KETIKA kucing peliharaan lain menghabiskan masa dimanja dan dibelai oleh tuannya di rumah, lain pula dengan kucing jantan bernama Jibek.
Kucing berwarna kelabu kehitaman itu bukan sahaja mempunyai tabiat suka makan, tidur dan bermain, malah aktif dalam aktiviti lasak seperti luncur layar (paragliding), flying fox serta mendaki gunung.
Penglibatan kucing tersebut dalam aktiviti lasak sangat mengagumkan kerana bukan semua haiwan mahupun manusia normal mampu lakukannya.
Terbaharu, kucing peliharaan Azhan Dziaruddin itu terlibat dengan aktiviti luncur layar dengan melakukan penerbangan sulungnya di SEA Extreme Park, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada bulan lalu.
Azhan, 39, memaklumkan, Jibek merupakan kucing pertama di negara ini yang berjaya melakukan aktiviti luncur layar.
“Saya sangat teruja dapat merealisasikan impian membawa Jibek melakukan aktiviti luncur layar buat pertama kali. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan selamat.

“Penerbangan itu bermula dari puncak Bukit Batu Pahat setinggi 426 meter dari aras laut dengan memakan masa selama lebih 15 minit di udara,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Azhan yang berasal dari Jitra, Kedah dan kini menetap di ibu kota memberitahu, idea membawa kucing seberat 7.5 kilogram itu mencuba luncur layar adalah disebabkan ingin mencari kelainan.
Katanya, disebabkan Jibek meminati sukan lasak, jadi tidak salah kiranya dia membawa kucing kesayangannya itu mencuba aktiviti luncur layar.
“Saya berasa puas dan seronok dapat melakukan aktiviti ini bersama Jibek. Pada mulanya, saya berasa sedikit gementar untuk membawa Jibek bersama kerana takut kucing itu tidak selesa.
“Namun, tidak sangka pula, Jibek menunjukkan reaksi sebaliknya. Sepanjang berada di udara, Jibek kelihatan tenang sambil menikmati pemandangan sekitar dari udara,” ujarnya.
Sebelum melakukan aktiviti luncur layar tersebut, Azhan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Jelas lelaki yang masih belum berumah tangga itu, dia sanggup berhabis untuk membeli abah-abah (harness) yang digunakan oleh bayi untuk kegunaan Jibek.
Malah, dia turut menggunakan tali tambahan untuk diikat pada tubuh dan badan Jibek sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kucing berkenaan bertindak di luar jangkaan ketika di udara.
“Sebelum melakukan aktiviti ini, saya ada menonton video menerusi YouTube bagi melihat cara-cara orang Barat membawa haiwan peliharaan mereka bermain luncur layar.
“Perkara yang perlu diberi perhatian sewaktu mencuba aktiviti ini adalah cara pemasangan abah-abah dan kedudukan haiwan ketika di udara,” terangnya yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Selepas kejayaan di KKB Park, Azhan memasang impian untuk membawa Jibek melakukan aktiviti luncur layar di beberapa tempat lain pula selepas ini.
Azhan turut menerima maklum balas positif daripada orang sekeliling yang rata-rata berasa teruja melihat kucing itu melakukan luncur layar.
“Impian saya adalah untuk membawa Jibek mencuba semua tempat luncur layar yang terdapat di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Saya berharap dapat melengkapkan terjunan di ketiga-tiga buah negara ini dalam tempoh tiga tahun,” terangnya.
Selain luncur layar, Jibek juga telah berjaya melakukan aktiviti flying fox buat pertama kali di Skytrex Sungai Congkak di Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor
baru-baru ini.
Mengulas mengenai penglibatan Jibek dalam sukan lasak, Azhan memaklumkan hal itu bermula selepas melihat tabiat pelik kucing baka Main Coon tersebut yang gemar menjilat beg galas mendaki miliknya.
Terangnya lagi, sikap pelik kucing itu menyebabkan hati Azhan tergerak untuk membawa Jibek bersama dalam aktiviti mendaki gunung dan bukit seawal usia kucing itu enam bulan.
Disebabkan tabiat tersebut juga Azhan menamakan kucing tersebut dengan nama Jibek iaitu singkatan kepada ‘jilat beg’.
“Jibek mula terlibat dalam aktiviti lasak pada April 2017 selepas dibawa mendaki Gunung Nuang, Hulu Langat. Sepanjang pendakian berkenaan, Jibek gemar bertenggek di bahu dan ada ketikanya berjalan sendiri.
“Saya sangat terkejut dengan kemampuan Jibek. Kucing itu tidak meragam atau menunjukkan sebarang reaksi tidak selesa sekali gus memberi mesej bahawa Jibek selesa melakukan aktiviti lasak,” terangnya.

Rentetan itu, Azhan tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha membawa Jibek menawan lebih 30 bukit dan gunung di dalam negara.
Ini termasuk puncak-puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia atau G7 iaitu Gunung Tahan dan Gunung Yong Belar di Pahang serta Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Yong Yap, Gunung Korbu dan Gunung Gayong di Perak.
Bagi menjamin keselesaan Jibek sewaktu pendakian, Azhan menyediakan keperluan mendaki kucingnya itu seperti jaket dan baju hujan untuk dipakai ketika berada pada aras tinggi.
“Paling lama saya bawa Jibek mengembara adalah empat hari tiga malam. Alhamdulillah setakat ini jarang Jibek buat perangai setiap kali kami mendaki. Jibek adalah peneman setia saya setiap kali keluar mendaki gunung. Tingkah laku Jibek yang mencuit hati telah membantu memberi keceriaan kepada saya selepas penat mendaki,” ujarnya.
Azhan memaklumkan, kucingnya itu mempunyai beberapa kelebihan iaitu akan menunjukkan reaksi kurang senang apabila merasakan sesuatu kawasan dilalui mereka tidak selamat.
Jelasnya, Jibek juga boleh menghidu kehadiran haiwan liar selain makhluk ghaib yang terdapat di sekeliling mereka sewaktu melakukan aktiviti lasak.
Mengimbas detik pertama kali Azhan bertemu Jibek, dia berkata, kucing itu dibuang orang tidak dikenali di depan rumahnya ketika berusia tiga bulan.
Kata Azhan, dia sebelum itu tidak pernah membela kucing, namun hatinya tiba-tiba tergerak selepas bertemu dengan Jibek.
“Ketika itu, saya memang sedang mencari kucing untuk dipelihara. Masa saya tengah cari itu, saya terjumpa Jibek dan adiknya yang dibuang.
“Saya anggap itu rezeki dan tanpa berfikir panjang saya mengambilnya untuk dipelihara, namun malangnya adik Jibek telah mati,” katanya.
Penglibatan Jibek dalam aktiviti lasak juga telah berjaya menarik perhatian ramai peminat yang ingin mengikut perkembangannya. Justeru itu, Azhan telah membuka akaun media sosial khas buat Jibek yang dinamakan Jibek Hikers dalam Facebook, manakala Jibek Hikers Cat bagi Instagram.
“Umpama artis, Jibek lebih popular daripada saya dalam kalangan penggemar sukan lasak. Ramai juga
yang ingin berswafoto setiap kali terserempak dengannya,” kata Azhan.
















