fbpx
Zulkifli menunjukkan makam Moyang Angsa yang merupakan salah seorang daripada dua beradik pengasas Jelebu di Makam Sejarah Jelebu, Negeri Sembilan.

Merungkai asal usul ‘gadis Jolobu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJEJAKI pesona gadis Jelebu (Jolobu) bukanlah sesuatu yang mudah ketika wartawan K2 cuba menyelami kelebihan gadis dari kawasan tersebut yang disebut-sebut dalam pantun warisan seperti yang turut dirakamkan dalam lagu Gadis Jolobu sekitar tahun 2013.

Rata-rata yang ditemui di Jelebu, Negeri Sembilan tidak bersetuju apabila susuk gadis Jelebu dikaitkan dengan kemampuan menundukkan mana-mana jejaka dengan kecantikan.

Biarpun pesona itu mungkin tidak dikaitkan dengan gadis-gadis Jelebu secara umumnya, kisah tersebut barangkali diinspirasikan daripada sejarah pengasas Jelebu sendiri. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Jelebu diasaskan dua beradik yang merupakan gadis rupawan dan bijak.

Menurut seorang penduduk asal Jelebu yang sering menjadi rujukan mengenai sejarah daerah berkenaan, Mohd. Nasir Ahmad, 68, yang juga berjawatan Tua Tau Adat Luak Jelebu, kisah gadis Jelebu itu berasal daripada dua beradik wanita yang dikenali sebagai Moyang Angsa dan Moyang Angut.

“Dua beradik ini merupakan penduduk tempatan dan menetap di Kampung Ulu Jelebu. Saya tidak pasti kurun yang tepat sama ada kurun ke-15 atau 16 kerana kisah ini tidak dibukukan secara tepat, namun kedua-duanya adalah pengasas Jelebu.

“Hebatnya dua beradik ini apabila mampu menarik perhatian dua anak pembesar dari Indonesia untuk disunting menjadi suri hati dan seterusnya membuka satu demi satu sejarah di daerah beradat ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Teriang, Kuala Klawang, Jelebu.

Ujar Mohd Nasir lagi, bukan hanya cantik yang menjadi tarikan kepada pembesar Indonesia berkenaan, namun budi bahasa serta kepandaian dua beradik berketurunan suku Biduanda itu yang menjadi taruhan.

“Cantik rupa paras tak ada nilai zaman dahulu jika tiada kelebihan ilmu yang dimiliki.

“Itulah gadis Jelebu, bukan hanya cantik rupa paras yang menjadikan ia disebut-sebut, namun gabungan budi bahasa serta kelebihan yang dimiliki termasuk dalam ilmu agama membuatkan gadis Jelebu lain dari yang lain,” ujarnya.

MOHD. NASIR

Menurutnya, buat masa ini, makam Moyang Angsa berada di Kampung Ulu Jelebu yang menempatkan Makam Sejarah Jelebu, manakala makam Moyang Angut tidak dapat dikenal pasti lokasi yang tepat, namun dipercayai masih di daerah Jelebu.

Dalam pada itu, menurutnya, penggunaan komat (kemat) Jelebu yang disebutkan dalam pantun sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif kepada gadis Jelebu.

“Apa tidaknya, ada yang mengaitkan dengan ilmu guna-guna, kononnya orang sini banyak guna sihir untuk membuatkan orang luar jatuh hati dengan gadis Jelebu seterusnya membuat keputusan menetap di sini serta melupakan keluarga.

“Sampai ada yang takut bila mula berkhidmat di daerah ini. Malah, ibu bapa pun takut bila anak-anak ke Jelebu.

“Namun, memang sewajarnya menjadi pegangan buat mana-mana individu yang mula-mula menetap di tempat baharu untuk menjaga adab. Kalau buat perangai, lalu tak setabik, makan tak mengajak, memang tak akan sesuailah duduk di tempat baharu, bukan di Jelebu sahaja,” terangnya.

Pun begitu menurutnya, memang ramai yang membuat keputusan untuk menetap terus di Jelebu selepas berkhidmat di daerah berkenaan, namun bukanlah semata-mata kerana berkahwin dengan orang Jelebu.

“Suasana Jelebu yang tenang dan damai menarik hati mereka untuk menetap di sini,” kongsinya.

Sementara itu, usaha menjejaki makam Moyang Angsa membawa penulis menemui seorang lagi pembesar adat dengan gelaran Tok Berembun, Zulkifli Ahmad, 59, di Kampung Ulu Jelebu yang berjarak kira-kira tiga kilometer dari Pekan Kuala Klawang.

Masjid Kampung Dulang yang dikaitkan dengan Moyang Angsa.

Menurut beliau, kisah kemat Jelebu itu hanyalah satu kisah penglipur lara yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

“Malah, orang ramai juga mula memperkatakan mengenai gadis Jelebu selepas tularnya lagu berkenaan gadis Jelebu.

“Apa yang saya ketahui ialah moyang Angsa ini bukanlah calang-calang gadis Jelebu kerana pembesar yang terpikat dengannya itu ialah alim ulama,” katanya.

Bahkan, menurutnya, moyang Angsa juga antara individu penting yang menyumbang kepada tercetusnya sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Masjid Kampung Dulang bagi membolehkan suku Biduanda iaitu orang asal Jelebu mempelajari mengenai agama Islam.

“Jadi kalau nak dikatakan gadis Jelebu ni cantik semata-mata dan menggunakan ilmu bukan-bukan, itu memang tak benar,” katanya.

Mengikut sejarah tambahnya, Datuk Gombak merupakan Datuk Penghulu Jelebu pertama yang berasal dari Pagar Ruyung di Minangkabau, Sumatera dan berkahwin dengan Moyang Angsa daripada suku Biduanda.

“Pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan iaitu To’ Moyang Aceh dan To’ Moyang Timah,” katanya.

JELEBU merupakan salah sebuah daerah di Negeri Sembilan yang kaya dengan amalan dan pentadbiran beradat.

Menurutnya, To’ Moyang Aceh telah berkahwin dengan Datuk Mentunggang yang merupakan Datuk Penghulu Jelebu ke-2 dan hasil perkahwinan itu telah dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Datuk Moyang Salleh.

“Datuk Moyang Salleh telah dilantik sebagai Datuk Penghulu Jelebu ke-3 dengan gelaran Datuk Menteri Shah Mangku Alam Raja Sehari.

Menurutnya, sejarah ada menceritakan pada tahun 1759 telah berlakunya peristiwa yang dikenali sebagai memutuskan tali ke Johor di mana Datuk Moyang Salleh telah membebaskan Jelebu dari jajahan Kerajaan Johor.

“Sultan Johor berkenan dengan mengurniakan gelaran Datuk Manduleka Menteri Akhir Ul-Zaman Sultan Jelebu kepada Datuk Moyang Salleh yang menjadi Undang Luak Jelebu yang pertama,” katanya.

Menurutnya, kisah kehebatan yang dimiliki Datuk Moyang Salleh itu merupakan sebahagian daripada kisah penting didikan keturunan gadis Jelebu yang wajar diketengahkan sehingga menjadikan Jelebu ini daerah yang unik serta kuat pada masa dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN