UJAR Khairul Shahril, peranan paling penting adalah di peringkat negeri dan daerah, yang mana mereka inilah yang akan menentukan sama ada sesuatu perjalanan pengurusan bencana dapat dijalankan dengan baik.

NADMA siap sedia hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANJIR berskala besar yang berlaku di Selangor tahun lalu disifatkan sebagai antara bencana luar jangka yang menyebabkan koordinasi menyelamat berdepan kesukaran pada peringkat awal.

Malah, timbul isu kelewatan bantuan daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyebabkan situasi bertambah buruk.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan persediaan NADMA dalam menghadapi Monsun Timur Laut November yang dijangka bulan depan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan banjir luar jangka lain, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pasca Bencana NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus di pejabat beliau di Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. Apakah persediaan atau perancangan awal yang NADMA lakukan bagi menghadapinya?

KHAIRUL SHAHRIL: Sebelum pergi kepada peranan NADMA, kita terlebih dahulu perlu tahu tentang mekanisme pengurusan bencana.

Di Malaysia, terdapat tiga peringkat pengurusan iaitu tahap satu, dua dan tiga.

Tahap satu di bawah jawatankuasa bencana daerah yang diuruskan pegawai daerah.

Tahap kedua pula dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri, manakala tahap ketiga dipengerusikan Perdana Menteri yang diurusetiakan oleh NADMA.

Dari segi persiapan menghadapi bencana kali ini, peranan NADMA di peringkat tahap ketiga, yang mana kami menyelaras polisi dan tindak balas serta gerakan agensi-agensi melibatkan bencana keseluruhan negara dari segi dasar.

Pelaksanaannya dibuat jawatankuasa yang disebutkan tadi.

Dari segi pelaksanaan dan persiapan awal, kami telah mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat pusat yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Jawatankuasa itu telahpun meluluskan beberapa isu berkaitan dasar berkenaan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Selain itu, kami juga telah membuat beberapa sesi latihan amal untuk memastikan di peringkat daerah dan negeri, pegawai berkaitan mempunyai kebolehan dan pemahaman berkaitan pengurusan bencana.

Baru-baru ini, kami mengadakan kursus melibatkan pegawai daerah dan ketua-ketua polis di peringkat daerah, memandangkan mereka adalah individu paling penting apabila berlakunya sesuatu bencana alam.

Ini kerana, merekalah yang akan menggerakkan aset dan mengatur gerak kerja agensi menyelamat dan agensi lain yang memberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan-badan sukarelawan.

Pada masa sama, kami telah mengeluarkan arahan-arahan berkaitan perjalanan dan pengurusan bencana agar kali ini dapat diuruskan dengan baik.

Persiapan awal itu dibuat secara berterusan menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tentang bagaimana mereka boleh membantu pengurusannya.

Bagaimana penyelarasan dengan agensi menyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) dan sebagainya dibuat bagi menggerakkan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir?

Pelaksanaan operasi amat bergantung kepada kebolehan peringkat negeri dan daerah.

NADMA melakukan penyelarasan dari segi polisi dan mendapatkan persetujuan dari agensi-
agensi berkenaan di peringkat pusat.

Sebagai contoh, kami melakukan kerjasama bersama pasukan polis menerusi kerjasama dengan Bukit Aman.

Latihan amal dan kursus berkaitan telah dibuat kepada mereka yang akan menjadi komandan di lapangan.

Penyelarasan di peringkat akar umbi itu akan dilaksanakan oleh ketua polis daerah.

Namun bagi peringkat NADMA, kami memberikan latihan dan sokongan dari segi bantuan kewangan.

Bagaimana perancangan untuk menyelaras mangsa-mangsa banjir pada kali ini termasuk urusan pemindahan, kebajikan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebagainya?

Peranan paling penting adalah di peringkat negeri dan daerah, yang mana mereka inilah yang akan menentukan sama ada sesuatu perjalanan pengurusan bencana itu dapat dijalankan dengan baik, memandangkan mereka berada di lapangan.

Dari segi perancangan, kami memberi latihan kepada pegawai daerah tentang pemahaman pengurusan bencana.

Ini memandangkan, mereka akan mengerahkan JKM peringkat daerah serta agensi-agensi bantuan termasuk menjalankan kerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan PPS berada dalam keadaan baik.

