PETALING JAYA – Sistem pendidikan di negara ini perlu dikaji semula agar peruntukan lebih masa diberikan bagi pembelajaran subjek tertentu supaya tidak terlalu pendek sehingga murid gagal menguasainya.
Murid-murid terutama bagi tahap satu juga tidak sepatutnya diasak dengan silibus terlalu tinggi yang tidak selari dengan penguasaan peringkat kanak-kanak.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, silibus pembelajaran yang diperkenalkan di sekolah sama ada peringkat rendah mahu pun menengah adalah terlalu tinggi dan tidak selari dengan tahap penguasaan murid.
“Kalau kita tengok buku teks bahasa Melayu tahap satu, mereka kena buat ayat, tulis karangan pendek, belum lagi bebanan melibatkan silibus Matematik, Sains dan bahasa Inggeris,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Silibus KPM tak sesuai usia budak
Terdahulu, tular beberapa hantaran yang dibuat seorang guru, Mohd. Fadli Mohamed Salleh yang menyuarakan pendapatnya mengenai silibus di sekolah serta beberapa isu berbangkit yang sering menjadi keluhan para murid, ibu bapa dan juga golongan guru.
Tambah Mohd. Nazri, kurikulum sekolah (sekarang) perlu sentiasa disemak bagi setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan relevan dan mengikuti peredaran semasa serta mampu memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazri menyarankan seharusnya peruntukan masa yang lebih disediakan bagi subjek teras berdasarkan kepada tahap pembelajaran murid.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan Program dan Pemasaran), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalullail Abdul Wahab mencadangkan agar jadual harian para pelajar ditetapkan kepada maksimum empat subjek sahaja.
“Tempoh masa mungkin tak boleh nak diubah apabila melibatkan dua sesi persekolahan, namun subjek yang dipelajari setiap hari boleh dikurangkan maksimum empat sahaja, sebaiknya tiga agar setiap subjek dapat diajar dalam tempoh masa yang lebih.
“Para guru juga boleh memberi fokus lebih terutama kepada murid yang mempunyai masalah atau kurang faham terhadap kandungan subjek,” katanya.














