengetahuan baharu menerusi pergaulan dengan golongan muda ini yang turut mempunyai macam-macam idea segar.
“Berlakon juga masih bidang yang saya cintai tetapi dalam situasi sekarang, mengajar tetap keutamaan. Cuma, sesekali saya penuhi juga undangan jika ada peluang.
“Tidak sedikit pun saya lupakan kerjaya lakonan atau merajuk. Zaman sekarang stesen televisyen pilih pelakon, bukan produser yang tentukan.
“Kitaran dunia seni itu biasa, jadi kita ikut saja putaran tersebut. Namun apabila khidmat diperlukan, kita beri hasil terbaik,” katanya.
Suntik keyakinan
Bercerita pengalaman bekerja di dewan kuliah, akui Vee pendekatannya lebih ke arah menyuntik keyakinan kepada pelajar dalam menempuh kehidupan di dunia pekerjaan.
“Saya ajar generasi muda untuk ekspresi dan percaya diri selain usah memendam perasaan. Saya tidak ajar mereka untuk jadi pelakon, tetapi lebih kepada tonjolkan kelebihan.
“Masyarakat kita sekarang suka menyimpan rasa sampaikan pernah ada pelajar saya tidak tahu bagaimana mahu luahkan emosi marah,” kongsinya.

Nyonya penuhi hajat
Dalam kesibukan bergelar pensyarah, bintang The Red Kebaya itu sempat memenuhi pelawaan Penerbit CTRA Production, Siti Rohaya Atan, mementaskan teater Nyonya pada 15 dan 17 Oktober lalu.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, peluang beraksi sekali lagi di dalam produksi arahan Dr. Rosminah Tahir itu tidak mampu ditolak.
Apatah lagi katanya bergandingan dengan aktres handalan seperti Datuk Ziela Jalil serta Liza Abdullah, memang pengalaman menyeronokkan.
“Apabila dimaklumkan Nyonya bakal ‘naik’ semula buat kali ke lapan dengan Kuantan, Pahang sebagai lokasi terbaharu, saya rasa teruja.
“Lebih menggembirakan apabila melihat barisan pelakonnya. Memang saya teringin berlakon dengan mereka, malah untuk kali ini saya bawakan watak lain pula, watak bernama Beautiful.
“Walaupun sudah beberapa kali berada dalam pasukan Nyonya, pengalamannya berbeza.
“Alhamdulillah, lepas rindu. Saya percaya dengan rezeki Allah. Jadi kalau dapat peluang macam ini kena buat betul-betul.
“Kita pun kena baik dengan semua orang tak kira kru mahu pun pengurus produksi kerana mereka juga melihat cara kita bekerja dan disiplin kita.
“Mereka yang boleh rujukkan nama kita kepada produksi. Kiranya ini promosi mulut ke mulut yang dapat membantu membuka peluang untuk kita,” kongsinya.

Hidup baharu
Berkongsi kehidupan baharu selepas bergelar isteri kepada jurutera serta pesilat negara, Arifabillah Idris, 43, Julai lalu, Vee menyifatkan mereka masih dalam proses memahami dan menyesuaikan diri.
“Macam pasangan lain juga. Suami seorang yang sangat memahami. Masing-masing punya pengalaman sebelum ini, jadi kami sudah mampu membuat pertimbangan selain matang dalam membuat sebarang keputusan.
“Dia juga antara pendorong utama yang memberi galakan kepada saya untuk bertukar kepada bidang akademik,” ulasnya lagi.
Terdahulu, Vanidah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pemuzik, Rashidi Ishak pada Oktober 2000 serta dikurniakan dua cahaya mata sebelum berpisah pada Ogos 2018.
Arifabillah yang pernah meraih pingat perak pada Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Cheongju, Korea Selatan pada 2016 turut mempunyai empat anak daripada perkahwinan terdahulu.

