Dari segi urusan pemindahan mangsa, menjadi tanggungjawab komandan Pusat Kawalan Tempat Kejadian iaitu ketua polis daerah.


MENURUT Khairul Shahril, bagi tahun ini, jawatankuasa pengurusan bencana pusat telah membuat persediaan secara menyeluruh.

Pada akhir tahun lalu, apa pihak menuding jari kepada NADMA yang dikatakan gagal menguruskan bencana banjir teruk di Lembah Klang. Apa pandangan Datuk?

Seperti yang saya sebutkan tadi, dari segi pengurusan bencana, NADMA berada pada tahap tiga, yang mana kami bukan agensi responder.

Bila melihat semula kepada komen-komen yang diberikan, kebanyakannya berkata, kami lambat memberikan bantuan.

Kami akui sememangnya terdapat sedikit kelewatan dari segi pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terperangkap di Shah Alam, namun ini tidak memberikan gambaran sebenar tentang kebolehan agensi-agensi kerajaan mahu pun NGO dalam pengurusan bencana.

Melihat pada situasi di Shah Alam tahun lalu, ia berlaku pada kawasan yang padat dan jarang berlaku banjir.

Selangor juga pada awalnya tidak dilihat sebagai sebuah negeri yang akan menghadapi banjir besar.

Apabila bercakap tentang banjir, kebanyakan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi, negeri-negeri sepatutnya terkesan adalah di Pantai Timur.

Oleh itu, sebagai persediaan, kebanyakan aset-aset yang diperlukan untuk membantu mangsa bencana diletakkan di sana berdasarkan kajian saintifik dan pengalaman lepas.

Namun, apa yang terjadi adalah sesuatu di luar jangka dan apabila ia berlaku dalam skala amat besar melibatkan cabaran seperti jalan terputus, maka adalah sukar untuk menghantar aset-aset bantuan.

Sebagai contoh, di Shah Alam, terdapat jalan-jalan yang boleh dilalui dengan bot, namun ada jalan yang tidak boleh dilalui bot. Bot pula perlu dibawa dengan lori, namun ada kawasan jalan pula tidak boleh dilalui.

Ini menjadi cabaran besar kepada agensi bertindak.

Selain itu, dari segi keutamaan, ia memberi persepsi seolah-olah terdapat kelewatan terhadap kerja-kerja menyelamat, namun kami memberikan keutamaan kepada operasi menyelamat ketika itu.

Kelewatan memang ada, namun jika dilihat pada konteks kepadatan penduduk dan skala yang berlaku serta masalah logistik, ia merupakan satu cabaran besar.

Ada yang berkata, NADMA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiada kesepakatan dalam menguruskan mangsa -mangsa banjir tersebut. Apa komen Datuk?

Bagi saya, kenyataan berkenaan NADMA dan juga ATM tiada kesepakatan dan tidak bekerjasama berasal daripada sebuah blog.

Apabila NADMA bertanyakan kepada pihak terbabit, mereka memberitahu, mendapat sumber daripada ‘orang dalam’.

Namun, Panglima Angkatan Tentera sendiri menidakkan dan menyatakan ia tidak berlaku, namun sehingga kini, ia masih lagi diperkatakan.

Saya akui, dalam situasi bencana sebegini, perkara tular sebegini adalah sukar untuk kami tangani.

Tidak timbul isu NADMA menghalang ATM daripada memberikan bantuan atau pun ATM perlu menunggu arahan daripada kami. Ini memandangkan, arahan tersebut sudah pun dikeluarkan oleh jawatankuasa bencana pusat.

Adakah persediaan hanya ditumpukan di kawasan teruk terjejas banjir seperti negeri-negeri di Pantai Timur, atau ia dibuat secara menyeluruh?

Bagi tahun ini, jawatankuasa pengurusan bencana pusat telah membuat persediaan secara menyeluruh. Semua latihan amal serta persiapan aset diberikan kepada negeri yang sebelum ini jarang dilanda banjir termasuk Selangor.

Apakah perancangan masa depan bagi membolehkan pengurusan banjir dan bencana lain di negara ini dapat berjalan lancar dan tiada lagi suara-suara sumbang menidakkan peranan penting dimainkan NADMA?

Bagi saya, suara-suara sumbang tersebut adalah sesuatu yang bukan dalam kawalan kami dan harus menerimanya.

Apa yang boleh dilakukan NADMA adalah untuk membuat penambahbaikan dan membuat engagement bersama pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan pengurusan bencana.

