fbpx
ORANG ramai lebih selesa membuat pembelian tiket bas lebih awal bagi memudahkan urusan untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing. – GAMBAR HIASAN

Tiket bas, kapal terbang musim mengundi laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang mula membuat pembelian tiket bas ekspres dan kapal terbang untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suasana mula dirasai sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuk hari penamaan calon dan hari pembuangan undi yang dijadual pada 5 November dan 19 November ini.

Berdasarkan tinjauan Kos­mo!, rata-rata golo­ngan perantau memilih untuk membeli tiket lebih awal bagi melancarkan pergerakan pulang mengundi, sekali gus menyaksikan jualan tiket bas naik mendadak.

Yang Dipertua Persatuan Pe­ngusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, pembelian tiket bas paling laris dapat dilihat bermula dari tarikh 16 hingga 18 November 2022.

“Buat masa ini, tarikh 16, 17 dan 18 November adalah tarikh yang paling laris di setiap lokasi, namun pada 19 November iaitu hari mengundi, jualan tiket adalah seperti biasa.

“Selain itu, tarikh 20, 21 serta 22 November juga merupakan tarikh tumpuan bagi penumpang yang ingin kembali semula dan jualan pada hari berkenaan turut tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, pada hari biasa, pihaknya akan mempersiapkan perkhidmatan bas ekspres sebanyak 10 perjalanan pada sebelah malam dan 10 perjalanan lagi pada sebelah siang.

“Kalau lihat kepada situasi semasa, saya rasa kita akan tambah lagi 10 perjalanan malam dan 10 perjalanan pada siang menjadikan semuanya 40 perjalanan pada tarikh-tarikh berkenaan.

“Buat masa ini, tiket perjalanan yang paling laris adalah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

“Sebaik sahaja SPR umum tarikh mengundi, jumlah pembelian tiket bas ekspres terus me­ningkat,” katanya.

Tambah Pengurus Syarikat Bas Ekspres Perdana itu lagi, ketika ini, kesemua syarikat bas ekspres masih lagi mempunyai tiket, namun penumpang dinasihatkan untuk membuat pembe­lian awal bagi memudahkan urusan penambahan bas.

“Kalau ramai yang masih perlukan tiket untuk balik mengundi, maka pihak kami akan menyediakan lagi bas-bas tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, pengurusan syarikat penerbangan Batik Air yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air turut membuat pe­nerbangan tambahan bagi destinasi domestik yang berlepas dari Lapangan

Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memenuhi peningkatan permintaan ketika PRU15.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pihaknya menambah 18 penerbangan harian ke destinasi seperti Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu mulai 5 hingga 23 November 2022.

Katanya, penerbangan tambahan tersebut dilakukan bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pe­ngundi.

“Kami menjangkakan berlaku lonjakan permintaan termasuk daripada ahli-ahli politik yang akan turut berkempen di beberapa kawasan utama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN