DIHIMPIT pelbagai kontroversi sejak bergelar artis, Intan Najuwa ada cara tersendiri untuk mengatasi setiap tekanan yang menyerang emosinya. Berpegang prinsip tidak melatah, itu cara Intan kekal tenang sehingga kini.
Sejak muncul dalam industri hiburan, nama pelakon Intan Najuwa tidak lekang dengan gosip. Setiap kali muncul dengan drama baharu, ada sahaja kontroversi mengaitkan dirinya dengan hero gandingan.
Akuinya, isu sebegitu bukan sesuatu yang dirancang. Kemesraan yang terlihat bersama hero-hero drama lakonan hanyalah di lokasi penggambaran.
Menafikan pernah terjebak cinta lokasi, Intan bertegas, sikap mesra yang terpamer hanya atas dasar profesionalisme sesama pelakon.
“Sebenarnya penat bekerja, jadi saya lebih suka buat kawan dengan semua orang di set penggambaran. Saya fikir tiada layanan yang terlebih.
“Tempat kerja hanya untuk kerja. Semua tahu saya kerja macam mana. Di set saya serius tapi kalau di luar set saya jenis yang fun dan friendly. Lepas kerja saya balik, tiada nak melebih-lebih,” ujarnya.
Pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid itu berkata, kontroversi hanyalah perkara biasa dan lumrah bagi seseorang artis.

Wanita berusia 25 tahun itu juga selesa berdiam diri daripada melayan gosip yang tersebar tentang dirinya.
“Saya suka berdiam diri dan tidak cepat melatah. Selalunya kalau saya tahu ada berita tak elok saya akan relaks dan tenang sahaja.
“Saya bimbang kalau saya melenting ada perkara-perkara yang terlepas cakap.
“Saya tak mahu bercakap benda-benda yang buruk dalam keadaan marah. Cara itu akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Emak saya pun selalu pesan kalau ada berita tak baik kena sabar dan berfikir dengan matang. Bila sudah berlalu dan keadaan kembali tenang barulah saya bercakap tentang itu,” ujarnya.
Intan bagaimanapun tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak setiap kali tercetusnya sesuatu kontroversi.
Pelakon yang mula dikenali menerusi naskhah Kekasih Paksa Rela itu menambah, dia tidak suka memikirkan perkara negatif yang boleh mengganggu kehidupan hariannya.

Dia juga bersyukur mendapat sokongan daripada keluarga yang sentiasa berada di sisi setiap kali berdepan masalah.
“Saya malas nak fikir perkara buruk kerana hanya akan merosakkan hari saya sahaja.
“Saya tolak tepi gosip yang hanya membawa toksik dalam hidup saya.
“Alhamdulillah keluarga sangat memahami. Selalunya memang keluarga saya tahu dulu kalau ada sesuatu kontroversi.
“Sejak awal jadi pelakon memang keluarga beri sokongan penuh. Emak, ayah, adik dan saudara-mara saya sangat memberi sokongan.
Mereka beri semangat kalau saya kena gosip-gosip tak elok.
“Itu yang membuatkan saya rasa kontroversi tidak menjatuhkan saya setakat ini,” ujarnya bersahaja.

Hormat prinsip hero
Bergandingan dengan aktor Yusof Bahrin menerusi naskhah bersiri terbaharu, Jesnita, Intan mengakui sangat menghormati pendekatan ‘patuh syariah’ suami penyanyi Zizi Kirana itu sepanjang lakonan.
Kata Intan, dia akan lebih berhati-hati supaya apa yang dilakukan tidak menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak.
“Sekarang saya banyak berlakon dengan suami orang dan saya kenal isteri mereka. Saya tahu limit saya setakat mana.
“Saya hormat permintaan Yusuf tidak mahu bersentuhan. Saya terus set dalam kepala supaya jaga batas dan lebih berhati-hati.
“Itu hak dia sebagai pelakon dan saya tiada masalah dengan perkara itu,” ujarnya.
Jelas Intan, Jesnita bukanlah drama percintaan yang memerlukan mereka melakukan babak romantik atau bersentuhan.
“Drama ini tentang kekeluargaan dan tiada babak yang perlu bersentuhan atau berpelukan. Banyak babak yang kami kena berkumpul ramai-ramai,” ujarnya.
Melanjutkan bicara tentang Jesnita, Intan yang membawa watak utama mengakui karya berkenaan mencabar dirinya sebagai pelakon baharu.
Tidak seperti naskhah terdahulu lakonannya, kali ini Intan mewakili kaum wanita yang berani dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian.
“Saya tak pernah bawa watak sebegini, selalu dapat watak wanita lembut, baik dan ditindas. Kali ini saya jadi wanita berani, licik dan buat apa sahaja demi dapatkan sesuatu,” ujarnya.
Jesnita turut dibarisi pelakon popular lain seperti Nasha Aziz, Fikry Ibrahim, Malek Maccrone, Fathia Latiff dan Rozita Che Wan.
Drama 40 episod berkenaan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 November menerusi Astro Prima.

Wajah dua stesen
Selain Jesnita, sebuah lagi drama lakonan Intan berjudul Wanita Milik Tuan Putra juga sedang ditayangkan mengisi slot Akasia, TV3.
Dua drama ditayangkan serentak di dua stesen televisyen, Intan menganggap kebetulan tersebut sebagai rezeki yang tidak boleh ditolak.
“Itu rezeki, saya rasa kini fasa bekerja sebab masa pandemik kita sudah lama bercuti. Jika penonton bosan tengok, saya sendiri tidak tahu.
“Sebenarnya tawaran-tawaran yang datang ini sudah ‘lock’ sebelum pandemik lagi. Saya pun tidak tahu drama-drama ini ditayangkan ‘back to back’.
“Bagi saya kalau nak tengok, silakan. Saya hargai sokongan anda. Bagi yang bosan tengok muka saya, tidak mengapa itu hak masing-masing, kita tak boleh paksa.
“Sebagai pelakon saya hanya buat yang terbaik dalam setiap drama,” ujarnya.

Bahagi masa
Anak kelahiran Johor Bahru itu juga mengakui kehidupannya kini terlalu sibuk apabila terpaksa membahagikan masa antara bekerja dan belajar.
Kata Intan, dia hanya tidur empat jam sehari sehingga adakalanya tidak sihat dan jatuh sakit.
“Dalam Instagram, orang nampak saya macam best tengah belajar. Tuhan sahaja yang tahu macam mana saya berjuang nak belajar dan bekerja.
“Selalunya saya belajar setiap kali ada masa terluang di set penggambaran. Saya sentiasa bawa i-Pad ke mana-mana supaya saya boleh belajar bila ada masa.
“Seminggu sebelum peperiksaan, saya akan belajar dan ulang kaji pelajaran. Itu pengorbanan yang perlu saya lakukan kerana saya pilih untuk bekerja sambil belajar,” ujarnya.
Intan yang mengambil jurusan undang-undang di sebuah universiti swasta menganggap usahanya menuntut ilmu bukanlah bermaksud mahu berhenti berlakon dan beralih kerjaya sebagai peguam.
Dia juga tiada perancangan mahu menyertai dunia guaman sebaliknya mahu mencabar diri untuk belajar selagi termampu.
“Bagi saya kerja dan belajar dua perkara berbeza. Saya akan tetap belajar walaupun saya tiada perancangan untuk masuk ke bidang itu. Buat masa ini saya lebih selesa berlakon.
“Cuma saya boleh katakan pengajian ini ‘backup plan’ untuk masa hadapan.
“Kita tak tahu sampai bila orang nak tengok kita berlakon,” ujarnya.















