PETALING JAYA – Silibus pembelajaran yang tidak sesuai dengan usia pelajar dan membebankan antara keluhan diutarakan ibu bapa serta para guru yang runsing dengan tahap penguasaan golongan berkenaan.
Lebih membimbangkan apabila ada antara pelajar yang merasa tertekan seterusnya hilang minat untuk belajar.
Seorang ibu kepada lima anak, Irdahyu Mokhlas, 35, berkata, silibus pembelajaran pada masa ini terlalu tinggi sehingga ada pelajar yang tidak mampu menguasainya.
“Pada saya, silibus sekarang agak tidak masuk akal. Ibu bapa juga sukar untuk mengajar lebih-lebih lagi Matematik kerana lebih berat berbanding apa yang saya belajar dahulu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sebagai contoh kata Irdahayu, topik pecahan dan masa tidak sesuai diajar kepada pelajar tahun dua dan sukatan itu sepatutnya untuk mereka yang berada di tahun empat atau lima.
“Google dan YouTube kadangkala membantu untuk mencari jawapan kerja, tetapi kurang membantu dalam memberi pemahaman kepada mereka,” katanya yang mempunyai dua anak di sekolah rendah.

Luahan sama disuarakan Izyan Mumtaz Che Ilias, 34, yang memberitahu, silibus diperkenalkan sekarang membebankan, malah aras semua subjek sangat tinggi berbanding kemahiran atau kefahaman murid.
“Seperti yang tular ketika ini, seawal tahun satu telah diminta membuat ayat cerita Matematik. Berapa ramai murid tahun satu masih lemah konsep tambah dan tolak, tetapi terpaksa belajar bagaimana membuat cerita menggunakan ayat Matematik.
“Ibu bapa yang belajar tinggi pun tidak dapat membantu. Bukan kerana mereka itu tidak pandai, tetapi tidak tahu macam mana nak bagi anak sebesar itu faham konsep bukan pada aras mereka,” katanya yang juga seorang guru tuisyen Bahasa Cina dan Matematik.
Malah, Izyan yang mempunyai anak tahun dua berkata, tidak dapat dinafikan ada pelajar yang dapat mengikuti silibus sekarang, tetapi peratusan yang tidak dapat menguasainya adalah lebih tinggi.

Abdul Rahman Hussein, 35, berkata, kajian semula sukatan pembelajaran perlu dilakukan selain melihat jumlah jam bagi satu-satu mata pelajaran yang disifatkan tidak seimbang sehingga menyebabkan pelajar terpaksa membawa buku yang banyak ke sekolah.
“Sudahlah perlu belajar topik yang tidak sesuai dengan usia, mereka juga berdepan masalah beg berat. Dalam sehari, kira-kira enam mata pelajaran dipelajari anak saya di tahun dua.
“Anak mengadu perlu bawa banyak buku ke sekolah dan memang boleh diletakkan di kelas, namun bimbang pula buku hilang. Justeru, isu silibus ini perlu dilihat Kementerian Pendidikan secara menyeluruh,” ujarnya.