Dari segi perancangan, perkara ini sudah dibincangkan di Parlimen dengan mendapat maklum balas daripada wakil-wakil rakyat. Dari situ, kami cuba melakukan penambahbaikan.

Ia termasuk melihat struktur NADMA sama ada perlu untuk ia dikembangkan di peringkat akar umbi negeri dan juga daerah.

Pada masa sama, kami juga melihat akta-akta tertentu untuk memastikan sama ada pengurusan bencana ini boleh dibuat dengan lebih teratur dan mempunyai satu kuat kuasa perundangan.

Ini kerana ketika ini, kebanyakannya adalah satu arahan administrative, yang mana jika ada negeri atau daerah yang tidak mengikuti apa yang telah diputuskan di peringkat pusat, tidak banyak cara untuk memastikan mereka ini melaksanakan tugasan tersebut.

Kedua, kami juga sedang melihat struktur NADMA bagi membolehkan kami menambahbaik peranan dalam pengurusan bencana, terutama sekali jika dilihat dari segi kelemahan lalu, adalah kerana ketiadaan NADMA di peringkat negeri.

Kami juga telah cuba memastikan pengurusan maklumat melibatkan NGO dan kerajaan dapat dibuat dengan lebih baik.

Ini adalah selepas membuat post-mortem tahun lalu, kami dapati pergerakan NGO adalah tidak terkawal sehingga menimbulkan masalah lain termasuk limpahan barangan yang tidak diperlukan dan ada juga kawasan yang tidak menerima bantuan.

Berdasarkan kepada pengalaman di Shah Alam, ada NGO yang tidak mempunyai kepakaran memberikan bantuan dalam keadaan ekstrem seperti banjir yang dalam.

Ini menyebabkan agensi yang dikhususkan untuk membantu mangsa banjir terpaksa menyelamatkan NGO-NGO ini, yang sedikit sebanyak menambahkan kesulitan kepada kerja menyelamat.

Berapa ramai kekuatan yang ada pada agensi menyelamat termasuk JPBM, PDRM dan APM yang dikhususkan untuk membantu dan menyelaras mangsa banjir?

Kekuatan yang ada adalah sebanyak 79, 549 orang.

Adakah agensi penyelamat terbabit dibekalkan dengan aset-aset baharu yang lebih bersesuaian dalam melakukan kerja-kerja pemindahan dan menyelamat mangsa banjir lebih efisien?

Dari segi aset, ia adalah menjadi tanggungjawab agensi terbabit untuk membuat perolehan.
Agensi itu akan menentukan berapa banyak aset diperlukan dalam menjalankan tugasan yang perlu dibuat.

Namun, memang ada agensi yang telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi perolehan aset-aset yang berkaitan dengan pengurusan bencana, namun NADMA tidak mempunyai maklumat terperinci bagi perolehan tersebut.

KHAIRUL SHAHRIL (kiri) menunjukkan kawasan berisiko menghadapi bencana banjir selepas Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekratariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Pulau Meranti pada 15 September lalu.

Kalau boleh dikongsikan, berapa bajet yang diperuntukkan kepada agensi-agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut November depan?

Bajet keseluruhan yang diperuntukkan bagi kerja-kerja yang diperuntukkan oleh NADMA termasuk bantuan kewangan dan sebagainya adalah sebanyak RM967.9 juta yang diberikan kepada 236,167 ketua isi rumah yang terkesan.

Jumlah tersebut adalah peruntukan peringkat NADMA dan di peringkat agensi pula, mereka mempunyai peruntukan masing-masing.

Selain banjir, adakah NADMA turut melakukan persediaan bagi menghadapi bencana luar jangka lain?

Di bawah arahan MKN 20, terdapat beberapa kategori bencana yang diletakkan di bawah tanggungjawab NADMA termasuk bencana alam seperti ombak besar, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, ia turut melibatkan bencana lain seperti kemalangan atau kegelinciran keretapi, keruntuhan bangunan, kemalangan udara yang berlaku di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi, kebakaran melibatkan kawasan yang luas, kejadian empangan atau takungan air pecah, kemalangan kimia, kejadian jerebu, kejadian wabak penyakit dan lain-lain.

Dari segi persediaan, kami membuat latihan amal dan mewujudkan prosedur operaasi standard (SOP) tentang kaedah menangani isu-isu bencana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN