CANTIK, seksi dan berbakat. Itu gambaran yang dapat disimpulkan tentang sosok bintang muda yang kian mendapat tempat dalam kalangan peminat filem Bollywood masa kini.
Berbekalkan pakej lengkap, kehadirannya disambut baik, bahkan dianggap bakal menjadi pelapis bintang masa depan.
Bergelar anak kepada pelakon tersohor, Chunky Panday, pemilik nama pentas Ananya Panday bagaimanapun enggan menggunakan kelebihan tersebut sebagai tiket meraih populariti dalam sekelip mata.
Pucuk muda berusia 23 tahun itu tidak mahu dikatakan menumpang kemasyhuran bapanya sebagai aktor untuk mengecapi peluang dalam bidang lakonan
Buktinya, dalam masa tiga tahun selepas membuat kemunculan pertama menghiasi layar lebar menerusi Student Of The Year 2 pada 2019, Ananya telahpun meraih lima anugerah ‘terbaik’ dalam kariernya.

Bintang muda
Selepas memenangi anugerah Star Debut of The Year dalam International Indian Film Academy Awards 2020, bintang kelahiran 30 Oktober 1998 itu tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus mencipta nama dalam kerjaya lakonan.
“Saya menceburi bidang lakonan bukan untuk popular. Tetapi kerana minat dan mahu meneruskan legasi keluarga dalam bidang seni.
“Saya tidak pernah dipaksa oleh bapa untuk mengikut jejak langkahnya dalam dunia seni. Semuanya kerana minat dan kesungguhan saya untuk bergelar seorang aktres,” katanya.
Biarpun dianggap sebagai pelakon pelapis yang bakal menggantikan nama-nama besar dalam industri Bollywood, Ananya tidak terlepas daripada menjadi subjek kritikan netizen yang melemparkan komen jelik terhadap mutu lakonannya.
Selepas ‘diangkat’ sebagai Pelakon Baharu Wanita Terbaik dalam Screen Award 2019, Ananya didakwa sebagai pelakon yang teruk dan tidak berbakat.

Gagal
Sekitar Ogos tahun ini, Ananya dikritik hebat menerusi wataknya sebagai Tanya Pandey dalam filem Liger.
Bukan sahaja filem arahan pengarah Puri Jagannadh itu dianggap teruk, bahkan lakonan yang dipamerkan Ananya juga turut dicerca dengan kata-kata negatif.
Lebih buruk apabila terdapat segelintir netizen mendesak pengarah dan produser supaya tidak mengambilnya untuk berlakon lagi kerana dianggap langsung tidak berbakat.
Enggan menyerah kalah dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya, Ananya menganggap kata-kata hinaan sebagai lumrah yang harus ditempuhi setiap pelakon baharu.
“Ramai yang tidak sukakan saya sebenarnya. Saya sendiri sedar tentang perkara itu. Malangnya saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.
“Mereka patut memberi peluang kepada saya sebagai seorang pendatang baharu.
“Tapi tidak mengapa, kerana kritikan membuatkan saya lebih ‘kebal’ selepas ini,” ujarnya.
Menyentuh tentang cerita peribadinya, Ananya secara terbuka pernah mengakui amat menyukai anak kepada pelakon tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan iaitu Aryan Khan.

Aryan Khan
Menerusi satu temu bual dalam sebuah rancangan hiburan, Koffee With Karan musim ketujuh, Ananya mengakui sangat menyukai pemuda berusia 24 tahun itu.
“Saya sudah lama menyukai Aryan. Dia memiliki wajah yang sangat comel,” jelas Ananya yang juga sahabat baik kepada adik Aryan iaitu Suhana Khan.
Bagaimanapun, baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah video di sebuah acara hiburan apabila Ananya dan Aryan berada di lokasi yang sama.
Dalam video tersebut, kelihatan Ananya sedang memerhatikan Aryan dari jauh. Namun ketika berjalan menghampirinya, Aryan langsung tidak menoleh dan menyapa Ananya walaupun ketika berselisih.
Momen tersebut menjadi perbualan hangat dalam media sosial apabila netizen mendesak mahu melihat kedua-duanya bergambar sewaktu acara karpet merah, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Dia (Aryan) mungkin tidak perasan saya berada di situ kerana dikerumuni ramai orang. Saya dan Aryan baik-baik sahaja,” ujar Ananya menjawab komen netizen tentang hal tersebut.















