fbpx

Korea Selatan berkabung tragedi berdarah Itaewon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban di sebuah altar di Seoul hari ini. - AFP

SEOUL  – Rakyat Korea Selatan mengunjungi sebuah memorial hari ini untuk memberikan penghormatan kepada 154 orang yang terbunuh apabila pengunjung berasak-asak semasa perayaan Halloween di Itaewon.

Orang ramai menangis, berdoa dan meletakkan bunga di atas sebuah altar yang didirikan di tengah Seoul untuk memperingati mangsa terkorban, kebanyakan mereka wanita muda.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku, mereka hadir hanya untuk berseronok,” kata pelajar berusia 19 tahun, Hwang Gyu-hyeon kepada agensi berita AFP.

“Saya berdoa untuk mangsa yang terkorban. Saya tidak percaya kemalangan seperti ini boleh berlaku sedangkan isyarat sudah  jelas bahawa bahaya sedang menanti. Tiada apa dilakukan (oleh pihak berkuasa) untuk mengawal kehadiran sebegitu ramai orang,” tambahnya.

Song Jung-hee, 69, pula berkata, dia dapat membayangkan betapa seronoknya  mangsa-mangsa yang berusia muda apabila mereka keluar menikmati keseronokan malam tanpa sekatan Covid-19 buat kali pertama dalam tempoh  tiga tahun.

“Jika lebih ramai anggota polis dikerah untuk mengawal kumpulan orang ramai, tragedi ini tidak akan berlaku,” katanya.

Sekitar 100,000 orang dengan kebanyakan pengunjung dalam lingkungan usia belasan tahun dan 20-an, membanjiri jalan-jalan sempit dan berliku di Itaewon dengan saksi-saksi berkata, tiada langsung kawalan keselamatan dilakukan. 

Polis menyatakan dalam satu taklimat akhbar hari ini bahawa pihaknya telah mengerahkan seramai 137 anggota pada acara tersebut dan menegaskan, kerahan itu adalah jauh lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, laporan tempatan menyatakan, anggota-anggota polis yang dikerah hanya memberi tumpuan kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung dan bukan bertujuan untuk mengawal orang ramai.

Korea Selatan melaksanakan kawalan orang ramai yang tegas dengan bilangan anggota polis lebih ramai berbanding peserta penunjuk perasaan semasa demonstrasi berlaku.

Penganjur penunjuk perasaan juga diwajibkan melaporkan rancangan mereka terlebih dahulu tetapi syarat itu tidak diwajibkan kepada  golongan belia yang berpusu-pusu menghadiri perayaan Halloween di Itaewon.

Identiti kebanyakan 154 mangsa yang terkorban termasuk 26 warga asing itu telah dikenal pasti semalam dengan kementerian kesihatan mengesahkan hari ini bahawa sekurang-kurangnya enam remaja turut terkorban.

Bagaimanapun, angka korban dijangka akan terus meningkat berikutan sekurang-kurangnya 33 orang masih berada dalam keadaan kritikal. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI