PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pihaknya tidak membenarkan ceramah atau program maulidur rasul yang dihadiri seorang lelaki mendakwa dirinya adalah keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.
“Kita telah menghantar surat kepada pihak pengurusan dewan mengenai arahan larangan atau tidak membenarkan program tersebut.
“Tambahan, penceramah yang dijangka turut serta dalam program itu tidak mempunyai pentauliahan dari JAIS,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kata sumber JAIS itu, berdasarkan Peraturan 10(c), Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, Tauliah Khas boleh dikeluarkan kepada individu bukan warganegara yang dijemput khas oleh kerajaan negeri, jabatan atau agensinya memberi ceramah umum berhubung dengan apa-apa aspek agama Islam dalam program tertentu.

Tambahnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah bertitah bahawa penceramah luar negara hanya dibenarkan menyampaikan ceramah di empat masjid sahaja di negeri ini.
Masjid itu adalah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilliah, Cyberjaya selepas Tauliah Khas diperoleh daripada Majlis Agama Islam Selangor.
“Justeru, menjemput penceramah dari luar negara bagi menjalankan program tersebut pada Ahad (hari ini) di Dewan Raja Muda Seksyen 7 Shah Alam dan Darul Uloom Al Mustafa Sungai Buloh pada 14 Oktober ini tidak dapat dipertimbangkan.
“Mana-mana orang yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah salah dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Ketika ini, tular video di media sosial akan kehadiran individu yang mendakwa sebagai keturunan Rasulullah SAW ke negara ini melalui beberapa program di beberapa buah negeri.
Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed, mahu masyarakat mengamalkan tabayyun (menyelidik terlebih dahulu) terhadap setiap berita (dakwaan keturunan nabi) adalah dari sumber yang tepat, sahih serta boleh dipercayai.

“Seharusnya kita mengkaji terlebih dahulu setiap berita yang disebarkan di media sosial lebih-lebih lagi berkaitan dengan keturunan Nabi Muhammad S.A.W.
“Bukan semua berita yang disebarkan itu benar dan jika kita percaya berita itu benar walhal ia palsu, kita juga akan berdosa. Begitu juga kalau kita menolak bulat-bulat berita itu sedangkan ia benar kita juga akan berdosa,” ujarnya.
Senada dengan Mohamad Shukri adalah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang turut menyarankan orang ramai supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mempercayai dakwaan mana-mana individu.
“Keturunan Rasulullah ini ada salasilah tepat, orang boleh tahu dan kenal. Jika dia dapat perinci salasilah dia sehingga sampai ke Rasulullah kira dia keturunan yang sebenarnya.

“Tetapi jika hanya mendakwa, tetapi tidak dapat cerita salasilah sebenar dengan tepat, orang itu menipulah. Ramai yang mengaku tetapi jarang dapat dibuktikan dengan jelas, “ ujarnya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd. Noor pula menambah, negara ini tiada halangan kepada sesiapa yang ingin mengadakan majlis bagi meraikan mana-mana tokoh yang mendakwa dirinya ialah daripada keturunan Rasulullah SAW.
“Cuma kita harap penganjur memohon kebenaran kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu untuk mengadakan majlis tersebut,” ujarnya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) perlu menyiasat latar belakang figura yang akan dibawa masuk ke negara ini untuk memastikan kesahihan dakwaannya. Ini bertujuan untuk mengelak penipuan atau masalah lain,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.















