fbpx
Gambar hiasan

Masa kempen janji macam-macam, lepas menang senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) memberitahu, nasib mereka telah lama diperjuangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun permohonan seolah-olah tersekat di peringkat kementerian dan Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA).

Aisyah, 40-an berkata, nasib mereka masih terumbang-am­bing apabila usaha serta janji bagi memastikan jawatan tersebut diserap ke jawatan tetap masih belum menemui kata putus.

Katanya, antara sebab yang diberikan ialah sebahagian guru hanya berkhidmat tiga hari dalam seminggu serta tiga jam sahaja.

“Perkara itu memang betul tetapi ia hanya melibatkan guru yang mengajar di sekolah kebangsaan sahaja sedangkan guru sekolah agama rakyat bertugas lima hari seminggu bermula pukul 2.30 hingga 6 petang.

“Bagaimanapun, elaun yang diterima daripada Jakim tetap sama iaitu RM1,050 dan apabila ditolak dengan pelbagai caruman, jumlah yang diterima hanya tinggal RM936,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Aisyah, sejujurnya dia mengakui tidak mampu menampung perbelanjaan harian dengan peningkatan kos sara hidup dan barang ketika ini ditambah pula yang mempunyai tanggungan ramai anak.

Tambahnya, bagi menampung hidup, dia terpaksa membuat pekerjaan lain seperti berniaga kecil-kecilan serta menawarkan khidmat mengajar mengaji kepada anak-anak jiran.

“Setiap kali mesyuarat, Jakim memberitahu sudah lama ber­usaha memastikan nasib kami terbela, namun permohonan berkenaan seolah-olah tersekat di peringkat JPA dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.

Lebih membuatkan mereka kecewa apabila sering diumpan bahawa nasib mereka akan di­bela setiap kali kempen Pilihan Raya Umum, namun selepas dipi­lih janji hanya tinggal janji.

“Kami sanggup kerja lebih masa tetapi diharap agar elaun dinaikkan ke tahap gaji minimum RM1,500 sekurang-kurangnya. Lebih kecewa apabila ada pengu­muman baharu guru bersalin tidak diberikan elaun sepanjang tempoh berpantang,” katanya.

Ujar Aisyah, guru KAFA memainkan peranan penting dalam mendidik adab, akhlak serta agama kanak-kanak dari usia tujuh hingga 12 tahun di negeri-negeri tertentu.

“Peranan kami besar dalam melahirkan generasi berakhlak, beradab yang tidak hanya mengejar intelektual sahaja, namun, peranan kami dinafikan dengan elaun yang tidak sampai pun ke tahap gaji minimum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN