TOM

Tom mahu bersih, azam buang tatu pada badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRANNYA mewarnai persada seni muzik tanah air pernah dianggap sebagai bintang yang mampu bersinar dan berada di kelas tersendiri.

Berbekalkan vokal yang mantap, pemilik nama pentas Tom itu juga diramal pada waktu itu akan menguasai industri muzik tempatan sejurus menjuarai program My Starz LG musim ketiga terbitan TV3 pada 2010.

Lebih menguatkan andaian, sebelum bergelar seorang artis lagi, Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram pernah mengharumkan nama negara apabila menyertai pertandingan World Champion Performing Arts (WCOPA) di Hollywood dengan memenangi pingat emas di sana.

TANPA berselindung, Tom memberitahu menaruh harapan tinggi untuk memenangi pertandingan GV9 dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Sayangnya, dia tidak menggunakan peluang yang terbentang luas untuk terus membesarkan nama dan kerjayanya sebagai penyanyi.

Sehingga akhirnya, nama Tom perlahan-lahan hilang dari radar dunia hiburan selama beberapa tahun.

Kini pada 2022, membuka lembaran baharu buat wanita berusia 36 tahun itu apabila terpilih untuk menyertai program realiti terkenal, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Penyesalan

Awal kemunculan dalam GV9, penampilan Tom tidak sama seperti dahulu. Jujur dikatakan, imejnya kelihatan seperti wanita ‘liar’.

Corak tatu yang menghiasi beberapa anggota tubuh antaranya pada lengan dan bahu membuatkan Tom sebenarnya berasa agak keberatan untuk kembali dalam industri sekali gus menyesal dengan perbuatan yang dilakukan (mencacah tatu).

“Saya sebenarnya berat hati untuk kembali memeriahkan industri hiburan tanah air kerana memiliki tatu.

“Saya menyesal sekarang sebab buat tatu dan tidak berfikir panjang ketika mencacah tatu sejak empat tahun lalu,” kata Tom.

SEANDAINYA mempunyai rezeki, Tom tidak teragak-agak untuk membuang tatu yang menghiasi tubuhnya sejak empat tahun lalu.

Gara-gara tindakan dangkalnya itu, Tom pernah membuatkan arwah bapanya marah dan terkilan. Bahkan dia turut digelar ‘bodoh’ oleh lelaki itu atas keterlanjuran yang telah dilakukan.

“Saya menyesal sangat sebab buat arwah bapa menangis. Saya renung semula kenapa saya buat tatu? Kenapa saya boleh jadi begini? Bapa saya tidak pernah ajar pun.

“Bapa saya tidak pernah menangis dan marah. Apabila dia marah, saya tak tahu nak cakap macam mana rasanya. Saya siap kena ‘bodoh’ dengan bapa. Saya tak mahu buat lagi tatu,” katanya.

Buang tatu

Ketika disoal tentang keputusannya mencacah tatu pada badan, Tom menolak dakwaan mengatakan bahawa dirinya cuba bersikap ‘rebel’.

Jelasnya, mungkin kerana faktor persekitaran membuatkan dirinya terpengaruh untuk memiliki tatu.

TOM tampil dengan imej baharu apabila menanggalkan rambut ‘dreadlock’ yang digayakan sejak hampir 15 tahun lamanya sewaktu konsert minggu ketiga GV9.

“Ramai yang sangka saya cacah tatu kerana sikap ‘rebel’. Tapi sebenarnya tidak. Mungkin kerana persekitaran. Saya tidak salahkan sesiapa sebab ini khilaf saya,” katanya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati wanita itu, dia sebenarnya terdetik untuk membuang tatu-tatu yang ‘menghiasi’ tubuhnya suatu hari nanti.

Anak-anak

Tetapi untuk melakukannya bukan mudah. Selain perlu melalui proses yang menyakitkan, kos untuk membuang tatu juga menelan belanja yang tinggi.

“Kalau nak buang pun saya difahamkan lebih sakit berbanding ketika proses mencacah.

“Malah, kosnya juga lebih mahal. Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, memang saya nak buang,” katanya.

Menyentuh perihal tentang keluarga terutama anak-anaknya, Tom yang kini bergelar ibu tunggal sejak beberapa tahun lalu mengakui berat hati untuk bercerita mengenai kisah lama.

JIKA rezeki masih tidak memihak padanya untuk kembali aktif dalam bidang seni, Tom terpaksa kembali menyanyi di kelab malam demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau boleh saya mahu elak bercerita mengenai kisah lama, tapi saya faham apabila kembali dalam industri, saya tidak boleh lari. Lagi-lagi bila ada media sosial.

“Apabila ada orang bertanya tentang kehidupan saya, tak banyak cerita menarik pun yang boleh saya kongsikan.

“Cuma saya bersyukur sekurang-kurangnya saya masih menjaga dua orang cahaya mata, Putera Adler Iesta dan Putera Evans Ezra. Merekalah sumber kebahagiaan dan kekuatan saya,” katanya dalam linangan air mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN