INDUSTRI penyediaan makanan khususnya restoran dan gerai makanan seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara khurafat.
Apatah lagi apabila sesebuah restoran itu kerap menjadi tumpuan pelanggan sehingga menyebabkan ramai peniaga lain iri hati.
Apabila timbul perasaan hasad dengki tersebut, pasti akan timbul cerita dan desas-desus yang mengaitkan restoran berkenaan dengan penggunaan ilmu sihir termasuklah jin bagi melariskan jualan.
Perkara tersebut sering kali bermain dalam fikiran Azri (bukan nama sebenar) yang diberi kelebihan untuk melihat kelibat makhluk halus dalam pelbagai situasi.
Azri yang bertugas sebagai seorang juruteknik di Kuala Lumpur berkata, antara kejadian yang pernah dialaminya adalah ketika berkunjung ke sebuah negeri di utara Semenanjung atas urusan kerja kira-kira 15 tahun lalu.
“Ketika itu, saya bersama tiga lagi rakan sekerja ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pemantauan bagi projek pemasangan perkakasan di sebuah stesen jana kuasa milik syarikat yang terletak di sana.
“Disebabkan salah seorang daripada kami merupakan anak jati tempat itu, dia mencadangkan kepada kami untuk menjamu selera di sebuah restoran ikan bakar terkenal di kawasan berkenaan.
“Menurut rakan saya itu, kedai tersebut kerap menjadi tumpuan orang ramai untuk menjamu selera, khususnya pada waktu makan tengah hari. Ia disebabkan keenakan hidangan yang disediakan terutama ikan dan daging bakar,” katanya.
Menurut Azri lagi, memandangkan itu kali pertama berkunjung ke negeri tersebut, dia rasa sangat teruja dapat menikmati hidangan di restoran tersebut.
Katanya, populariti restoran berkenaan juga sering menjadi bualan rakan-rakan sekerjanya yang pernah berkunjung ke situ sebelum ini.
Dia memaklumkan, memandangkan kawasan parkir di restoran itu kerap dipenuhi kenderaan pengunjung, maka rakannya menyarankan mereka agar memarkir kereta di sebuah kawasan lot kedai terletak kira-kira 500 meter dari tempat makan tersebut.
“Ketika berjalan menuju ke restoran tersebut, pemandangan saya sudah terpaku ke arah bahagian bumbung restoran itu yang kelihatan agak pelik.
“Ketika itu, saya sudah dapat melihat dari jauh beberapa lembaga menyerupai jin sedang bertenggek di atas bumbung dengan rupa yang agak hodoh.
“Pada awalnya, saya mendiamkan diri dan terus berjalan di belakang rakan-rakan sambil membaca beberapa potong ayat al-Quran bagi menenangkan jiwa.
“Sebaik berada di hadapan restoran, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ruang makan di dalam restoran turut dipenuhi berpuluh lagi lembaga serupa,” katanya.
Jelas Azri, dia dapat melihat dengan jelas lembaga menyerupai jin tersebut sedang menjelir-jelirkan lidah serta meludah ke arah pinggan dan mangkuk makanan yang sedang dijamah pelanggan.
Azri yang ketakutan terus berpura-pura di hadapan rakan-rakannya bahawa dirinya tiba-tiba sakit perut dan perlu segera ke tandas.
Malah, Azri meminta rakannya menghantar dia ke sebuah masjid berhampiran terlebih dahulu sebelum mereka kembali ke restoran tersebut.
“Ketika tiba di masjid, saya berpura-pura ke tandas dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak mereka menyedari helah saya.
“Disebabkan ketika itu sudah masuk waktu zohor, mereka turut solat bersama imam dan jemaah yang lain.
“Selepas solat, saya memberi cadangan agar kami menjamu selera di sebuah restoran nasi ayam yang terletak di tepi masjid. Ia dapat menjimatkan masa memandangkan waktu rehat kami sudah hampir tamat,” katanya.
Menurut Azri lagi, kejadian pada tengah hari itu hanya diceritakan kepada rakan- rakannya sewaktu mereka berehat di hotel pada sebelah malam.
Sebaik mendengar apa yang diceritakan, ketiga-tiga rakan Azri terkejut dan memberitahu, mereka pernah mendengar perkara itu sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka tidak pernah percaya cerita tersebut kerana menganggap ia mungkin sekadar khabar angin.
Ujar Azri, disebabkan rakan-rakannya itu tahu kemampuannya melihat makhluk halus, mereka mula yakin terhadap kisah mengenai lembaga dan jin tersebut.
Cerita Azri lagi, pemilik restoran tersebut mungkin menggunakan bantuan jin dan makhluk halus bagi melariskan jualannya pada setiap hari.
Sehingga kini katanya, apabila berkunjung ke negeri tersebut sama ada atas urusan kerja atau bercuti, dia akan mengelak daripada berkunjung ke restoran itu walaupun diajak oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya.














